DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, July 28, 2011

KHALID SAMAD : BERSIH 2.0: DI ANTARA MENGHEMPUK DAN MENJENTIK

Najib Abd Razak, selaku Perdana Menteri telah ditanya pemberita di London mengenai tindakan keras pihak Polis terhadap Perhimpunan Bersih tempoh hari. Beliau menjawab ianya tindakan yang "ringan" yang bertujuan menjaga keselamatan Negara. Mereka yang ditahan, jelas beliau lagi, dibebaskan malam itu juga dan tiada yang ditahan lebih dari 12 jam.

Membaca jawapan beliau seperti di atas, ramai yang terus menuduh bahawa Najib adalah Perdana Menteri penipu. Hakikatnya kata mereka dan saya bersetuju dengan kenyataan ini, tindakan polis jauh lebih keras dari apa yang diperlukan. Kalau dalam Bahasa Inggeris ianya boleh dikatakan sebagai "disproportionate use of force".

Namun demikian, walaupun saya bersetuju bahawa kenyataan Najib adalah tidak benar, secara peribadi saya merasakan bahawa yakin bahawa Najib tidak "menipu". Baiklah, sebelum tuan-tuan semua marahkan saya, biar saya jelaskan. Untuk dikatakan menipu, ianya membawa erti bahawa beliau mengetahui dan memahami bahawa tindakan yang diambil sebenarnya adalah terlalu ganas dan lebih keras dari apa yang diperlukan. Beliau juga perlu memahami bahawa pihak polis, yang bertindak di bawah arahannya dan sepupunya, Hishamuddin, telah melakukan satu kesalahan kerana peranan polis adalah untuk menjaga dan bukannya memukul rakyat. Malangnya, saya merasa yakin Najib dan sepupunya tidak memahami perkara ini.

Apabila perkara asas sebegini tidak difahami dan kerajaan dianggap berhak untuk "menghempuk rakyat" maka arahan supaya polis hanya "menjentik rakyat" dianggap mereka sebagai satu arahan yang patut dihargai. Dan inilah apa yang ingin disampaikan kepada pemberita di London. Najib pasti hairan mengapa pihak pemberita tidak memahami dan menyanjung tindakan beliau. Bagi dirinya, tindakan yang diambil amat berkasihan-belas dan penyayang sifatnya!

Oleh itu, secara teknikalnya, beliau tidak "menipu". Dan inilah masalahnya. Satu masalah yang jauh lebih besar apabila dibandingkan dengan masalah sekiranya sekadar menipu. Iaitu, beliau tidak faham bahawa sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk membela hak dan nasib rakyat, bukan menindasnya; bahawa rakyat mempunyai hak dan hak ini perlu dihormati; bahawa polis ditugaskan untuk menjaga hak rakyat, bukan memijak kepala rakyat. Perkara inilah yang tidak dapat difahami olehnya.

Sekiranya Najib faham apa yang dilakukan adalah salah, beliau akan merasa malu dan berusaha menutup kesalahan dirinya. Maka ada sedikit harapan bahawa beliau akan kesal dan berusaha untuk tidak melakukannya lagi. Tetapi, apabila beliau tidak faham bahawa apa yang dilakukan adalah salah, maka tindakan ini akan diteruskan lagi, malahan ditingkatkan lagi, sampai ke tahap yang dianggap beliau berhak bertindak, iaitu menghempuk rakyat, bukan sekadar menjentik.

Maka itulah sebabnya Najib, Hishamuddin dan keseluruhan kerajaan BN perlu ditukar.

SEMUA MENIPU KECUALI NAJIB?

Apabila berbincang berhubung isu menipu, selepas peristiwa BERSIH 2.0, amat jelas bahawa pihak media dan polis ingin menuduh semua yang terlibat dan cedera sebagai penipu. Anwar Ibrahim menipu apabila beliau dimasukkan ke hospital dan dipakaikan sokongan di lehernya serta terlentang di atas katil dan siap dipasang alat penafasan. Mungkin media dan polis menganggap semua berlakon termasuk para doktor dan jururawat di Hospital Pantai. Mungkin juga semua di situ adalah pelakon dan hospital Pantai adalah sebuah cawangan institusi Yahudi Nasrani tajaan bersama Hindu sedunia yang mendapat sokongan pertubuhan Komunis untuk menjatuhkan BN!

Begitu juga dengan Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS. Beliau menipu juga! Dan Hospital KPJ di Seksyen 20 Shah Alam juga sarang pelakon dan penipu di mana mereka berpura-pura membedah lutut Mat Sabu dan menghasilkan X-Ray palsu yang menunjukkan skru sepanjang 2 ½ inci dilututnya! Mungkin hospital tersebut juga merupakan sarang Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis antarabangsa yang mendapat pembiayaan dari pihak Amerika yang bersekongkol dengan golongan Wahabi!

Seorang lagi yang menipu semestinya Fayat, pengawal peribadi DS Anwar Ibrahim yang remuk tulang pipinya dan retak batang hidungnya sehingga terpaksa dibedah dan diletakkan kepingan Titanium di pipinya. Di sini juga sudah pasti mereka akan berkata, Hospital telah dibayar pihak Yahudi Nasrani, Hindu serta Komunis sedunia dan mereka telah berkomplot untuk menjatuhkan BN!

Jangan lupa pula kepada saudara Sharwadi yang telah kejang dan sesak nafas sehingga terpitam serta pemuda yang sawan, patah kaki dan lain-lain yang kesemuanya pelakon tambahan upahan Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis!

Maka bertanya pula kita mengapakan Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis sedunia ingin menjatuhkan Najib? BN akan menjawab bahawa ianya adalah kerana beliau merupakan seorang pejuang Islam yang sejati! Sambil si Rosmah mengemaskan sanggulnya serta memasangkan gelang dan cincinnya setiap pagi dengan niat yang tulus ikhlas untuk memperjuangkan ummat Islam dan rakyat jelata, ulas mereka lagi!

Adakah mereka anggap rakyat bodoh? BN boleh terus berusaha memperbodohkan rakyat tetapi saya yakin rakyat tidak bodoh! Dan harinya semakin pantas menjelang tiba apabila kebijaksanaan rakyat Malaysia akan jelas terbukti!

GUGURNYA BAHARUDDIN SEBAGAI SEORANG SYUHADA INSYAALLAH

Kalau boleh, Al-Marhum Baharuddin pun BN ingin tuduh berlakon! Semuanya satu sandiwara pakatan pembangkang menurut mereka lagi. Sehingga hari ini tiada ucapan Takziyyah atau kekesalan dari pihak Polis atau BN. Mereka mahu letakkan kesilapan atas semua pihak kecuali mereka sendiri, tetapi rakyat tahu siapa yang bertanggungjawab di atas gugurnya allahyarham.

Yang paling tinggi daya imiginasi ialah tuduhan bahawa tulang rusuk Al-Marhum dipatahkan doktor yang melakukan CPR. Bibirnya berdarah dan giginya patah juga mungkin kesalahan doktor! Semua tidak pandai buat kerja, termasuk doktor. Lain kali kalau ada yang tenat dan memerlukan CPR, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk jangan hantar ke doktor, hantar sahaja ke pihak polis!

Adakah mereka ingat rakyat benar-benar banggang?

RAHSIA KEGANASAN POLIS

Hakikatnya mereka semua yang di atas menjadi mangsa kezaliman politik BN. WALAUPUN POLIS YANG BERTINDAK SEDEMIKIAN, perlu diingat Polis telah diapi-apikan sehingga membenci rakyat yang turun secara damai dengan tuduhan pengkhianat, penderhaka dan perusuh. Tukang adu domba, tidak lain dan tidak bukan, adalah BN.

Sekiranya polis diberitahu, "rakyat ingin turun secara aman untuk berhimpun, menuntut sesuatu yang merupakan hak mereka iaitu pilihan raya bersih, sila jaga keselamatan mereka", sudah pasti berbeza kesudahannya. Sudah pasti polis akan menjaga supaya semua berjalan dengan aman dan teratur dan tidak mengucar-kacirkan suasana dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.

Malangnya BN adalah batu api, tukang adu-domba yang ingin memperkudakan polis untuk kepentingan mereka. Maka apa yang terjadi telah pun terjadi.

Ada yang mengatakan, dalam perlembagaan, hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata dijamin TETAPI Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan ke atas hak tersebut. Dari ayat ini jelas bahawa sekatan tidak bertujuan untuk menghapuskan atau menafikan hak berhimpun. Hanya boleh dikenakan sekatan-sekatan tertentu melalui undang-undang seperti kena ikut arahan polis semasa berhimpun, ikut jalan ini dan itu, pada waktu ini hingga waktu itu dan sebagainya. Bukan menafikannya sama sekali!

Lagipun sekatan undang-undang adalah untuk bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam, keselamatan Persekutuan dan mana-mana bahagiannya, BUKAN ketenteraman dan keselamatan BN! Tiada makna diberi hak yang dijamin Perlembagaan tetapi boleh dinafikan kembali sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang memerintah.

Apa yang jelas BN dalam ketakutan. Dan orang yang takut akan melakukan kesilapan. Kesilapan akan menjadikan apa yang mereka takutkan menjadi satu kenyataan, insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
.

Sumber : MerdekaReview

No comments: