Bagi
mereka yang ingin melakukan perubahan ke atas kerajaan UBN yang berkuasa lebih
55 tahun, sedang menanti hari keramat 5 Mei. Masing-masing tidak sabar untuk
membuat tanda 'pangkah' kepada setiap ruang pangkah milik calon yang melawan
UBN, dengan harapan UBN akan kalah.
Dalam penantian itu semua orang, tidak kira lapisan masyarakat mengharapkan agar pilihan raya ke-13 ini dilakukan dengan bersih, telus dan berintergiri. Hanya dengan pilihan raya bersih saja akan menatijahkan keputusan yang sihat.
Jika dilihat kepada sokongan yang semakin hari semakin kuat kepada Pakatan Rakyat, semacam sudah boleh diperkirakan kerajaan akan dibentuk selepas 5 Mei ini bukan lagi dari komponen BN. Ia semestinya dari Pakatan Rakyat.
Cuma dalam penantian itu rakyat berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diamanahkan menjadi pengendali pilihan raya ini bersikap adil dan saksama. Hanya dengan jaminan ada kesaksamaan itu sahajalah keadilan akan menjelma, manakala dengan adanya keadilan sahaja hegomeni UBN yang ditulangi Umno boleh ditumbangkan.
Berkali-kali pihak SPR membuat perakuan yang mereka telus, jujur dan ikhlas dalam mengendalikan pilihan raya yang bersih. Adakalanya nada mereka seakan condong dan bersimpati dengan UBN. Mereka kononnya tidak cenderung kepada mana-mana termasuk sedia menjadi alat kepada UBN dan rela melakukan penyelewengan meskipun dikutuk.
Setiap kali dikemukakan bukti ada sesuatu yang boleh meragukan ketulusan SPR, Pengerusinya Abdul Aziz Yusuf dan timbalannya Wan Ahmad Wan Omar akan bangun mempertahankan integriti SPR. Mereka tidak perlu mempertahankan apa yang mereka lakukan kerana bekas pengerusi sebelum ini banyak mendedahkan kepincangan atau kerja-kerja senyap SPR untuk membantu Umno atas dasar dan kepentingan Melayu. Apa lagi hendak berdolak dalih kalau pelaku sendiri mengakuinya?
Kadang-kala walaupun bukti dikemukakan itu jelas menunjukkan kelemahan SPR sehingga ia boleh dianggap sebagai bias, tetapi dinafikan secara hidup-hidup. Selalunya untuk menegakkan benang basah, SPR akan menunding jari kepada Jabatan Pendaftaran Negara, sedangkan umum tahu ada persekongkolan di antara kedua badan atau jabatan berkenaan untuk melindungi UBN.
Seharusnya SPR sedar dan tahu membezakan di antara parti ketika menjadi pemerintah dengan parti yang bertanding semula untuk menguasai kerajaan.
Apakah SPR boleh menjamin pilihan raya ke-13 ini ini bersih dan telus? Ia adalah pertanyaan dan jawaban di dalam mimpi. Persoalan ini terus menjadi tanda tanya di dalam kepala. Pendedahan terbaru dibuat Anwar Ibrahim hari ini yang mendakwa ada maklumat memberi tahu ternampak kenderaan SPR memindah peti undi ke satu kawasan dari ibu pejabat SPR menjadi tanda tanda tanya sejauh mana integriti SPR.
Anwar hari ini mendedahkan ada peti undi dipindah ke Taman Perindustrian Sungai Chua di Kajang dari Ibu Pejabat SPR. Apa yang menjadi tanda tanya Anwar pemindahan itu dibuat awal? Apakah konspirasi dan kedurjanaan SPR sudah bermula?
Anwar lantas meminta penjelasan daripada SPR atas apa yang berlaku itu. Ada munasabah dan keperluan bagi Anwar meminta SPR berbuat demikian. Kalau pun peti undi itu akan digunakan di kawasan berkenaan, apakah ianya dibuat sekarang?
Anwar tidak bercakap berdasarkan 'rasa' mengenai hal itu. Beliau menunjukkan kepada pemberita gambar yang memaparkan dua peti undi dibaluti menggunakan polister dan dicop logo SPR sebagai bukti ianya dipindah menggunakan Pajero di Jalan SC 2.
Bagi menutup keraguan umum SPR perlu menjawab perkara ini dengan sejelas-jelasnya. Kegagalan SPR memberi penjelasan menyebabkan orang meragui dan tidak percayai bahawa pilihan raya kali ini telus seperti mana dijanjikan. Jelaslah.
Mungkin juga SPR tidak ada maksud buruk dalam kerjanya itu, tetapi apabila ia menjadi persoalan wajar ianya diterang dan dijelaskan agar semua pihak berpuas hati
No comments:
Post a Comment