DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Friday, December 14, 2012

HABIBIE, TOKOH REFORMASI YANG SATU LAGI



Oleh Liew Chin Tong

Hari ini kita menyaksikan kebangkitan Indonesia sebagai sebuah negara yang semakin penting and makmur.  Negara ini bangkit lantaran jatuhnya regim diktator Suharto, yang digulingkan pada tahun 1998.  B.J Habibie yang muncul secara kebetulan pada waktu yang genting itu, tidak menghampakan sejarah.  Beliau meletakkan batu asas untuk membina sesebuah sistem bagi Indonesia yang baru.


Habibie mendakwa dirinya tidak pernah terfikir untuk berkecimpung dalam politik.  Beliau mengambil alih tampuk kuasa sebagai Presiden secara kebetulan.  Beliau menyelamatkan sebuah negara yang besar dari kemerosotan pada saat-saat yang mustahak, lantas mengubah nasib orang ramai.

Siapa Habibie

Beliau berada di Jerman untuk lebih 20 tahun sejak berusia 19 tahun pada tahun 1955, berulang-alik antara Jerman dengan Indonesia sejak tahun 1974.  Pada tahun 1978, beliau secara rasmi kembali untuk menerajui pembangunan bidang aeroangkasa di Indonesia.  Beliau berminat untuk membina pesawat terbang, tetapi pesawat terbang yang dibinanya sering dipertikaikan – sama ada berbaloi atau tidak – untuk sebuah negara yang miskin seperti Indonesia.  Habibie selaku seorang teknokrat, telah dilantik menjadi Menteri di bawah pemerintahan Presiden Suharto.

Habibie dilantik sebagai Timbalan Presiden oleh Suharto pada Januari 1998.  Kemelut ekonomi Asia meletus di Thailand pada 2 Julai 1997, menular ke Indonesia pada September.  keadaannya semakin parah selepas Oktober, lantaran kegagalan kerajaan mengendalikan masalah “bank runs“, krisis di mana penyimpan wang mengeluarkan wang dari bank secara kolektif dan tiba-tiba.  Perlantikan seorang “saintis” yang dilihat hanya tahu membazir dana awam oleh Suharto, telah menghakis saki-baki sokongan politik yang tinggal.

Enggan tunduk pada Suharto

Suharto berundur pada 20 Mei 1998, membubuh noktah kepada pemerintahannya selama 32 tahun.  Suharto berniat untuk memaksa Habibie agar berundur bersamanya, namun ditolak oleh Habibie.  Tentera pasukan khas, KONSTRAD, yang dikuasai Jeneral Prabowo Subianto, menantu Suharto telah masuk ke Jakarta dari seluruh pelusuk, dengan cubaan untuk merampas kuasa.

Habibie mengambil alih pemerintahan dalam situasi yang dihantui bayangan ini. Sebagai salah seorang pengikut Suharto, tiada orang menjangka Habibie akan menggerakkan proses pendemokrasian.  Beliau menyempurnakan pendemokrasian politik, membebaskan tahanan politik, menghapuskan sekatan akhbar, sekatan parti, mengehadkan tempoh jawatan Presiden kepada dua penggal, menjurus kepada pilihan raya demokrasi pada tahun 1999.

Membawa perubahan

Beliau melakukan perubahan yang “menggegarkan” apabila melaksanakan desentralisasi (pembahagian kuasa) (“Big Bang” decentralisaton), sekaligus menukar sesebuah regim dengan pemusatan kuasa yang ketara kepada sistem yang amat tinggi tahap desentralisasinya.  Meskipun berdepan dengan bantahan tentera, beliau mengadakan referendum untuk Timor Timur, menamatkan kesilapan sejarah yang berlanjutan selama 25 tahun.

Dari segi perhubungan etnik, sungguhpun sumbangan Abdurrahman Wahid (Gus Dur) yang menyandang jawatan Presiden selepas BJ Habibie lebih dikenang komuniti Tionghua Indonesia, tetapi Habibie telah menampilkan keberaniannya untuk menukar dasar diskriminasi kaum Cina ketika itu.

Pada Oktober 1999, Habibie membentang laporan pentadbirannya di Majlis Permusyawaratan Rakyat, namun kelulusannya digagalkan oleh anggota dalam parti pemerintah, Golkar, sendiri.  Beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding bagi penggal seterusnya, memberi laluan kepada peralihan kuasa secara aman di Indonesia buat kali pertama dalam sejarah.

Tempoh 16 bulan sebagai Presiden tidaklah dianggap panjang, malah juga dihiasi kecacatan atau kelemahan.  Namun, seandainya tanpa Habibie, atau ditukar orang lain sebagai Presiden Indonesia ketika itu, barangkali Indonesia bukan negara semakin makmur dan membangkit sebagaimana hari ini.

Melihat Habibie dari dekat

Susuk badan Habibie tidaklah tinggi sangat, tetapi dilihat sebagai gergasi dalam sejarah Asia.

Selepas menghadiri jamuan peribadi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Institut Pulau Pinang baru-baru ini bersama bekas Presiden Indonesia Habibie, saya terselam dalam emosi untuk sejenak.

Universiti Nasional Australia dianggap sebagai pusat mengkaji Indonesia, saya selaku penuntutnya agak masak dengan sejarah kontemporari Indonesia.  Saya mendengar dari dekat, ketika Habibie berkongsi kisah hidupnya – ia bagai kuliah mengenai hidup, kuasa dan sejarah.

Malaysia kini berada dalam titik pemusingan sejarah.  Apakah akan wujud dalam parti pemerintah tokoh-tokoh seperti Presiden Myanmar Thein Sein, Presiden Afrika Selatan berkulit putih Frederik Willem de Klerk yang membebaskan Nelson Mandela, atau BJ Habibie di Indonesia, muncul sebagai penggerak sejarah di saat-saat yang genting untuk menamatkan regim lama dan mencipta masyarakat baru.

Seandainya Abdullah Badawi adalah Habibie

Kita kecundang setiap kali ketika mengharungi titik pemusingan ini.  Pada tahun 1981 ketika Mahathir Mohamad menerajui tampuk kuasa, PRU pada tahun 1982, temanya islah dan slogannya “Bersih, Cekap, Amanah”, berakhir dengan keluhan.

Ketika Anwar Ibrahim menyandang Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, golongan kelas menengah Melayu pada ketika itu menanti-nanti agar Mahathir berundur dan bersara,  PM baru membawa kemungkinan yang baru.  Yang baru akhirnya dikurung dalam penjara, dan yang lama tidak ditamatkan sehingga hari ini.
\
Seandainya Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih kuasa pada tahun 2003 berkongsi misi sejarah seperti Habibie, membuat pilihan yang tidak bersalah ketika berdepan dengan sejarah, maka Malaysia semestinya berlainan selepas 10 tahun.

Masa tidak berhenti untuk kita.  Pada waktu malam yang sunyi ini, saya mengimbas krisis ekonomi tahun 1997 yang berlaku pada 15 tahun yang lalu; Reformasi tahun 1998 yang berlaku pada 14 tahun lalu.
\
Masih ada minda UMNO yang kuku besi

Malaysia masih menunggu. Dan dalam penantian itu, negara dimalukan dengan seorang bekas Menteri yang sudah beberapa kali terdedah kurang cerdiknya. Kali ini tulisannya dalam lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, telah menuduh Habibie sebagai seorang yang sombong, memualkan dan pengkhianat bangsa.

Tentunya tokoh politik dan para pemimpin Indonesia mengecam kata-kata “dog of imperialism” oleh Zainuddin Maidin untuk menggambarkan tokoh perubahan Indonesia, Habibie. Mungkin selayaknya bagi Zainuddin, Mahathir pujaannya adalah klon kepada sang diktator Suharto; itulah juga yang ditulis dalam rencananya tempoh hari. – Roketkini.com

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera. Rencana ini asalnya ditulis dalam Bahasa Cina dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Lim Hong Siang dengan bantuan suntingan Roketkini.com

No comments: