Oleh Dinsman
Ini
sesuatu yang tidak dijangka. Mungkin Datuk Ahmad Yaakob dan kawan-kawannya
dalam saf Exco lama sudah diberitahu oleh Tok Guru Nik Aziz akan hasratnya
hendak berundur itu.
Tetapi
bagi kita orang awam yang mengikuti berita melalui media massa, kita membaca
berita Tok Guru Nik Aziz mengulangi kenyataannya akan terus berkhidmat hingga
ke akhir hayat, atau selagi dikehendaki oleh parti dan hanya akan berundur
apabila dinasihati parti supaya berbuat demikian.
Tiba-tiba setelah menang PRU13 kita
mendapat berita Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar sebelum ini,
mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar Kelantan. Tiada lagi Tok Guru Nik Aziz.
Memang itu berita yang mengejutkan, walaupun proses pertukaran itu berlaku
begitu bersahaja dan tanpa apa-apa peristiwa atau kejadian yang luar biasa.
Kita sudah lama maklum akan keadaan
Tok Guru yang sudah lanjut usia, dan keadaan fizikalnya pun sudah agak uzur,
dan kesihatannya pun sering terganggu. Tetapi dari segi lain, kemampuan minda
dan ideanya masih kelihatan segar dan up-to-date, sentiasa selari dengan
perkembangan masa.
Terakhir misalnya, beberapa minggu
sebelum Parlimen dibubarkan, Tok Guru meminta saya menghasilkan sebuah teater
kisah Abul ‘As menantu Rasulullah saw, dengan melibatkan ‘artis-artis hijrah’
sebagai pelakon. Teater itu pun (Pengisytiharan Abul ‘As) dipentaskan di
hotel Grand Riverview Kota Bharu, pada 15 Mac.
Pementasan teater itu menjadi satu
peristiwa penting dalam sejarah perkembangan seni-budaya, khasnya teater Islam
di negara ini. Buat pertama kalinya PAS dan Kerajaan PAS Kelantan (melalui TG
Nik Aziz) secara rasmi membenarkan perempuan berlakon bersama lelaki di atas
pentas, di hadapan khalayak umum lelaki dan perempuan. Sebelum itu tidak
dibenarkan. Maka itu adalah suatu pemikiran baru dari TG Nik Aziz, yang membuka
ruang yang luas untuk kegiatan seni teater dalam masyarakat Islam.
Dan beberapa hari selepas itu saya
menerima telefon daripada Pusat Kajian Strategik Kelantan meminta beberapa
tarikh yang dapat saya luangkan untuk ke Kota Bharu, kerana TG Nik Aziz meminta
supaya diadakan majlis bicara buku mengenai buku terbaru saya Kelantan 22
Tahun Bukti Kejayaaan. (Beliau melancarkan buku ini pada malam pementasan
teater Abul ‘As itu). Rancangan bicara buku itu walau bagaimanapun tak sempat
diadakan kerana Perdana Menteri Najib membubarkan Parlimen pada 3 April.
Jadi, pengunduran TG Nik Aziz secara
tiba-tiba itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Walaupun kita tahu dia sudah
lama menjadi Menteri Besar (hampir 23 tahun) dan pada bila-bila masa sahaja dia
mungkin akan mengundurkan diri (kerana sebab-sebab yang munasabah), namun
berita pengundurannya itu tetap memberi kejutan. Sebab apa? Sebab kita masih
memerlukan sumbangan idea dan pemikirannya yang sentiasa segar, berani,
mengikuti peredaran zaman, dan dibuat berdasarkan ilmu Islamnya yang luas dan
mendalam.
Sekarang TG Nik Aziz sudah tiada
lagi di Kelantan sebagai Menteri Besar. Kelantan sekarang sudah tidak sama lagi
dengan Kelantan sebelum 5513 (5 Mei 2013). Kita tidak tahu sebenarnya apakah
Kelantan akan terus kekal sepertimana ia di bawah pentadbiran TG Nik Aziz, atau
akan menjadi lebih baik, atau bagaimana. Namun kita tetap merasakan Kelantan
selepas ini akan tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513.
Bukan kita mengatakan Ahmad Yaakob
tidak layak menjadi Menteri Besar Kelantan. Bukan. Ahmad Yaakob memang layak,
dan dia mungkin membawa Kelantan menjadi lebih baik lagi selepas ini. Kita
mengatakan Kelantan selepas ini tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum ini
hanyalah semata-mata kerana kuatnya imej TG Nik Aziz yang telah melekat dalam
kepala dan hati kita selama ini.
Ingat Kelantan sahaja kita terus
terbayangkan sosok tubuh TG Nik Aziz. Dan sekarang apabila ingat Kelantan,
bayangan sosok tubuh kecil yang berwibawa sebagai Tok Guru itu (atau sebagai
orang tua tempat kita boleh mengadu, walaupun kita tidak mengadu pun) sudah
tiada lagi sebagai Mentri Besar Kelantan. Itu saja. Tapi sungguhpun begitu, ia
sangat mengesankan, buat masa ini.
Kita terasa kehilangan. Walaupun
kita tahu dia ada, di rumahnya di Pulau Melaka, tapi kita tetap merasakan
kehilangannya sebagai sosok pemimpin yang lembut dan mesra di tengah-tengah
permasalahan masyarakat.
Saya, dan bersama kawan-kawan dalam
Seniman Paksi Rakyat (Paksi), mempunyai beberapa rancangan yang dicadangkan
akan dibuat melibatkan TG Nik Aziz. Antaranya ialah seminar serantau mengenai
model pentadbiran negara Islam dengan tumpuan kepada Kelantan, yang dicadangkan
dibuat Julai ini, melibatkan wakil-wakil dari Indonesia, Selatan Thailand,
Kemboja, Filipina dan Brunei. Ia belum dimaklumkan kepada kerajaan negeri
Kelantan. Cadangnya akan dimaklumkan pertengahan bulan ini.
Satu lagi rancangan ialah pembukuan
tafsir seluruh al-Quran oleh TG Nik Aziz. Telah lama TG Nik Aziz selesai
mensyarahkan tafsir seluruh al-Quran 30 juzuk itu, tetapi ia belum dibukukan.
Ia tersimpan dalam tape dan CD, tetapi tidak terkumpul. (Perlu
diusahakan pengumpulannya juga). Yang telah dibukukan hanya Tafsir Surah Yunus,
Surah Taubah dan beberapa lagi.
Kami merasakan tafsir yang lengkap
ini perlu dibukukan kerana belum ada pendekatan tafsir seperti yang disyarahkan
oleh TG Nik Aziz. Ia berbeza daripada tafsir-tafsir oleh Ibnu Kathir, Qurtubi,
Maraghi, Syed Qutub dan Hamka. Ia akan berada sebaris dengan tafsir-tafsir
besar al-Quran yang sedia ada itu. TG Nik telahpun selesai menyiapkannya.
Tinggal kita mengusahakan pembukuannya sahaja. Alangkah ruginya kalau ini tidak
dapat dilakukan.
Satu lagi rancangan kami yang
penting bersabit dengan TG Nik Aziz ialah menghasilkan sebuah filem atau video
dokumentari mengenai kehidupannya, untuk disebarkan ke peringkat antarabangsa.
Sewaktu pementasan Pengisytiharan
Abul ‘As di Kota Bharu pada 15 Mac dikatakan bahawa pementasan itu ialah
suatu pra-tonton (preview). Ertinya belum lagi pementasannya yang
sebenar kepada orang ramai. Pementasan untuk orang ramai akan dibuat kemudian.
Oleh kerana ia adalah program inisiatif TG Nik Aziz sendiri (Setiausaha
Politiknya Wan Nik menjadi penerbitnya), kita tak tahulah sekarang bagaimana
pula kedudukannya. Kita tunggu sahajalah berita daripada mereka.
Demikian itulah antara yang kami
rancang, berkaitan dengan TG Nik Aziz. Sekarang tidak pasti samada rancangan-rancangan
itu boleh diteruskan atau tidak. Tidak pasti samada kerajaan pimpinan Datuk
Ahmad Yaakob berminat dengan cadangan-cadangan itu.
Namun
walau apapun, minat saya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan masih tetap sama,
kerana saya menganggapnya sebagai model pentadbiran negara Islam yang ada pada
hari ini. Dan saya juga menganggapnya sebagai model pentadbiran yang terbaik di
dunia pada hari ini, dengan beberapa kelemahannya, yang perlu diatasi oleh
pimpinan baru.
No comments:
Post a Comment