DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Sunday, April 7, 2013

AG: K'JAAN SEMENTARA PERLU WUJUD



Kerajaan sementara perlu wujud apabila terbubarnya Dewan Rakyat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong dan berfungsi sebagai kerajaan, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntuk secara khusus mengenai kerajaan sementara tetapi Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntuk bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam menjalankan fungsinya.

Katanya ini selaras dengan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntuk bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.

"Kita juga harus melihat kes Abdul Ghani Ali v. Pendakwa Raya (2001), apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perkataan 'hendaklah' dalam Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa Jemaah Menteri perlu wujud pada setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun Parlimen telah dibubarkan.

"Perlu ada sebuah kerajaan secara berterusan, tidak harus ada jurang. (Patut sentiasa ada) sebuah kerajaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong. Ini keputusan mahkamah. Jadi berdasarkan ini perlu ada sebuah kerajaan sepanjang masa, maka penubuhan kerajaan sementara dibuat," katanya kepada Bernama dalam temu bual di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Abdul Gani berkata Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntuk secara khusus mengenai kerajaan sementara dan fungsinya tetapi ia wujud melalui konvensyen perlembagaan yang tersirat dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya kerajaan sementara yang terdiri daripada barisan Jemaah Menteri bermula apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan akan tamat pada tarikh pelantikan perdana menteri yang baharu selepas keputusan pilihan raya umum atau sehingga bermula penggal baharu Parlimen, yang mana lebih awal.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan sementara boleh menjalankan urusan pentadbiran kerajaan yang tertakluk kepada batasan-batasan tertentu.

Katanya kerajaan sementara boleh mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran rutin agensi kerajaan tetapi tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan polisi yang besar, memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk.

Beliau juga berkata kerajaan sementara boleh membuat apa-apa keputusan berhubung keselamatan, kestabilan dan ekonomi negara serta ketenteraman awam yang sedang diancam.

Selain menjalankan tugasan rasmi yang rutin, Abdul Gani berkata kerajaan sementara juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan program yang sedia ada dengan peruntukan kewangan telah disediakan seperti projek perumahan rakyat termiskin, pinjaman mikro kredit dan pemberian hak milik tanah.

Katanya kerajaan sementara boleh membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji dengan syarat peruntukan mengenainya telah diluluskan kerajaan dan Parlimen khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan Belanjawan 2013.

Katanya ini termasuk membuat apa-apa pembayaran yang diluluskan kerajaan sebelum Dewan Rakyat dibubarkan kerana tindakan itu merupakan antara perkara rutin yang menjadi tanggungjawab kerajaan sementara.

"Contoh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sudah diputuskan, itu hak rakyat untuk memperolehnya. Jadi apa pula timbul isu penyogokan? Penyogokan hanya boleh digunapakai apabila seseorang itu tidak mempunyai hak dan saya beri 'sebagai membalas budi'," katanya.

Beliau berkata anggota kerajaan sementara boleh mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rasmi dan mengadakan jamuan yang telah dijadualkan bagi sesuatu projek, program atau atur cara yang ditetapkan dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan dan mematuhi arahan perbendaharaan yang berkuatkuasa.

Abdul Gani juga berkata anggota kerajaan sementara boleh merasmikan sesuatu majlis sekiranya majlis berkenaan hanya sekadar melibatkan perasmian jalan raya, sekolah atau jambatan yang telah dijadualkan.

Katanya anggota pentadbiran juga boleh merasmikan apa-apa majlis di kawasan beliau bertanding termasuk majlis bukan di bawah tanggungjawabnya mengikut Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan semasa Dewan Rakyat terbubar.

Selain itu, katanya, kerajaan sementara juga boleh menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa mana-mana undang-undang yang telah diluluskan Parlimen.

"Pada asasnya, terdapat tiga perkara yang kerajaan sementara tidak patut lakukan - membuat keputusan dasar-dasar utama yang mungkin boleh menjadi komitmen atau membebankan kerajaan yang bakal dibentuk , membuat pelantikan penting seperti melantik ketua hakim negara baharu oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Untuk menasihatkan sebarang pelantikan, tak boleh. Ketiga, menandatangani mana-mana kontrak besar bagi pihak kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada terdapat negara lain menggubal undang-undang khusus mengenai kerajaan sementara, Abdul Gani berkata : "Setakat yang saya tahu, tidak ada".-MK

No comments: