Robohkan papan iklan KEADILAN: SUK
Perak bakal diheret ke mahkamah
Semua pihak yang bertanggungjawab
merobohkan papan iklan KEADILAN di Lebuh Raya Utara Selatan akan diheret ke
muka pengadilan, kata Pengarah Kempen Pilihan Raya KEADILAN Perak, Shahbudin
Abdul Khatab.
Papan iklan yang tertera gambar
Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan slogan ‘Harga Minyak Turun, Pakatan
Harapan Rakyat’ itu didirikan pada 20 November lalu, di Kilometer 383 Lebuh
Raya Utara-Selatan, berhampiran kawasan Hentian Rawat & Rehat (R&R)
Behrang.
Ia dibina oleh Shahbudin di atas
tanah miliknya.
Menurut Shahbudin, kejadian tersebut
disedari beliau pada 4.30 petang Sabtu lalu, apabila mendapati pagar antara
sempadan papan iklan dan lebuh raya dirobohkan.
“Saya dapati tiang papan iklan turut
digergaji,” jelasnya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.
Beliau percaya perobohan itu atas
arahan pimpinan Umno BN.
Tindakan yang dibuat kira-kira jam
11.00 malam pada hari tersebut juga didapati menggunakan jentera kerajaan
apabila Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak sendiri mengarahkan anak
syarikat milik Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Propel Berhad (Propel)
agar merobohkan billboard yang didirikan di atas tanah persendirian itu.
Propel merupakan sebuah syarikat
yang bertanggungjawab menyelenggara lebuh raya milik Plus itu.
“Saya memaklumkan kepada Propel Slim
River dan terkejut dengan dakwaan Propel yang menyatakan pihaknya terpaksa
merobohkan papan iklan tersebut atas arahan dari Setiausaha Kerajaan Negeri,”
kata Shahbudin.
“Laporan polis telah dibuat pada
malam kejadian, 25 November, jam 1.35 pagi. Kita mahu polis siasat dan
bertindak segera ke atas pencerobohan tersebut.
“Kita juga menuntut ganti rugi
kepada pihak yang berkenaan antaranya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis
Keselamatan Negara, Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah kerana
merobohkan pagar dan papan iklan yang saya dirikan di tanah milik saya,”
sambung beliau.
Madhi (dua dari kiri) dan Shahbudin
(kanan Madhi) pada sidang media hari ini
Naib Pengerusi KEADILAN Negeri,
Madhi Hasan yang hadir sama dalam sidang media itu menempelak tindakan kerajaan
menghalang kempen tersebut.
“Apakah dengan hanya pemasangan satu
papan iklan ia telah menggugat kestabilan negara?,” soalnya.
“KEADILAN melihat ini adalah
manifestasi dari ketakutan luar biasa pihak berkuasa Umno dalam menghadapi
kebangkitan rakyat.
“Jelas, Umno BN sedang meneruskan
budaya politik samseng yang kotor dan tidak bertamadun,” kata Madhi.
Sementara itu, Pengerusi KEADILAN
Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa Umno BN menghentikan strategi politik
kotor terhadap pembangkang.
“Sesungguhnya, pemikiran dan
kematangan rakyat telahpun jauh berubah. Marilah kita bersama mengamalkan
budaya politik waras dan beradab,” katanya dalam kenyataan.
Iklan tersebut merupakan satu
program awal KEADILAN untuk mendirikan papan iklan serupa di tempat-tempat
strategik yang dikenal pasti di seluruh negara untuk memberi penjelasan
mengenai perjuangan Pakatan Rakyat dalam membela nasib seluruh rakyat seperti
mana yang tertera dalam Buku Jingga.
Sumber:-keadilandaily-
No comments:
Post a Comment