Beberapa
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno Kedah berhati-hati dalam menyokong Datuk
Mukhriz Mahathir sebagai calon menteri besar jika parti tersebut memenangi
negeri jelapang padi itu dengan mengatakan pengalaman di peringkat pusat atau
faktor keturunan bukanlah jaminan kepada kejayaan.
Beberapa
ADUN yang dihubungi The
Malaysian Insider mengatakan Mukriz tidak mempunyai kelebihan
kerana beliau anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, atau
sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, sambil
menegaskan mentadbir negeri di utara tersebut berbeza dengan pentadbiran di
peringkat pusat.
“Status
sebagai seorang anak mantan perdana menteri bukan sesuatu jaminan kepada
beliau,” kata ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar kepada The Malaysian Insider.
“Pengundi
sekarang banyak mendapat maklumat dan mereka sudah bijak untuk membuat
pilihan,” tambah beliau.
Selain
Mukhriz, anak kepada bekas perdana menteri yang aktif berpolitik adalah Datuk
Seri Najib Razak dan sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Apabila
ditanya sama ada Mukhriz yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno
Kedah mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk memimpin Kedah jika BN kembali
merampas negeri tersebut daripada PAS, Ahmad Zaini berkata corak politik dan
pentadbiran pusat dan negeri adalah sesuatu yang berbeza.
“Tidak
semestinya memegang jawatan di Pusat akan menjamin beliau dapat mengendalikan
pemerintahan negeri, corak kedua-duanya berbeza sekali,” katanya.
Mukhriz
menafikan semalam pencalonannya sebagai menteri besar Kedah, mengatakan BN
perlu memenangi negeri tersebut dalam PIlihan Raya 2013 sebelum membincangkan
mengenai jawatan tersebut.
“Kita
nak kena menang negeri itu dulu, kemudian baru cakap siapa yang dilantik ...
saya khuatir cakap-cakap ini macam tidak matang dan berunsur spekulatif kerana
tumpuan kami adalah untuk menangkan negeri itu,” katanya sambil menambah BN
mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali negeri jelapang padi itu.
Dalam
pada itu, seorang lagi ADUN Guar Chempedak Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail
tidak menyatakan secara terbuka membantah Mukhriz sebagai calon menteri besar
namun berpendapat perkara tersebut sebagai pelik memandangkan secara tradisinya
pengerusi perhubungan Umno negeri dan pengerusi BN negeri kebiasaannya diangkat
sebagai calon.
“Tapi,
tidak tahulah jika Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak mahu membuat
kejutan, keputusan muktamad masih ditangannya,” kata Ku Abdul Rahman kepada The Malaysian Insider.
Datuk
Ahmad Bashah Md Hanipah dipilih menggantikan bekas Menteri Besar Datuk Seri
Mahdzir Khalid sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kedah selepas BN
tumbang dalam Pilihan Raya 2008 dan Mukhriz dilantik sebagai timbalan.
ADUN
Kuah Datuk Nawawi Ahmad yang berada dalam jawatankuasa badan perhubungan Umno
Kedah mengatakan beliau mengambil sikap untuk tidak memihak kepada mana-mana
pihak, tetapi berkata ahli Umno setia kepada Ahmad Bashah.
“Susah
untuk komen saya sama ada siapa yang berkelayakan untuk menjadi menteri besar.
Kedua-duanya mempunyai kebolehan dan kemampuan masing-masing, tapi apa penting
ialah setia dengan kepimpinan sedia ada dan pastikan Kedah dapat ditawan
semula,” katanya.
Khabar
angin tentang pencalonan Mukhriz sebagai calon menteri besar timbul beberapa
tahun lalu, dengan Dr Mahathir secara terbuka menyatakan sokongan kepada
anaknya jika tercalon.
Malahan
kajian yang dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia pada Julai lalu terhadap
10,800 responden mendapati 69 peratus menyokong Mukhriz sebagai menteri besar
berbanding 12 peratus yang menyokong Ahmad Bashah.
Sumber
mengatakan kecenderungan kepada Mukhriz mungkin disebabkan statusnya sebagai
anak Dr Mahathir dan lebih berpendidikan berbanding Ahmad Bashah.
Mereka
juga memberitahu Mukhriz bakal bertanding di Ayer Hitam atau Seputeh bagi
kerusi DUN, dan untuk mengelakkan beliau tergelincir terus daripada politik
jika terdapat sabotaj, kerusi parlimen Jerlun juga bakal dipertahankan.
Pada
Pilihan Raya 2008, BN memenangi 14 daripada 36 kerusi negeri manakala Pakatan
Rakyat pula memenangi 22 kerusi dengan PAS menawan 16 daripada keseluruhan
kerusi tersebut.
BN
hanya memenangi empat daripada 15 kerusi parlimen di Kedah dalam pilihan raya
bersejarah tersebut yang menyaksikan gabungan pemerintah tersebut kehilangan
majoriti tradisi dua pertiga di parlimen.
Kedah
memiliki seramai 1,025,930 pengundi seluruh kawasan DUN dalam daftar pemilih
Suruhanjaya Pilihan Raya pada November lepas.
No comments:
Post a Comment