PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini
sebulat suara menolak rayuan Exco Kerajaan Negeri Perak dan juga ADUN Sungai
Rapat, Perak, Hamidah Osman dengan kos bagi mengenepikan keputusan Hakim
Mahkamah Tinggi Shah Alam yang diberikan pada 1 Jun yang lalu.
Dalam keputusannya hari ini Mahkamah
Rayuan yang dianggotai oleh Hakim Datuk Ramly Haji Ali, Datuk Zaharah Ibrahim
dan Datuk Anantham Kasinather memutuskan bahawa mereka bersetuju dengan
keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah
yang mempunyai bidangkuasa bagi mendengar kes tort.
Pada 1 Jun yang lalu Hakim Datuk
Haji Zainal Azman telah menolak permohonan Hamidah bagi membatalkan saman
Khalid Samad ke atas beliau atas tulisan yang mengandungi tuduhan fitnah ke
atas Khalid Samad di blog Hamidah http://hamidahosman.blogspot.com pada atau
sekitar Januari 2010.
Antara lain di dalam blognya,
Hamidah menyiarkan gambar super imposed Khalid Samad sebagaimana sebelah.
Dan beliau juga menulis antara lain
“Golongan yang menyokong pengunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal
dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong kehendak
Mubaligh Kristian mengantikan perkataan ‘God’ kepada didalam Bible kepada
perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh disudut hatinya
dengan keputusan mahkamah ini.”
Beliau juga menulis “Sekalung
tahniah buat parti PAS kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu
penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk
menjahanamkan iman umat Islam di negara ini."
Atas tulisan beliau di blog tersebut
Khalid telah melalui peguamnya, Tetuan Mohamed Hanipa & Associates
memfailkan writ saman ke atas Hamidah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kausa
tindakan fitnah.
Pada pendengaran rayuan hari ini
Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Mohd Khairudin dari Tetuan Mohamed
Hanipa & Associates manakala Hamidah diwakili oleh Datuk Hafarrizam Haron
dari Tetuan Hafarizam Wan & Aishah Mubarak.
Dengan keputusan Mahkamah Rayuan
tersebut kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 dan 21
November 2012.
harakahdaily.com
No comments:
Post a Comment