DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Friday, December 14, 2012

ANTARA SUMPAH NAJIB, SUMPAH MAHSURI DAN SUMPAH HANTU RAYA



Oleh Hafiz Zainuddin

SUMPAH bukan perkara asing bagi dunia Melayu. Ia sudah menjadi sebahagian daripada nilai dan sejarah zaman berzaman.

Benar atau salah sumpah Mahsuri, Kedah mula bangkit selepas tujuh keturunan selepas kematiannya difitnah. Dalam sastera Melayu klasik, Hikayat Marakarma mencatatkan bagaimana Maharaja Angkasa Indera Dewa atau Betara Angkasa Indera Dewa turun dari Kayangan ke dunia bersama isterinya tanpa kebenaran Betara Guru, akibatnya, mereka disumpah menjadi sepasang suami isteri yang miskin dan  melarat dibenci orang.


Antara kisah sumpah paling popular ialah kisah si Tanggang. Si Tanggang lakonan Jins Shamsudin telah menidakkan Si Deruma sebagai ibunya dengan angkuh, lantas berdoalah ibu tua itu kepada tuhan, “Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.” Semena-mena sahaja langit bertukar gelap, laut bergelora dan malanglah nasib Si Tanggang dan anak kapalnya menjadi batu.

Begitu juga halnya dengan makhluk yang terkenal dengan gelaran sebagai Sang Kelembai. Makhluk berupa gergasi yang menghuni di hutan ini mempunyai kesaktian menyumpah orang yang ditegurnya menjadi batu. Manifestasi ‘kewujudan sang kelembai’ ini boleh dilihat melalui batu berbentuk gajah di Batu Gajah, Perak dan Gua Mat Sirat di Kampung Kepayang Ipoh.
Ini cuma sekelumit kecil kisah sumpah dan sumpahan yang popular dan dekat dalam masyarakat kita. Takkan selesai kalau diceritakan semuanya di sini.

Manifestasi sumpah

Daripada 1001 kisah sumpah yang kita dengar, ia memanifestasi sebab dan akibat, ia menggambarkan persepsi negatif yang kebanyakannya menuju derita. Ada yang menjadi batu, ada yang jadi miskin, ada disumpah menjadi padang jarak padang terkukur, ada yang karam di tengah lautan.

Mungkin daripada mengadaptasi kisah klasik ini, ada pihak cuba mengubah persepsi negatif sumpah kepada positif seadanya. Malah, ia sering diguna sebagai senjata murahan untuk menabur fitnah.

Biarpun, kebenaran sumpah yang dilafaz bukanlah mutlak. Di zaman ini, penyumpah akan jadi popular. Dia tidak akan mati seperti Mahsuri yang dihukum bunuh. Malah diangkat pula sebagai wira. Bagaimanapun, kisah Saiful Bukhari bersumpah laknat bertahan hanya beberapa bulan. Maklum sahajalah, rakyat Malaysia lebih percayakan fakta daripada ‘gosip liar dan tidak masuk akal’. Lidah tak bertulang bak kata orang tua.

Sumpah jembalang, Hantu Raya

Satu hal lain selain sumpah yang tidak janggal buat masyarakat kita ialah bab hantu dan jembalang. Sudah barang tentu jembalang ini tidak akan terbeli dengan BR1M 2.0 dan Klinik 1Malaysia. Maka, untuk mendapat khidmat mereka, si tuan perlulah menyeru mereka untuk didampingi.

Tentu sekali persekongkolan si tuan atau bomoh  dengan entiti ghaib itu perlu diikat dengan janji agar tercapai maksud di hati, agar terbuka jalan yang tertutup. Maka, bila sudah terjalin batin bersama batin, kalau tidak diturut janji, maka akan binasalah badan dimakan sumpah.

Disebabkan saya memang menjadi peminat hardcore karya hebat penulis genre seram Malaysia era 80-an seperti Tamar Jalis dan Tok Awang Ngah (Dharmala N.S), tidak salah kiranya dikongsi mantera ‘sumpah Hantu Raya’ yang boleh dijadikan tauladan buat kita. Bunyinya begini;

“Hai, anakku si Hantu Raya
Pergi dan menghantuilah (sifulan-sifulan)
Jika kamu tidak pergi makan hati dan perutnya,
Musnahkan. Makanlah hati dan perutnya,
Aku sumpah kau,
Engkau menderhaka kepada Allah,
Engkau menderhaka kepada Rasulullah,
Engkau menderhaka kepada aku.”

Sumpah Najib-UMNO

Jadi, apabila Najib bersumpah pada Persidangan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, saya dapat mengukur sejauh mana ‘kemasinan’ sumpah Najib. Bait sumpahnya berbunyi seperti berikut;

“Saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan Rasul-Nya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.”

Inilah contoh sumpah manusia yang penakut. Sumpah Najib ini tidak lengkap kerana tidak diikat dengan janji seperti,  “kalau saya dan saf kepimpinan UMNO melanggar sumpah, Allah laknatlah kami, Rasul laknatlah kami.”

Mungkin Najib berasa tercabar apabila orang Melayu semakin mendominasi politik Malaysia dengan penyertaan menggalakkan beralih kepada PAS, PKR malah DAP. Apapun, Najib tidak perlulah bersumpah sedemikian rupa untuk meyakinkan agar rakyat kembali ke pangkuan UMNO.

Tak perlu bersumpah-sumpah

Najib tak perlu bersumpah. Cukuplah dengan hanya mengotakan janji transformasi beliau yang masih lopong dan goyah. Mana dia transformasi politik? Mana dia transformasi undang-undang? Malaysia masih terbelenggu dengan hegemoni kaum dan agama. Rakyat masih ditakut dan dikelirukan dengan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Ini tidak lain untuk melihat orang Melayu yang baik budi ini terus bertaut dengan tongkat sakti UMNO agar tanpa UMNO, orang Melayu akan hilang arah, gila atau tenggelam dan lupus dimamah zaman?

Apapun, sejarah mengajar kita agar tidak tertipu lagi. Maaf buat UMNO, orang Melayu makin dewasa dan matang. Malaysia harus diselamatkan daripada pimpinan rakus yang berselindung di balik songkok tinggi, keris bersilang maupun baju Melayu. Perjuangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang unggul dan harmoni perlu dijulang. Ibarat sumpah pendekar; “Pantang undur walau setapak, pantang maut sebelum ajal.” Ayuh, Malaysia harus kita bebaskan daripada pembodohan. 

Sumber:Roketkini.com

No comments: