PRU13 medan tempur paling sengit.
Selangor menjadi idaman dan sasaran utama untuk dirampas BN. Pesuruhjaya PAS
Negeri, Dr Abdul Rani Othman, yang dilantik kejawatan strategik itu lebih
setahun lalu, berdepan cabaran terbesar bersama kepimpinan Pakatan Rakyat
Selangor untuk mengekalkan kemenangan di negeri termaju itu.
Umum maklum Umno-BN sedia melakukan
apa juga kaedah dan taktik untuk menebus kekalahan memalukan lebih empat tahun
lalu. Ikuti temu bual wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan SAIDAH HAIRAN
bersama Adun Meru itu, di pejabatnya di Meru, Klang.
HARAKAH: Semua orang tahu pilihan
raya umum kali ini cukup getir, apatah lagi di Selangor. Umno-BN di bawah Dato'
Seri Najib Razak sendiri akan melakukan apa juga taktik untuk merampas negeri
termaju ini. Dr merupakan Pesuruhjaya PAS bagi menerajui misi penting dan
kritikal ini. Dr Boleh ulas tanggungjawab yang begitu besar?
Selepas saya dipilih Pesuruhjaya,
saya merenung di langit dan terbayang wajah ibu saya. Saya terkenangkan keadaan
saya mungkin banyak dosa dengan Allah, dosa dengan ibu bapa, dan saya ingin
menyampaikan pahala kepada arwah ibu dan bapa saya. Moga dengan amanah besar
ini, saya dapat menggerakkan jamaah bersama rakan-rakan, untuk terus lebih maju
dan berkembang. Harapan ummah dan rakyat cukup tinggi buat PAS dan saya
bersyukur dapat turut serta membantu parti ke tahap yang lebih tinggi,
insya-Allah.
Sebenarnya dalam PAS Selangor, ramai
orang berkaliber dan berpotensi serta mempunyai lebih ilmu jauh lebih hebat
daripada saya. Namun, amanah besar ini mesti saya pikul sebaiknya. Saya sering
teringat pesanan Almarhum bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Hasan Shukri:
"Dr Rani, jika anta yang naik PJ ... anta kena bersifat sebagai
ayah." Saya cuba praktikkan pesanan Almarhum Ustaz Hasan itu yang begitu
banyak jasa dan pengalaman itu.
Dr aktif dalam PAS sejak bila?
Tahun 1999, di Meru. Emak bapa asal
dari Pulau Pinang dan saya lahir di Pelabuhan Klang. Saya bertanding pertama
kali dalam pilihan raya 2004. Saya jadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar tahun
1999. Pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri ketika di bawah
Pesuruhjaya, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.
Dr mengambil alih tampuk kepimpinan
Selangor ketika PAS Negeri dilihat seperti bergolak. Macam mana cabaran itu?
Adatlah, memang ada segelintir yang
tidak puas hati, tapi saya anggap itu sebagai cabaran dan asam garam dalam
perjuangan. Saya beri peluang kepada semua saf kepimpinan untuk memperkukuhkan
gerakerja parti. SDaya mahu libatkan lebih ramai pihak, termasuk semua
dewan-dewan dalam parti.
Kalau nak buat sidang akhbar kita
akan panggil semua, Ketua Pemuda, Muslimat dan Ulama. Teks biasanya disiapkan
oleh Ketua Penerangan, Saari Sungib. Dalam sidang media saya cuba babitkan
lebih ramai wakil. Kalau bab agama biarlah Ketua Ulama atau pimpinan berlatar
belakang agama yang bercakap, kalau Pemuda, ketuanya yang berbicara.
Umumnya, PAS Selangor berjalan
lancar. Saya banyak turun padang ke akar umbi dan berjumpa dengan ahli-ahli dan
pimpinan kawasan. Tiada masalah untuk mereka menyuarakan pandangan.
Alhamdulillah, saya dapat kerjasama yang cukup baik dan memberangsangkan.
Cabaran terbesar PAS, termasuk di
Selangor, ialah usaha memikat hati pengundi Melayu. Di Selangor, jika
pembahagian kerusi kekal, PAS mendapat peruntukan kerusi agak besar menandakan
peranan pentingnya diiktiraf rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Bagaimana Dr
melibat cabaran di kerusi majoriti Melayu ini, terutama di kawasan luar bandar?
Ya, memang kita harus sentiasa
melakukan penambahbaikan terhadap strategi dan pendekatan berdepan pengundi.
Kebetulan banyak kerusi yang kita tandingi di kawasan majoriti Melayu dan kita
mesti memberikan fokus dan tumpuan kepada mereka. Dalam banyak forum dan
perbincangan pun kita diminta untuk fokus pengundi Melayu.
Sebab itu dalam program Semarak
Hijau, saya tekankan tidak payahlah buat sangat ceramah di bandar-bandar. Ini
kerana orang di bandar sudah tahu siapa yang hendak dipilih. Kita harus lebih
banyak dekati pengundi, rasai sendiri kehidupan mereka di kampung-kampung.
Ikhlas melakukan kerja-kerja kebajikan bersama mereka, menyelesaikan masalah
yang dihadapi, tidak sombong diri, mengambil berat persoalan rakyat, bersikap
ringan tangan.
Apa pun, dalam Islam, kita kena
yakin dengan Allah. Perjuangan ini, jika kita nampak hanya dunia, kadang-kadang
seolah-olah tiada jalan keluar. Bekerjalah tapi jangan lupa Allah. Tsunami
politik 2008 itu pun semua kerja Allah.
Sebab itu saya minta ahli dan
pimpinan PAS lakukan solat hajat setiap hari. Jika tidak buat di markas, kena
buat di rumah. Hanya Allah saja yang boleh ubah hati manusia. Selain kita buat
kerja dari rumah ke rumah, menyusun organisasi, kerap turun menyapa akar umbi,
memantapkan urusan parti, kita kena berserah kepada Allah.
Lagi satu, hubungan dengan rakyat
mesti datang dari hati, dan lakukan usaha secara lebih kreatif. Misalnya, cara
saya berkempen, selain mengunjungi dari rumah ke rumah, saya buat 'frame'
gambar. Saya akan bergambar dengan orang-orang yang saya kunjungi itu, termasuk
ahli-ahli Umno dan 'frame'kan gambar itu untuk diserahkan kepada mereka sebagai
cenderahati.
Pengalaman saya, ramai orang di
bawah mahukan perubahan. Mereka ini perlu didekati. Buang segala jurang pemisah
dengan dekati dan rapati mereka, beri penjelasan sebaiknya, insya-Allah mereka
akan tinggalkan Umno. Ramai sedar bahawa Umno telah banyak mengkhianati
masyarakat Melayu. Pemimpinnya hanya ghairah bolot kekayaan termasuk melalui
rasuah dan salahguna kuasa. Di Selangor banyak kes terpampang di depan mata
babitkan ketua-ketua Umno.
Apakah Dr melihat tawaran yang
dikemukakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 boleh
mempengaruhi pengundi?
Saya terkejut jika rakyat Selangor
boleh terpengaruh dengan "bajet Panadol" Najib. Nampak sangat bajet
memancing pengundi dan tidak tangani isu-isu besar dan kritikal yang perlu
diselesaikan segera.
Bagaimanapun, saya tidak nafikan
bajet atau apa juga program BN boleh mempengaruhi orang awam, terutama bila
media diperalatkan semahunya. Jika kita berpeluk tubuh dan pandang ringan
dengan tawaran BN, maka kita sengaja menempuh risiko. Kita kena gerakkan
jentera parti habis-habisan. Jika kita tidak bangun bekerja kuat kita akan
hanyut. Kita kena kerja keras, turun bersama rakyat, dekati masalah mereka.
Bagaimanapun, saya sering
mengingatkan diri saya dan ahli PAS, tentang pertolongan Allah SWT. Hati
manusia Allah yang pegang. Bekerja dan bertawakal.
Bagaimana prestasi Adun serta
ahli-ahli Majlis serta Penyelaras Dun Selangor dari kalangan PAS?
Alhamdulillah. Namun, kita kena
ingat, ini kali pertama kita menang, sudah tentu tidak sunyi dari salah silap.
Dalam mesyuarat Perhubungan Negeri, saya panggil Penyelaras Dun, ketua kampung
dan ahli Majlis. Saya tegur kesilapan dan kelemahan. Misalnya, ada ketua
kampung yang peruntukan tidak dihabiskan, mungkin kurang pengalaman, tapi saya
lihat mereka cepat belajar.
Prestasi rakan-rakan Adun PAS sendiri?
Setakat ini, Alhamdulillah semua
okey. Mereka bertugas dengan baik. Harapnya prestasi boleh ditingkatkan lagi.
Juga dapat seimbangkan dengan komitmen kepada parti.
Tidak timbul rungutan atau laporan
salahguna kuasa terutama berkaitan peruntukan kerajaan?
Tak ada. Peruntukan, saya memang
habis setiap tahun. Yang penting, kita langsung tidak ada salah guna
peruntukan. Kalau ada teguran yang positif, kita alu-alukan, terima dan segera
baiki.
Masalah dalaman tidak menganggu?
PAS sebuah parti yang besar, pasti
timbul problem. Saya memilih pendekatan turun ke bawah, berjumpa dan berbincang
secara bersemuka dengan pihak yang terlibat. Jika ada yang tidak sependapat,
kita cuba selesaikan agar tidak menganggu amanah besar kepada rakyat, terutama
yang memegang jawatan tinggi, seperti Yang Dipertua PAS Kawasan dan Penyelaras
Dun. Kalaupun ada masalah, jangan boikot atau sabotaj sesama sendiri,
berundinglah.
Ada kes-kes yang kita tidak boleh
selesaikan dan kita serah kepada Pusat. Nak isi kemenangan ini memang akan
timbul sedikit sebanyak masalah. Saya terus terang beritahu, apabila dilantik
Pesuruhjaya, saya banyak berhubung dengan pimpinan PAS negeri-negeri yang lebih
banyak pengalaman menang, seperti Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan,
Wan Nik Wan Yusof dan bekas Speaker Kerajaan Negeri, Cikgu Wan Rahim Abdullah.
Dalam PRU13 nanti, bagaimana Dr
melihat peluang PAS untuk kerusi-kerusi yang ditandinginya di Selangor?
Kita dijangka bertanding 20 Dun dan
sasaran kemenangan ialah 16 kerusi. Parlimen pula kita bertanding lapan kerusi.
Diharap kita dapat menambah jumlah kerusi. Walaupun ada pihak melihat, dengan
kemasukan pengundi baru dari luar Selangor, kiraan di atas kertas, mungkin
sukar untuk kita menang tapi saya yakin, dengan kerja kuat bersistematik, insya
Allah keputusannya positif.
Dengan program pendemokrasian, yang
diterajui kerajaan negeri, peluang kita bertambah. Dalam program itu, petugas
akan pergi dari rumah ke rumah, menyemak senarai pengundi, misalnya berapa
ramai yang tidak dikenali tetapi didaftarkan dalam rumah tersebut.
Pendemokrasian melibatkan ketua
kampung dan tidak melibatkan jentera parti. Ini kerja kerajaan negeri. Jika
kerja pendemokrasian sudah habis dan ada nama yang dicurigai, kita akan buat
laporan polis. Seterusnya ke mahkamah. Dengan cara ini saja boleh menyelamatkan
kerusi PAS dan Pakatan Rakyat.
Dulu kita buat "kerja
bodoh", buat bantahan kepada SPR dan SPR jawab akan buang nama-nama yang
kita bantah. Kemudiannya nama-nama tersebut akan dimasukkan semula. Kita juga
akan sasarkan Jabatan Pendaftaran Negara juga. Umno-BN cukup takut dengan
ketegasan kita untuk membuat pilihan raya berasingan dengan kerajaan Pusat.
Takut terdedah penyelewengan mereka.
Pilihan raya berasingan lebih
menguntungkan kita?
Jika senarai daftar pemilih tidak
dibersihkan, tidak mustahil kita kalah. Apabila kita buat berasingan kita akan
kenal siapa pengundi di Dun berkenaan. Memang risiko tinggi tetapi lebih bahaya
jika daftar pemilih tidak dibersihkan. Apabila kita sebut mahu buat pilihan
raya berasingan Umno-BN cukup takut. Sebab mereka takut cara kotor mereka
terbongkar. Kita tidak boleh membenarkan ditipu.
Bagaimana pimpinan PAS negeri
memilih calon?
Kita sudah hantar semua senarai
calon ke Pusat. Semua nama yang dicadangkan dari kawasan dan cawangan, kita
akan tengok dan rujuk semula. Ciri yang kita tekankan, selain kelayakan asasi
yang diputuskan jamaah, ialah calon boleh menang, sebagaimana yang PAS Pusat
tekankan.
Kita tidak kisah sama ada
calon-calon seorang doktor atau jurutera, peguam atau ulama besar, tetapi jika
tidak campur dengan masyarakat, bermasalah dengan akar umbi, kita tidak akan
ajukan nama mereka ke Pusat. Calon mesti individu yang dikenali dan dekat
dengan masyarakat. Ini kerana politik adalah untuk memenangi hati dan pemikiran
pengundi.
No comments:
Post a Comment