Sehingga kenyataan ini ditulis,
jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum melepaskan jawatan
masing-masing. Perkembangan ini pastinya mengundang perasaan tidak senang
majoriti rakyat Malaysia yang mahukan SPR letak jawatan atau dipecat. Ia
mencabar kesabaran rakyat.
Sebelum PRU-13, amaran demi amaran
telah diajukan kepada SPR supaya pilihanraya dapat berlangsung dengan bersih
dan adil. Rakyat telah menunjukkan menifestasi dalam bentuk aksi beberapa
himpunan seperti Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan aksi KL112, menghimpun ratusan ribu
rakyat menuntut supaya demokrasi ditegakkan.
Namun SPR telah mengkhianati peluang
yang diberikan setelah rakyat masih memilih pilihanraya sebagai jalan untuk
benar-benar meraikan demokrasi sebaliknya demokrasi itu dinafikan.
Oleh demikian, tiada lagi amaran
wajar diperuntukkan kepada SPR yang dibuktikan menjadi alat untuk mengekalkan
pemerintah yang ditolak rakyat. Tanggal 5 Mei menjadi hari hitam buat tanahair
apabila demokrasi digelapkan dalam pilihanraya yang penuh penipuan, seterusnya
merampas kemenangan rakyat.
Maka lahirlah gerakan #Blackout505,
gerakan NGO #SuaraRakyat505 dan beberapa lagi gerakan anak muda serta gerakan
aktivis menuntut SPR dihumban dan pilihanraya yang baru mengambil tempat.
Gerakan rakyat bertemakan hitam ini juga telah berjaya menghimpun hampir satu
juta rakyat dalam belasan himpunan di seluruh negara. Himpunan hitam ini juga
bakal memasuki fasa seterusnya apabila Kuala Lumpur menjadi destinasi yang
ditunggu-tunggu oleh seluruh tanahair untuk bersatu menghumban SPR dan
sekutunya.
Justeru itu, Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM) menyambut baik pengumuman beberapa pihak termasuklah dari
Pakatan Rakyat, dari Dato' Ambiga yang mewakili BERSIH dan dari Gabungan lebih
50 NGO #SuaraRakyat505 yang telah memilih 15 Jun 2013 sebagai tarikh kemuncak
satu lagi perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur. SAMM akan menggerakkan seluruh
kekuatan mobilisasi ke arah perhimpunan kemuncak #Blackout505 15 Jun.
Padang Merbok yang dipilih sebagai
venue terletak di antara Dataran Merdeka dan Parlimen Malaysia, harus menjadi
lokasi yang sangat ideal untuk rakyat berhimpun kali ini. Kedudukan Padang
Merbok juga memberi signifikasi yang tepat dalam soal rakyat merebut kembali
demokrasi yang dicuri oleh penyangak kuasa.
Sepertimana Dataran Merdeka, Padang
Merbok merupakan premis yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL). Jika Bersih 3.0 Dataran Merdeka tidak dibenarkan masuk, maka tidak
mustahil Padang Merbok juga mendapat tentangan yang sama dari DBKL. Namun
yakinlah, rakyat tetap akan hadir berhimpun memenuhi Kuala Lumpur dan
percayalah bahawa tiada entiti yang mampu menghalang kuasa rakyat walaupun
pemerintah itu sendiri.
Bagi SAMM, jika perhimpunan sebelum
PRU-13 sebagai amaran untuk pilihanraya bersih dan adil menyaksikan peserta
demo datang dan pulang mengikut waktu yang ditetapkan, maka himpunan pasca
PRU-13 seharusnya lebih dari itu. Peserta demonstrasi harus sedia bukan sahaja
untuk turun ke jalanraya, malah untuk datang dan tidak pulang selagi SPR tidak
letak jawatan atau dipecat, ini harus menjadi tuntutan paling minima pada aksi
tersebut.
Kita berhimpun masih secara aman,
bezanya kita terus berhimpun hingga tuntutan rakyat dicapai secara langsung.
Biarlah ia mengambil masa samada 24jam atau 48jam, atau sehingga hari parlimen
angkat sumpah, kali ini wajar untuk rakyat terus duduk dan bantah.
Akhir sekali, SAMM menyeru kepada
semua pihak khususnya media supaya membantu promosi dan kepada semua penggerak
agar memperhebatkan mobilisasi bagi memastikan 15 Jun menjadi sejarah baru
simbol kekuatan sebenar rakyat. 15 Jun adalah hari di mana rakyat berjuang
menuntut hak demokrasi dikembalikan.
Tipu pilihanraya, rakyat turun
jalanraya dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata!
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
No comments:
Post a Comment