Bekas timbalan
menteri jangka BN tewas PRU13
KOTA KINABALU:
Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong meletakkan keyakinan
yang sangat kuat bahawa BN akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurutnya, daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen di seluruh negara, beliau menjangkakan 118 kerusi akan dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 kali ini dan 104 kerusi sahaja akan diperoleh BN.
Beliau yang telah keluar BN dan mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini berkata, asas pengiraannya adalah dengan formula (82 + 20 + 16 = 118)
82 katanya adalah jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh gabungan PAS,PKR dan DAP pada PRU12, 2008 yang lalu dan dijangka jumlah itu akan kekal pada PRU akan datang.
20 pula adalah jumlah kerusi parlimen yang majoritinya adalah pengundi Cina dan India yang dimenangi BN dalam PRU12 yang sudah tentu pada jangkaannya akan menolak BN pada PRU akan datang.
Asas kekalahan BN itu juga jelasnya, turut disandarkan pada keyakinan bahawa lebih separuh kerusi parlimen Sabah - selama ini menjadi 'tempat berpaut' BN untuk mengekalkan kuasa termasuk pada PRU12 lalu - akan 'swing' kepada Pakatan Rakyat.
Kata Yahya, sekurang-kurangnya 16 dari 25 kawasan parlimen di Sabah bakal dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang.
Kawasan itu masing-masing adalah 13 kerusi dari kawasan majoriti pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan Cina (KDM-C) dan tiga lagi dari kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam.
Tiga kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam adalah di Beaufort, Papar dan Kota Belud.
Di Papar dan Kota Belud katanya, jumlah peratusan pengundi KDM-C adalah 40 peratus dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 15 peratus sahaja lagi sokongan pengundi Islam bagi memenangi kedua-dua parlimen tersebut.
Bagi Beaufort pula, parlimen itu diyakini akan dimenangi Pakatan Rakyat apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas Ketua Umno Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin disebut-sebut bertanding di situ.
Lajim juga adalah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Dan jika benar jangkaan Yahya ini berlaku, bermakna Pakatan Rakyat sudah boleh menguasai Putrajaya dengan 118 kerusi tidak termasuk kerusi perlimen dari Sarawak.
"Pakatan hanya memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
"Justeru, Pakatan Rakyat sudah berupaya membentuk kerajaan dengan sokongan rakyat Semenanjung dan Sabah. Maka kawasan parlimen Sarawak adalah Bonus," katanya.
Baca pula tulisan Pak Aspan Alias di bawah :
UMNO: SUDAH HENDAK JATUH, MASIH MENGAKU GAGAH
Saya tidak tahu bagaimana
ada pemimpin peringkat tertinggi BN percaya yang BN akan mendapat sedikit lebih
kerusi parlimen dari apa yang didapati dalam PRU yang ke-12 dahulu. Di samping
mengakui akan kehilangan beberapa kerusi yang sekarang dipegang oleh BN di
Sabah dan Sarawak, BN masih berkeyakinan boleh mendapat lebih daripada 140
kerusi dari jumlah 222 kerusi parlimen keseluruhannya.
Nampaknya UMNO dan BN
mempunyai formula ilmu kira-kira yang baru. BN mengakui yang enam atau tujuh
kerusi di Sabah akan kalah dan jumlah yang sama juga akan kalah di Sarawak.
Tetapi dengan berkurangan jumlah kemenangan BN di kedua-dua buah negeri ini ia
menambahkan kemenangan BN melebihi 140 kerusi.
Tetapi dalam ilmu kira-kira
apabila sesuatu angka itu ditolak, angka itu akan menjadi kurang. Jadi kalau
hendak tahu ilmu kira-kira (belum lagi matematik) yang baru di mana menolak
jumlah angka itu akan menambah bilangan jumlah angka tersebut, elok belajar
dari BN bagaimana menolak jumlah sesuatu angka itu boleh menambah bilangan
angka itu. Selalunya angka itu akan bertambah jika dicampur bukannya ditolak.
Tetapi kita tahu kenapa BN
merasakan ia akan mendapat lebih daripada 140 kerusi dan fenomena kekeliruan
ini memang biasa berlaku di dalam BN. Semasa Abdullah Badawi membubarkan
parlimen dahulu pun, tentunya beliau membuat perkiraan yang BN akan memenangi
jumlah kerusi yang besar sebagaimana yang beliau perolehi semasa PRU tahun 2004
dahulu. Dalam hal membuat kira-kira ini, BN memang selalu salah dan kesalahan
ini akan berlaku lagi di dalam pilihanraya yang akan datang ini.
