AGAK
menarik untuk membayangkan apabila BN kalah di Pusat dalam PRU13 nanti. Senario
kekalahan itu jika dapat diceritakan kepada rakyat, boleh memberi motivasi
kepada mereka untuk menukar kerajaan kerana suasana yang berbeza daripada
kebiasaan, selagi tidak menggugat kehidupan mereka, juga adalah impian
sebahagian besar manusia.
Hari
ini, saban waktu kita menghadap televisyen hanya versi sebelah pihak yang
diperolehi. Jika mereka melaporkan program kerajaan maka ia memang wajar kerana
aktiviti kerajaan mesti diberi liputan.
Namun
laporan berita yang dibuat tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti
politik yang memerintah.
Perhimpunan
Agung Umno mendapat liputan siaran langsung dan fokus selama berhari-hari.
Persidangan Parlimen pun tidak mendapat liputan sehebat itu.
Rakyat
umumnya naik muak setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno. Selepas
ini tiada lagi liputan istimewa seperti itu untuk Umno.
Maka
selepas ini liputan untuk PAS, KeADILan atau DAP ada dalam televisyen, radio
dan akhbar tetapi tidaklah menjolok mata seperti perhimpunan Umno sekarang.
Sebelum
ini, menjelang PRU atau pilihan raya kecil kerajaan BN turun atas nama kerajaan
Pusat. Seluruh jentera kerajaan dikerahkan berkempen untuk BN dengan
menggunakan peruntukan kerajaan.
Selepas
ini tiada lagi. Semua parti politik sertai pilihan raya dengan menggunakan
jentera serta kekuatan parti.
Hari
ini, BN menjadi parti yang sangat berkuasa. Keangkuhan mereka cuma tidak
mengatasi Firaun yang mengaku menjadi Tuhan. Mereka kononnya boleh memberi
segalanya kepada rakyat.
Kerajaan
dan BN atau Umno sudah jadi sinonim. Apa yang menjadi hak kerajaan adalah
hakmilik BN sehingga pejabat parti pun dalam balai raya milik kerajaan.
Selepas
PRU nanti, BN kehilangan semua itu kerana mereka hilang kerajaan Pusat. Tiada
tempat untuk bertenggek. Untuk bermesyuarat atau merancang aktiviti mungkin
boleh dibuat di bawah pokok tetapi untuk membiayai program parti mereka tiada
sumber kewangan.
Tauke
dan korporat tidak mahu lagi membantu kerana mereka tidak berhutang budi
apa-apa lagi dengan pihak BN. Berapa hari agaknya mereka mampu bertahan?
Selama
ini ramai yang menyokong Umno atau BN kerana kepentingan. Kerana projek,
kedudukan, jawatan atau sekurang-kurangnya kerana mahu bernaung di bawah BN
yang menerajui kerajaan.
Golongan
berkepentingan ini akan meninggalkan BN yang kalah dan menyokong Pakatan yang
menerajui Pusat.
Gerakan
ini berlaku secara besar-besaran di seluruh negara. Parti Umno di semua
peringkat akan runtuh satu demi satu macam komunis di era kejatuhannya. Satu
demi satu negara komunis menuntut kemerdekaan.
Bagaimanapun
diramalkan Umno tidaklah hancur terus.
Mereka
akan diberi nafas baru oleh kumpulan ekstremis seperti Perkasa, Jati, Pekida
dan sebagainya. pada masa itu Umno mungkin kehilangan wajah 1-Malaysianya.
Perjuangan mereka menjadi semakin rasis, apatah lagi antara yang berkongsi
kuasa pada masa itu ialah DAP.
Katalah
dalam PRU nanti Pakatan menang dengan majoriti mudah. Ia tiada masalah asalkan
boleh membentuk kerajaan dan seorang ahli Parlimen Pakatan mengangkat sumpah
sebagai Perdana Menteri.
Selesakah
ahli Parlimen BN untuk menjadi pembangkang setelah berpuluh-puluh tahun dalam
posisi senang lenang sebagai orang kerajaan?
Seorang
demi seorang akan melompat menyertai parti kerajaan kerana tidak mampu bertahan
sebagai pembangkang. Akhirnya kerajaan Pusat dapat ditegakkan dengan majoriti
dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat.
Jika
Pakatan menang di Pusat, mungkin tidak semua negeri akan turut dimenangi.
Jika
ada negeri yang dikuasai BN, apakah mereka mampu bertahan sebagaimana Pakatan
mampu mempertahankan empat negeri sehingga berakhirnya penggal?
Saya
menjangkakan tidak, kerana mereka mereka tidak pernah mendapat tarbiyah sebagai
pembangkang yang memulakan episod politik tanpa kerajaan. Mereka tidak pernah
merasa susah, lalu memilih jalan lebih senang. jalan mudahnya ialah bersama
kerajaan yang memerintah Pusat.
Tanpa
perlu 'dibeli' para Adun BN itu akan melompat menyebelahi Pakatan sehingga
tiada lagi kerajaan BN yang memerintah negeri.
Bagaimana
halnya dengan negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkempen siang
malam untuk mempertahankan kerajaan BN.
Ada
yang meramalkan bahawa beliau dan keluarga akan meninggalkan negara sebelum
keputusan diumumkan. Itupun andaian menarik yang ingin dilihat rakyat. Banyak
sudah kesengsaraan yang ditanggung oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim angkara
Mahathir.
Takkanlah
sepanjang 22 tahun memimpin kerajaan, tiada satu dakwaan pun boleh dikenakan
terhadapnya.
Apakah
nasibnya nanti sama dengan Suharto atau Hosni Mubarak? Atau Perdana Menteri
pada masa itu berjiwa besar, memberi pengampunan kepadanya.
Itu
semua andaian yang sangat menyeronokan untuk diikuti nanti.
Tidak
mustahil untuk ia berlaku dan rakyat kena berusaha jika mahu melihat ia
berlaku. Selepas berusaha kita bermunajat memohon Allah menyempurnakan
cita-cita kita untuk melihat ia terjadi. Allah mempunyai kuasa mutlak untuk
menjatuh atau menaikkan sesebuah kekuasaan. - http://www.kedahlanie.info
No comments:
Post a Comment