Uthaya Sankar SB
Seluruh negara ternanti-nanti dan
tertunggu-tunggu pengumuman tarikh pembubaran Parlimen tetapi Najib bersama
konco-konconya sibuk dengan segala macam pengumuman lain.
Saya merayu kepada Perdana Menteri
tercinta merangkap Pengerusi Bar1san Nas1onal (BN) merangkap Presiden UMNO
merangkap pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk
Seri Najib Razak supaya tidak tergesa-gesa mengumumkan tarikh pembubaran
Parlimen.
Tolong tunggu dulu! Ada tugas
penting yang perlu saya bereskan.
Saya harap wanita paling anggun,
Datin Seri Rosmah Mansor akan turut sudi memujuk suaminya agar menangguhkan
dahulu pembubaran Parlimen. Tolong, ya, Datin Seri.
Apabila saya mengemukakan rayuan ini
secara terbuka menerusi laman rangkaian sosial Facebook pada 21 Mac 2013, ada
kenalan yang bertanya adakah saya sedang cuba menggunakan ‘reverse psychology’
iaitu “mendesak” Najib segera membubarkan Parlimen.
Sebenarnya, tidak. Ini bukan
‘reverse psychology’. Rayuan ini memang pada tahap “dengarlah rayuanku” ala-ala
lirik sebuah lagu lama yang saya sudah tidak ingat judul dan penyanyinya.
Memanglah sebelum ini saya –
sebagaimana rata-rata Rakyat Malaysia – ternanti-nanti dan tertanya-tanya
bilakah Parlimen akan dibubar supaya pengundi boleh segera melaksanakan tugas
dan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara tercinta.
Pada waktu itu, saya hanya meminta
(menerusi catatan pada ruangan status Facebook, tentunya) supaya Najib tidak
mengganggu tarikh 30 Mac 2013 kerana pada tarikh itu saya akan menyertai acara
Readings@Seksan kelolaan Sharon Bakar di Bangsar Baru, Kuala Lumpur.
Kemudian, saya juga memberi jaminan
(ala-ala politikus pula ya!) bahawa saya akan mengumumkan tarikh penerbitan
kumpulan cerpen terbaru saya, “Kisah dari Siru Kambam” sebelum Najib
membubarkan Parlimen.
Janji itu juga sudah saya tepati
berkat “kerjasama” Najib yang dikatakan masih belum cukup berani membubarkan
Parlimen. Kata orang – kata orang, bukan kata saya – Najib bimbang tidak akan
berpeluang lagi “berumah” di Putrajaya sampai bila-bila selepas Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU).
Berbalik pada rayuan saya supaya
Najib terus menangguhkan tarikh pembubaran Parlimen, ada juga rakan yang
menganggap saya mahu melancarkan “Kisah dari Siru Kambam” sebelum Parlimen
dibubar dan saya mungkin bercadang mengundang Datin Seri Rosmah Mansor untuk
menyempurnakan majlis pelancaran itu.
Mahu Rosmah lancar buku saya?
Tanggapan serta andaian ini mungkin
muncul kerana saya sering merujuk beliau sebagai “wanita anggun” dalam beberapa
tulisan saya. Bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan politik negara,
Rosmah adalah isteri kepada Najib dan mengisytiharkan dirinya sebagai “Wanita
Pertama” (First Lady).
Rosmah baru sahaja melancarkan
biografinya dan khabarnya dijual pada harga RM150 senaskhah. Tentulah saya
tidak mampu membelinya kerana saya antara manusia yang lupa menabung sejak
dalam kandungan.
Mujurlah mantan Perdana Menteri, Tun
Mahathir Muhammad semasa melancarkan biografi itu pada 19 Mac 2013 mencadangkan
supaya buku berkenaan diedarkan ke sekolah-sekolah supaya menjadi bacaan
pelajar dalam tempoh 100 atau 200 tahun akan datang.
Maka, saya masih ada harapan untuk
meminjam biografi wanita anggun itu – Lihat! Saya menggunakan pujian itu lagi!
– daripada mana-mana anak jiran yang masih bersekolah dalam tempoh 100 atau 200
tahun nanti. Masih ada ruang dan peluang.
Akhbar Utusan Malaysia (20 Mac 2013)
melaporkan bahawa “Biografi Rosmah Mansor” ditulis penggiat teater dan novelis,
Siti Rohayah Attan dan Ketua Biro Utusan Malaysia di Putrajaya, Noraini Abd
Razak, serta dibiayai Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM).
Pada hari pelancaran biografi
berkenaan, khabarnya sejumlah RM500,000 berjaya dikutip. Semua ini tentu
disebabkan berkat aura Mahathir dan Rosmah sendiri.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali
Mahathir pula, beliau pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
Kata orang, beliau sebenarnya keturunan Malayali dan kaum India. Beliau juga
ahli berdaftar pertama bagi parti politik UMNO Baru yang ditubuhkan pada tahun
1988. Beliau kemudian keluar dari UMNO Baru kerana merajuk dan masuk semula
tanpa dipujuk.
Selain daripada itu, buku Mahathir
berjudul “A Doctor In the House” (2011) dijual pada harga RM100; iaitu RM50
lebih murah berbanding “Biografi Rosmah Mansor” (2013). Saya pernah dihadiahi
senaskhah buku Mahathir itu pada suatu majlis.
Saya menyimpan buku itu baik-baik
tanpa membuka plastik pembalut. Apabila muncul ruang dan peluang beberapa bulan
kemudian, saya menghadiahkannya kepada seorang kawan dari Teluk Intan, Perak.
Saya harap beliau sudah membaca buku itu.
Menikmati transformasi pada saat
akhir
Oh! Nampaknya saya asyik terkeluar
topik. Samalah seperti Najib. Seluruh negara ternanti-nanti dan
tertunggu-tunggu pengumuman tarikh pembubaran Parlimen tetapi beliau bersama
konco-konconya sibuk dengan segala macam pengumuman lain yang hanya membawa
kepentingan kepada BN.
Berbalik pada andaian kemungkinan
saya mahu Rosmah melancarkan buku “Kisah dari Siru Kambam”, sebenarnya tidak
pernah terlintas cadangan mega seperti itu. Buku saya sudah dilancarkan pada 10
Mac 2013 oleh seorang tokoh yang berwibawa pada majlis yang kecil-kecilan di
Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.
Tambahan pula, mana mungkin saya dan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mampu menguruskan suatu majlis besar yang
sesuai dan layak untuk dihadiri oleh wanita anggun itu. Semua itu hanya boleh
berlaku dalam angan-angan dan mimpi siang hari.
Ada juga rakan-rakan yang bertanya
apakah “tugas penting” yang mahu saya bereskan itu lebih penting daripada
pembubaran Parlimen. Soalan yang wajar juga.
Namun, nampak gayanya, memang
pembubaran Parlimen tidak begitu penting bagi Najib. Sebaliknya beliau lebih
berminat untuk melihat, menyaksikan, menikmati serta menghayati suasana rakyat
mendapat nikmat yang sepenuhnya daripada pelbagai pelan transformasi yang
dilakukan oleh beliau pada saat-saat akhir menjelang PRU-13.
Walau apa-apa pun, bukankah Najib
sudah menunggu begitu lama – sementara Rakyat dan pengundi (termasuk warga
asing yang khabarnya sudah mendapat hak kewarganegaraan) terus ternanti-nanti tarikh
PRU-13?
Masakan pula beliau tidak sudi
menunggu sedikit masa lagi khusus untuk memberi ruang dan peluang kepada saya
melaksanakan tugas penting itu. Barulah saya akan mendapat “nambikei” seperti
yang dilaung-laungkan oleh Pengerusi BN itu yang tiga tahun berturut-turut
pergi ke Batu Caves sempena Thaipusam.
Sebelum ini, memandangkan tarikh
pembubaran Parlimen belum diumum, saya bercadang untuk ke Kelantan. Acara “Baca
Cerpen Siru Kambam II” dijadualkan pada 23 Mac 2013 dan cuti sekolah pula sudah
bermula. Parlimen akan terbubar sendiri pada 28 April 2013. Masih ada masa
lebih sebulan.
Akan tetapi, apabila
difikir-fikirkan, saya boleh sahaja pergi ke Kelantan pada waktu lain. Saya
percaya bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan kekal tanpa sebarang perubahan
selepas PRU-13. Negeri itu juga akan kekal “miskin” pada pandangan Najib dan
sekutunya. Bolehlah saya melawat semula “negeri miskin” itu selepas PRU-13,
seperti yang saya lakukan pada Mac 2012.
Akan tetapi, saya bukan seperti
(sekadar contoh rambang) Saiful Bukhari Azlan yang mampu menahan daripada
membuang air besar selama beberapa hari. Saya seperti mana kebanyakan Rakyat
dan pengundi berdaftar lain, tidak dapat menahan perut terlalu lama.
Kalau kami terpaksa menahan,
menunggu dan menanti terlalu lama, perut kami mungkin meragam. Kami mungkin
terberak secara spontan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan dan sebelum
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sangat bebas itu mengumumkan tarikh PRU-13.
Kalau hal seperti itu berlaku,
apakah Kerajaan Sementara (caretaker government) akan tampil membersihkan najis
dan tahi? Atau pun sibuk berkempen untuk memancing undi di segenap ceruk
kampung?
Maka, usah tergesa-gesa mengumumkan
tarikh pembubaran Parlimen. Izinkan saya ke tandas dahulu dan membaca buku
“Menjuarai Transformasi” (2011).
Uthaya Sankar SB sebenarnya tidak
kisah tentang tarikh pembubaran Parlimen dan tarikh PRU-13. Namun, beliau akan
tetap mengundi.
-freemalaysiatoday-
No comments:
Post a Comment