BN membuat perkiraan yang
di Semenanjung mereka yakin yang pengundi India akan kembali ke pangkuan BN,
dan beberapa kerusi yang dipegang oleh PKR akan jatuh ke tangan mereka. Jika
itu perkiraannya mereka sepatutnya menolak sejumlah sokongan dari kaum Cina
yang sekarang ini sedang menambah bilangan sokongan kepada PR melalui DAP kali
ini. Jika dahulu hanya 65% sahaja orang Cina memberikan sokongan kepada PR,
kali ini jumlahnya akan bertambah kepada 80%. 15% tambahan ini adalah satu
angka yang besar dan boleh memberikan impak negatif kepada BN dalam PRU ini.
BN meletakkan harapan untuk
mendapatkan pertambahan kerusi kali ini melalui pemberian BR1M kedua tidak
berapa lama lagi. BN yakin dengan pembelian undi ini mereka akan mendapat
sokongan yang lebih besar kerana BN merasakan jumlah RM500 atau RM1000 itu amat
besar kepada rakyat yang miskin. BN masih memainkan isu kemiskinan yang mereka
wujudkan untuk mendapatkan sokongan semasa terdesak dengan membayar jiwa dan
raga mereka (orang miskin).
Sekarang baru kita yakin
yang BN akan tetap mengekalkan tahap kemiskinan rakyat di tahap yang ada
sekarang ini agar dapat dipergunakan dalam setiap PRU yang bakal diadakan
dengan membeli mereka yang BN anggap sebagai kelompok miskin ini. Pendeknya BN
menaruh harapan kepada undi dari mereka yang dianggap miskin. Pimpinan kita
beranggapan RM500 melalui pemberian BR1M ini sudah memadai untuk rakyat
sedangkan jumlah sejemput itu hanya boleh menyelesaikan masalah untuk sehari
sahaja.
Tetapi benarkah BR1M itu
membawa keuntungan kepada BN kerana rata-rata saya dapati ramai rakyat yang
tersinggung dengan tindakan Najib membeli undi ini, terutamanya di kalangan
anak muda yang berpendapatan tetap. Ramai orang-orang yang berumur ini menerima
BR1M ini tidak akan mengundi BN kerana anak-anak mereka memberi lebih dari apa
yang BN berikan kepada mereka. Mereka ini akhirnya akan mendengar nasihat
anak-anak mereka dari mendengar nasihat pemimpin UMNO di mana-mana.
Seperkara yang UMNO tidak
mengambil kira ialah parti itu akan menghadapi masalah dalaman yang besar dalam
PRU yang akan datang ini. Bagi pendapat ramai perebutan menjadi calon lebih
buruk lagi di masa ini. UMNO akan menghadapi sabotaj dari ahli-ahli dan
pemimpinnya sendiri dan ini akan hanya menyerlah sebaik sahaja nama-nama calon
diumumkan. Apa yang berlaku di dalam pilihanraya yang lalu akan berlaku dalam
kadar yang lebih teruk lagi di pilihanraya kali ini.
Saya telah mendapat
maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO dan pimpinan pertengahan yang
mereka akan melakukan apa sahaja untuk memboikot mana-mana calon yang tidak
sehaluan dengan mereka dan perkara ini jelas dirancang dari atas sehingga ke
bawah dalam parti pemerintah selama dekad itu. Ramai pimpinan di peringkat
bahagian telah jatuh semangatnya kerana masalahnya bukan menghadapi pembangkang
yang sudah sedia mendapat perhatian ramai, tetapi menghadapi masalah ‘chah
keting’ sesama sendiri.
Sesungguhnya UMNO tidak
akan mampu diperbaiki selagi barisan sekarang ini masih berkeliaran di majlis
tertinggi serta kabinet negara pada hari ini. Ini cadangan yang mustahil
diterima oleh pimpinan UMNO hari ini. Cadangan itu ialah untuk pimpinan yang
ada pada hari ini bersara dan berikan kepada ahli-ahli yang tidak mahu masuk
dalam acuan yang dibentuk oleh Dr Mahathir dahulu. Jika acuan ini tidak ditukar
rakyat tahu siapa pun di kalangan barisan MKT yang ada pada hari ini mengambil
alih imej UMNO itu tidak akan dapat dipulihkan.
Siapa pun yang mengambil
alih di kalangan mereka ini UMNO tidak akan berubah. Imej UMNO sudah begitu
berkecai dan dilihat oleh ramai penganalisis politik yang berwibawa menyatakan
yang kali ini adalah masa yang tergenting sekali yang dialami oleh UMNO. UMNO
perlu menukar acuannya kerana acuan yang ada hari ini sudah tidak boleh dipakai
dan tidak relevan lagi.
UMNO sudah sampai ke tahap
tidak bpleh meletakkan calon kerana kalau digantikan mereka yang ada dengan
calon yang baru, kerosakan sudah terlalu teruk dan siapa pun calon itu akan
kecundang dan tidak bermaya untuk menahan kebangkitan rakyat di merata-rata tempat
dan wilayah di dalam negara ini.
