DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, December 1, 2011

TAZKIRAH : HIKMAT DI SEBALIK KELEWATAN TURUN WAHYU

Oleh : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

PERKARA yang sangat menggelisahkan hati Nabi s.a.w. menghadapi peristiwa "Khabar al-Ifqi", ialah di mana isu itu berlarutan hingga lebih sebulan. Ini kerana wahyu Allah SWT tidak turun sepanjang tempoh itu bagi mengatasi masalah tuduhan fitnah itu yang dicetuskan oleh golongan munafiq.

Dalam tempoh tersebut Nabi s.a.w. amat ternanti kedatangan Jibril membawa wahyu, kerana sekira wahyu dari langit cepat turun untuk mendedahkan hakikat sebenar, membuka pekung dan pembohongan kaum munafiq. Tentulah kedatangan wahyu itu akan menyelesaikan masalah dengan segera.

Walau bagaimana gawat sekalipun yang dihadapi oleh Siti Aisyah dan terutamanya Nabi s.a.w. sendiri, sekiranya wahyu turun dengan segera nescaya Nabi tidak menghadapi tekanan jiwa yang begitu berat. Tekanan semakin berat apabila di kalangan orang-orang Islam yang lemah imannya, turut sama menyebarkan berita dusta itu.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui betapa penderitaan jiwa yang ditanggung oleh Nabi s.a.w. dan juga isterinya Siti Aisyah. Tuhan juga Maha Mengetahui betapa Nabi-Nya amat tertunggu-tunggu turunnya wahyu yang diharapkan memberi jalan keluar dari belenggu masalah yang sedang dihadapi.

Nabi s.a.w. tertanya-tanya di dalam hati, gerangan apakah maka Allah SWT membiarkan Rasul-Nya terdera dengan berita palsu dan fitnah itu. Lebih sebulan perkara itu berlalu tanpa sebarang ulasan dan tindakan dari Nabi, bagi mengatasi fitnah besar itu.

Meskipun Rasulullah s.a.w. dan isterinya menghadapi fitnah yang begitu dahsyat, malah pada zahirnya Allah SWT membiarkan Nabi-Nya menempuh masa yang agak panjang dalam dilema, sehingga orang munafiq menuduh bahawa Muhammad s.a.w. sudah dimurkai oleh Tuhannya. Namun bala yang menimpa ke atas Nabi s.a.w. dan keluarganya, serta masa yang panjang terpaksa ditempuh oleh Nabi itu, sebenarnya mengandungi hikmah yang besar di sebaliknya.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. yang dibebani dengan bala yang berat oleh Allah SWT itu, dengan tujuan untuk membangkitkan shahsiyyah Nabi s.a.w. dalam keadaan bentuk yang bersih dari segala gangguan.

Bagi seorang Nabi, segala mihnah yang ditimpakan kepadanya, adalah suatu cara bagi Allah SWT untuk menyerlahkan shahsiah atau sifat-sifat sebenar seorang Nabi dan Rasulullah. Melalui ujian-ujian dan cabaran yang berat, ia ibarat membakar emas bagi mendapatkan ketulinan emas yang sebenarnya, atau membakar gaharu untuk mendapatkan bau wanginya.

Bagi mengetahui tahap kesabaran, kecekalan dan ketabahan seorang Utusan Allah hanya apabila ia didatangkan segala bentuk ujian. Tanpa ujian tidak mungkin diketahui tahap kesabarannya, malah tidak mungkin terserlah ketokohan seseorang pemimpin.

Sedangkan Nabi s.a.w. adalah seorang yang akan dicontohi dan diteladani oleh umatnya. Jika keistimewaan yang dimilikinya disebabkan Nabi sentiasa didatangi Jibril untuk menerima wahyu, atau dengan bantuan mukjizat bagi menyelesaikan sesuatu masalah, sudah tentu perkara itu tidak dapat dikongsi bersama oleh umatnya.

Justeru itu Allah SWT datangkan pelbagai mihnah dan halangan yang luar biasa, menjadi sunnah seorang Rasul dalam tugas dakwah mereka yang boleh diikuti dan kongsi bersama oleh umatnya. Di samping mengambil iktibar darinya, bahawa sesungguhnya tugas dakwah para Nabi yang disambung jejaknya oleh umatnya di kemudian hari, bukan satu tugas muda.

Jika seorang Nabi menjalani tugas dakwah tanpa sebarang cabaran, segalanya dimudahkan kerana malaikat Jibril sentiasa datang membantu. Maka bagaimana umatnya hendak menjadikannya sebagai pemimpin ikutan, sedangkan segalanya ibarat lahir di atas dulang emas, berdakwah di atas permaidani lembut tanpa halangan.

Tetapi Nabi s.a.w. sejak dari sebelum dilantik menjadi Nabi, telah berdepan dengan pelbagai ujian dan halangan. Sehingga menjadikannya seorang Nabi yang kepimpinannya dikagumi dan dicontohi, lantaran kecekalan, kesabaran, ketabahan, kegigihannya mengatasi segala mihnah dan masalah berat yang dihadapi.

Kesabaran dan kecekalan menghadapi pengalaman pahit dan derita sengsara yang bertali arus oleh Nabi s.a.w., melayakkan dirinya diteladani oleh umatnya. Orang-orang mukmin pasti merasa amat berpuas hati memiliki seorang Nabi dan Rasul yang berjiwa agung dan kesabaran yang tinggi. Dengan itu layaklah beliau diiktiraf ketokohannya sebagai Nabi pemimpin ummah, yang memimpin manusia di dunia dan di akhirat.

Ujian yang didatangkan terhadap Nabi s.a.w. juga dengan tujuan untuk menjelaskan falsafah kenabian atau wahyu, supaya tidak ada keraguan terhadap kebersihan jiwa Nabi. Baginda mengajar umatnya supaya bersabar menghadapi apa jua kesukaran hidup, namun bagaimana kesabaran itu hendak dicontohi jika bukti kesabaran tidak terserlah pada dari Nabi sendiri.

Terbukti Nabi sangat tinggi kesabarannya, melalui pelbagai cubaan dan ujian yang ditimpakan kepadanya, khususnya dalam tragedi "Khabar al-Ifqi" itu.

Sesungguhnya berita buruk yang menimpa itu, ketika Nabi sebagai manusia biasa. Nabi bertindak, berfikir dan melakukan kerja sebagaimana orang ramai melakukannya. Baginda juga sebagaimana orang biasa tidak mengetahui sesuatu yang akan terjadi, kecuali apabila malaikat Jibral datang membawa wahyu memberitahunya.

Jibril tidak datang memberitahu Nabi sebelum berita fitnah itu disebarkan oleh puak munafiqin. Nabi menerima berita buruk tentang Siti Aisyah yang dituduh curang, sebagaimana orang lain menerima berita tersebut yang tersebar dari mulut ke mulut. Nabi tidak mempunyai kuasa untuk mengetahui apa yang berlaku di Luh Mahfuz, dan rahsia di alam malakut.

Fikiran Nabi terganggu oleh berita fitnah sebagaimana orang lain juga terganggu apabila mendengar berita fitnah. Malah jiwa Nabi juga resah gelisah apabila berdepan dengan sesuatu keadaan yang merungsingkan. Ketika tuduhan keji dilontarkan terhadap Siti Aisyah, Nabi tidak membuat sebarang ulasan walaupun baginda mengetahui kejujuran dan kebaikan isterinya.

Justeru itu Nabi minta bantuan melalui mesyuarat dengan beberapa orang sahabatnya, malah merisik khabar tentang Siti Aisyah melalui seorang wanita pembantu rumah.

Semua tindakan Nabi itu menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. sebagai manusia biasa tidak sepi dari rasa gelisah sebagaimana orang lain gelisah ketika berdepan dengan berita buruk yang menyentuh dirinya.

Oleh itu satu dari tujuan hikmah Tuhan melambatkan turunnya wahyu bagi menyelesaikan isu "Ifqi", ialah untuk memperlihatkan aspek keinsanan pada diri Nabi. Justeru kedudukan Nabi sebagai manusia itu perlu ditekankan dalam mendidik ummah, kerana sejarah telah mencatatkan adanya umat terdahulu yang mendewakan Nabi-Nabi hingga bertaraf Tuhan.

No comments: