Saya pernah membaca sebanyak dua
kali buku Fiqh al-Khilafah hasil karangan Dr Abdul Razzaq al-Sanhuri yang
pastinya merupakan tokoh yang begitu dikenali dalam dunia undang-undang. Buku
yang merupakan tesis beliau di University Of Lyon di Perancis ini seingat saya
telah ditulis pada tahun 1928, iaitu empat tahun selepas kejatuhan Khilafah
Islamiyyah di Turki.
Buku
karangan beliau yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Perancis membincangkan
konsep kerajaan menurut kaca mata Islam. Antara yang menarik di dalam buku ini
adalah seperti berikut:
1.
Sesebuah kerajaan tidak akan dianggap sebagai kerajaan Islam melainkan apabila
kuasa penetapan dasar (al-Sultoh al-Tasyri'iyyah) adalah diserahkan bulat-bulat
kepada ketetapan Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada pandangan ahli parlimen.
2. Kerajaan Islam terbahagi kepada dua; al-Khilafah al-Rashidah (kerajaan yang sempurna) dan al-Khilafah al-Naqisoh (kerajaan yang berlaku kekurangan). Menurut beliau, al-Khilafah al-Rashidah hanya akan berlaku apabila sistem perlantikan seseorang khalifah adalah dengan pemilihan daripada rakyat. Sekiranya sistem yang diamalkan adalah sistem beraja, maka kerajaan tersebut adalah al-Khilafah al-Naqisoh.
3. Dari sudut sejarah, al-Khilafah al-Rashidah hanya berlaku bermula daripada pemerintahan Sayyidina Abu Bakar dan berakhir pada pemerintahan Sayyidina Ali bin Abi Tolib. Selepas itu sehinggalah jatuh Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924, Khilafahnya adalah Khilafah yang tempang kerana perlantikan Khalifah adalah dengan cara kekeluargaan.
4. Apabila khilafah adalah khilafah yang tempang (al-Khilafah al-Naqisoh), maka sekiranya umat Islam dapat menjatuhkan khilafah ini dan dapat menggantikannya kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka umat Islam hendaklah menjatuhkan sebuah Khilafah Islamiah yang tempang.
5. Sekiranya umat Islam tidak mampu untuk menggantikan al-Khilafah al-Naqisoh kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka bersabar dengan kezaliman al-Khilafah al-Naqisoh adalah lebih baik daripada hidup di dalam zaman tiadanya Khilafah langsung.
6. Antara usaha yang perlu dimainkan bagi mendirikan Khilafah Islamiah buat masa hadapan adalah mewujudkan institusi ilmu yang mampu mengeluarkan orang-orang yang pakar dalam bidang fiqah (al-Mujtahidun).
Saya
secara peribadi semasa di Mesir telah bertemu dengan al-Marhum Dr Tawfiq Shawi
yang merupakan menantu kepada Dr Abdul Razzaq al-Sanhuri (Dr Tawfiq Shawi dan
isterinya Dr Nadiah al-Sanhuri adalah orang yang bertanggungjawab
menterjemahkan buku Fiqh al-Khilafah ke dalam bahasa Arab). Saya bertanya
kepada beliau: "Adakah Malaysia sebuah negara Islam?" dan beliau
dengan pantas menjawab "Tidak". Saya dapat mengesan sebabnya iaitu
Syarak tidak dijadikan pemutus paling tinggi dalam dasar negara sebaliknya
tugas ini dirampas oleh dua pertiga ahli Parlimen.
Saya
membuat satu kesimpulan:
Sekiranya
sebuah Khilafah Islamiah yang melaksanakan hukum-hukum Islam dan menjadikan
kuasa pemutus dasar tertingginya adalah Syarak pun boleh dijatuhkan oleh rakyat
apabila cara perlantikan Khalifah bukan dengan cara suara rakyat, maka apa
sangatlah dengan kerajaan BN yang memerintah Malaysia pada hari ini yang
sememangnya bukan negara Islam bahkan sanggup pula mengenepikan aturan-aturan
Syarak.
Rasanya
Kerajaan BN hari ini sangat-sangat layak untuk diruntuhkan oleh rakyat yang
cintakan Islam dan cintakan kesejahteraan sejagat.
No comments:
Post a Comment