Walaupun Tengku Adnan,
Setiausaha Agong UMNO, berkeyakinan untuk meraih lebih daripada 140 kerusi
parlimen tetapi itu semuanya merupakan ‘wishful thinking’ beliau sahaja. Tengku
Adnan hanya bercakap dengan memberikan pandangan yang beliau ingin dengar
sahaja.
UMNO pusat tidak akan
berani menukar calon-calon yang baru apatah lagi jika penyandang pada hari ini
adalah dari ketua atau pemimpin atasan di bahagian masing-masing. Ditukar akan
membawa kekalahan dan jika tidak ditukar juga akan menjadi masalah besar juga.
UMNO dan ahli-ahlinya tidak ada kebersamaan di antara mereka lagi. Ini
merupakan akibat kelalaian pimpinan yang tidak mengambil tahu hal parti yang
telah mula rapuh sejak tiga puluh tahun yang lalu.
Sekarang ini UMNO terpaksa
menubuhkan bermacam-macam Jawatankuasa untuk mengelakkan sabotaj-mensabotaj
parti. Parti ini menghadapi masalah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya sendiri
bukannya oleh rakyat yang ramai. Jika parti itu bermasalah dalam sebegini serius
bagaimana ia boleh diyakini dan diberikan mandat lagi. Maka UMNO patut
diketepikan dahulu dan biarkan parti itu menyelesaikan masalah mereka dahulu.
Sementara itu biarlah pihak alternatif menjaga rakyat dan negara dalam tempoh
dan penggal yang akan datang ini.
Buat masa ini UMNO terpaksa
berbelanja berlipat kali ganda kali ini untuk membiayai kos pekerja pilihanraya
yang lebih mementingkan wang ringgit yang besar sebelum melaksanakan tugas
dalam pilihanraya nanti. UMNO ibarat kereta yang sudah terlalu tua dan kos
penyelenggaraannya amat tinggi. Apabila kurang penyelenggaraan UMNO akan tidak
berfungsi dan akan seperti kereta tua yang rosak: terbengkalai di tepi-tepi
jalan.
Itu sebabnya orang ramai
memilih untuk memandu kereta baru yang masih berbau wangi di dalamnya. Kereta
lama ini mempunyai bermacam-macam masalah. Lepas diperbaiki, enjin rosak pula
dan sistem penghawa dinginnya. Sekarang apabila kereta itu diyakini boleh
berjalan dengan baik, lampu pula padam dan tidak boleh dipandu pada waktu
malam. Susah memandu kereta tua ini. UMNO perlu dihantar ke bengkel dan
diperbaiki sebelum ia boleh digunakan lagi.
Oleh itu kita mesti terima
hakikat apabila sampai masa UMNO itu jatuh ia akan jatuh bergelimpangan. Ia
seperti nyawa kita, apabila sampai waktunya untuk pulang ke Penciptanya, ia
tidak boleh ditangguh walaupun sesaat. Ada sahaja jalannya untuk kembali ke
asal. Setengahnya mati kerana kemalangan, setengahnya kerana serangan jantung
dan angin ahmar, ada yang mati kerana C4 dan berbagai-bagai lagi cara manusia
melalui jalan kematian.
Parti politik pun begitu.
Ada yang gugur kerana peperangan dan ada yang jatuh kerana rasuah yang
keterlaluan dan salahguna kuasa seperti yang berlaku di negara kita ini.
Dan ini pula adalah SU
Agung UMNO :
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
menjangkakan bahawa BN akan memenangi 140 dari pada 222 kerusi
Parlimen . Ia itu lebih kurang 63 peratus kerusi.
Hari ini juga Tengku Adnan membuat pendedahan mengejut
bilamana beliau mendedahkan bahawa parti itu(BN) sudah mengetahui calon-calon
yang akan dinamakan oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya
Umumke-13 (PRU13).
Malah ujar beliau,BN ada tiap-tiap dokumen PR disamping
nama-nama calon mereka . Sama ada kenyataan ini serius atau hanya sekadar
provokatif, hanya beliau yang tahu.
Tengku Adnan berkata demekian kepada pemberita pada sidang media
selepas menerima penyerahan buku 100 Wira Negara daripada Majlis Bekas Wakil
Rakyat (Mubarak).
Tengku Adnan berkata demikian apabila diajukan soalan berhubung
satu dokumen Barisan Nasional (BN) yang didakwa terlepas ke tangan komponen PR
Pulau Pinang.
Menurut Tengku Adnan lagi, dokumen yang didakwa bocor itu hanya
mengandungi butiran tentang kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya
umum.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar barisan kepimpinan di
semua peringkat agar menyimpan dengan sebaiknya dokumen yang diberikan dan
menganggapnya rahsia supaya tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak
bertanggungjawab.
Sumber: Sinar Harian, The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment