Oleh
: Aspan Alias
Dua Hari lepas Teng Chang Yeow,
Pengerusi BN P Pinang, menunjukkan sifat rasis Gerakan. Teng telah memainkan
isu kaum dan agama yang sangat sempit semata-mata kerana politik sempit BN P
Pinang. Kali ini BN sekali lagi menunjukkan sikap bermuka-muka mereka dengan
membidas Lim Guan Eng kerana memberikan peruntukan 300% kepada Hal Ehwal Agama
Islam di negeri itu. Dalam pada itu komponen terbesar BN, UMNO pula telah
bercakap bergegar-gegar dalam perhimpunan parti itu minggu lepas dengan cuba
menonjolkan yang UMNO memperjuangkan Islam dengan serius.
‘Satu undi untuk PAS, adalah satu
undi untuk kehancuran Islam’ kata Presiden nya, Najib yang akhir-akhir ini cuba
melekatkan imej Islam kepada diri beliau sendiri. Kalau benar Najib dan UMNO
itu kuat memperjuangkan Islam, Presiden parti itu sepatutnya membuat kenyataan
akhbar untuk memberikan pujian terhadap Lim Guan Eng (LGE) kerana peruntukan yang besar untuk kegiatan
agama beliau itu. Najib sepatutnya membidas Teng Chang Yeow kerana membantutkan
usaha meyakinkan rakyat bahawa BN itu memperjuangkan Islam seperti yang
termaktub di dalam Bab 3 Perlembagaan UMNO itu.
BN dan UMNO nampaknya hanya
beretorik tentang Islam ini, sebaliknya DAP pula membantu PAS dalam
memperkemaskan isu Islam dalam perjuangan Pakatan Rakyat. UMNO hanya sarat dengan
slogan. Dulu UMNO berslogan ‘bersih, cekap dan amanah’ tetapi tidak di
laksanakan, tetapi DAP pula yang melaksanakan slogan itu dengan mentadbir P
Pinang dengan bersih, cekap dan amanah. Begitu juga di Selangor, Kedah dan
Kelantan: apa yang di slogankan UMNO, itulah yang dilaksanakan oleh pimpinan
Pakatan Rakyat (PR).
Kadangkala ada juga baiknya BN ini.
Itu sebabnya saya pernah mencadangkan supaya BN duduk di pihak pembangkang dan
tugas mereka hanya mencipta slogan-slogan yang besar-besar. Biar PR memimpin
dan mentadbir kerajaan dan melaksanakan semua slogan ciptaan BN itu. BN tidak pernah menjayakan apa-apa
slogan laungannya.
Berbalik kepada kenyataan terang
Teng Chang Yeow di Pulau Pinang itu, kita ingin melihat dan mendengar reaksi
UMNO Pulau Pinang khususnya dari Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan
negeri itu yang sentiasa menuduh DAP anti Islam dan anti Melayu itu. Apakah jumlahnya peruntukkan bagi Hal Ehwal
Agama Islam di negeri itu semasa BN/Gerakan memimpin negeri itu sejak merdeka
selama 55 tahun dahulu? Semasa tahun akhir pentadbiran BN di P Pinang
peruntukan bagi Hal Ehwal Islam di P Pinang hanyalah RM12 juta sahaja
berbanding dengan RM64 juta sekarang ini.
Kita tidak tahu, yang mana satu yang
betul kerana lain parti dalam BN ini lain perjuangannya. Selama ini yang kita
tahu dengan pimpinan UMNO dan BN menuduh Pakatan Rakyat yang tidak sealiran
dalam perjuangan parti-parti komponennya. Sekarang ini elok kita minta pimpinan
BN duduk di atas satu pentas Kita hendak
juga mendengar apa kata Chua Soi Lek dari MCA, Teng Chang Yeow dari Gerakan
serta parti-parti komponen yang lain di P Pinang itu.
Dengan kenyataan Pengerusi BN P
Pinang itu, kita yakin yang sebenarnya bercanggah perjuangan ialah parti-parti
dalam BN itu. Oleh kerana kelemahan setiap parti dalam BN itu maka keluar lah
kenyataan yang membingungkan yang susah untuk di fahami rakyat.
Justeru kita tidak nampak bagaimana
BN boleh diyakini oleh rakyat di P Pinang khususnya orang-orang Melayu yang
beragama Islam di sana. Tidak ada penyatuan matlamat dalam perjuangan BN itu.
BN gagal untuk menampilkan pendirian yang satu di antara parti-parti
komponennya. Mereka sedang dalam keadaan
lemah dan tidak akan dapat menyelesaikan krisis keyakinan yang sedang mereka
hadapi.
Sesungguhnya UMNO dan BN tidak
mempunyai apa-apa lagi. Yang ada hanyalah saki-baki kuasa yang masih ada kepada
mereka dan dalam penantian untuk menghadapi kekalahan buat kali pertama dalam
sejarah kemerdekaan kita.
No comments:
Post a Comment