DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Friday, October 23, 2009

TULISAN KONTROVERSI DALAM PAS KINI

PENGAJARAN DARI BAGAN PINANG
Oleh : Profesor Dr Abdul Aziz Bari
Sumber : Sinar Harian (19/10/2009)

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang berlangsung, 11 Oktober lalu, sudah pun diketahui keputusannya. Kemenangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Samad memang dijangkakan meskipun kegagalan calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat, Zulkefly Mohamad Omar, untuk mengurangkan undi majoriti Barisan Nasional (BN) agak memeranjatkan.


Pelbagai analisis dibuat dan saya tidak mahu menambah apa-apa. Saya sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting daripada sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya. Hal-hal ini penting kerana selain menjadi tema dan mauduk utama ruangan ini, itu semua penting dalam membina sebuah Malaysia yang adil, telus dan sistematik walau siapa dan apa pun warna politik kita. Saya ada menyebut betapa kewujudan sebuah sistem dua parti yang mantap penting bagi memperkasa ideal perlembagaan kita. Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.


Berbalik kepada Bagan Pinang apa yang kita lihat ialah betapa wakil rakyat – yakni Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – pada hakikatnya dianggap sebagai ‘pegawai kebajikan’. Walaupun ini tidak salah tanggapan dan imej memberi kesan yang besar kepada kedudukan dan peranan wakil rakyat berkenaan dan kualiti dewan perundangan kita. Dan seterusnya ini memberi kesan langsung kepada kualiti undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kita. Begitu juga dengan fungsi dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.


Ada kemungkinan pengundi dalam DUN Bagan Pinang, kerana ia adalah pilihan raya kecil dan tidak memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Negeri, mahu mengingatkan Pakatan supaya lebih berhati-hati dan memberi perhatian kepada masalah dan kebajikan rakyat. Ada pihak yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Teluk Kemang yang merangkum DUN berkenaan gagal memainkan peranan. Ini mungkin benar. Tetapi apakah ini cukup kuat untuk mereka memenangkan calon Barisan yang diketahui korup, yang hanya dikatakan ‘teknikal’ oleh pemimpin utamanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun tidak suka calon itu meskipun selepas keputusan diumumkan Mahathir berubah dan turut bergembira dengan keputusan di Bagan Pinang itu.


Keputusan pilihan raya kecil itu menyebabkan sesetengah pihak kesal dan sedih kerana kemenangan besar itu menandakan sikap pengundi yang semacam tidak kisah dengan soal integriti dan kebersihan calon. Apatah lagi mengingat bahawa calon Pas adalah seorang yang begitu aktif dalam isu-isu umum, termasuk alam sekitar dan kes pelupusan sampah Broga. Dalam pada itu sebagaimana di tempat-tempat lain khidmat Barisan bukanlah sempurna, di sana sini banyak juga kegagalan dan kelemahan pentadbiran Mohd Isa sewaktu beliau menjadi Menteri Besar dahulu. Begitu juga dengan pentadbiran sekarang di bawah Datuk Seri Mohamad Hassan.


Hal ini memberi gambaran bahawa kemenangan besar Barisan itu adalah kerana kawasan itu memang kubu UMNO. Sebab itulah ada pihak yang berkata bahawa parti itu tidak harus terlalu seronok kerana apa yang terjadi di Bagan Pinang itu tidak semestinya aliran umum yang akan mendominasi politik negara.


Walau apa pun imej Pakatan yang dipaparkan dalam media yang dikuasai Barisan juga tidak membantu. Imej yang dipaparkan membayangkan betapa gabungan ini rapuh dan tidak berupaya mengambil tempat Barisan. Secara kebetulan itulah kesimpulan yang dibuat oleh Merdeka Center dalam tinjauan lapangan yang diselesaikannya pada awal bulan ini: sekitar 43 peratus dari pengundi berdaftar yang diselidikinya tidak yakin kepada kemampuan Pakatan untuk memerintah di peringkat persekutuan.


Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali atau menyingkirkannya terus. Dalam beberapa portal berita Hasan dilihat sebagai liabiliti kepada Pakatan umumnya dan Pas khususnya. Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.


Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Pas. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan salah Hasan itu secara terbuka. Tindakan dan perangai Hasan itu memang pelik kerana adalah mustahil seorang pegawai tadbir beliau tidak faham konsep tanggung jawab bersama dan bezanya dengan kedudukan penyokong kerajaan.


Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam Pas yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti. Secara perlahan-lahan lulusan syariah Universiti Al-Azhar dan sarjana undang-undang perbandingan Universiti Kent itu mula dilihat sebagai mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Mohd Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 2002.


Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda Pas dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi Pas di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu. Ini menyedihkan kerana selain pernah memerintah dari 1999-2004 Pas juga mentadbir negeri itu dari 1959-1961.


Perubahan kepemimpinan penting bukan saja untuk Pas, tetapi juga dalam konteks mereformasikan sistem kita. Perubahan mendasar hanya akan berlaku sekiranya ada kerajaan baru di peringkat persekutuan. Kita semua maklum Barisan tidak akan berbuat apa-apa kepada SPR dan undi pos umpamanya. Begitu juga dengan kedudukan perkhidmatan awam umumnya dan pasukan polis khususnya. Perubahan-perubahan ini amat penting jika kita mahu Malaysia membuat perubahan sebagaimana yang mula kelihatan di Indonesia selepas dua penggal Susilo Bambang Yudiyono memimpin negara. Jika tidak kita akan terus ketinggalan dan menggigit jari.


Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika Pas kekal dengan kapten yang ada ini mungkin akan berkurang. Sejumlah 21 peratus pengundi yang masih berada di atas pagar kemungkinan besar akan berpihak kepada BN dan untuk memperkasa demokrasi di Malaysia akan gagal lagi.


* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak

“UMNO TIADA, RAKYAT SEJAHTERA”.


"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”

No comments: