Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkata, tidak menjadi kesalahan baginya dan pemipin Pakatan Rakyat
untuk menggunakan jet dalam program bertemu rakyat.
Dalam ucapannya ketika bertemu
sekumpulan penduduk di Puchong, Anwar secara berseloroh berkata langkah itu
juga boleh mengelakkan daripada serangan menggunakan cat dan batu.
"Kita naik bas kena baling cat.
Naik kereta kena baling batu. Jadi kita naik jet. Biar mereka tak boleh baling
batu. Kalau baling, kena muka mereka balik.
"Memang ada syarikat yang bagi
pinjam. Dulu tak bagi. Sekarang bagi sebab dia tahu kita akan menang. Sekarang
ada lima syarikat yang nak bagi pinjam," katanya.
Kenyataannya itu bagi mengulas isu
jet yang digunakannya ketika program Jelajah Merdeka Rakyat ke Sabah pada bulan
lalu.
Isu berkenaan dilaporkan dengan
meluas dalam media pro-BN dan dijadikan modal dalam kempen ceramah pemimpin
pro-BN – dengan jolokan "Buyjet (Beli jet)" – sebagai sindiran untuk
mempertikai belanjawan alternatif Pakatan.
"Seolah-olah dosa besar naik
jet. Ingat bapak dia punya jet?," kata Anwar lagi dalam majlis yang turut
dihadiri oleh menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa
orang anggota exco negeri.
Dalam program bersama kira-kira 200
orang penduduk itu, Anwar turut menerima borang keahlian PKR daripada penduduk
kawasan tersebut.
Kampung berkenaan merupakan antara
tujuh lokasi sekitar negeri Selangor yang dilawatinya hari ini dalam program
Jelajah Merdeka Rakyat Anwar.
Selain Desa Ayer Hitam, Anwar
bersama kumpulan pemimpin Pakatan itu akan mengunjungi Pantai Morib, Kuala
Langat, Banting, Klang, Ijok dan terakhir di Shah Alam.
Beliau juga dijadualkan menghadiri
Majlis Makan Malam Keadilan Selangor dan Ceramah Merdeka Rakyat di perkarangan
Stadium Melawati, Shah Alam.
No comments:
Post a Comment