Apabila Negri Sembilan terpaksa
membiarkan Dewan Legislatif nya terbubar dengan sendiri itu, maka saya hendak
menyebut semula isu Persekutuan sekali lagi. Membiarkan Dewan Undangan Negeri terbubar
dengan sendiri itu merupakan petanda jelas yang negara kita seolah-olah sedang
ditadbir seperti Malayan Union yang ingin dibentuk oleh British dahulu.
Ramai yang keliru tentang isu ini
termasuk mereka yang memimpin. Oleh itu kita melihat cara negara kita ditadbir
urus tidak seperti sebuah negara Persekutuan. Kita seolah-olah di tadbir oleh
kerajaan yang cuba dibentuk oleh British dahulu, iaitu kerajaan Malayan Union
dalam mana negara kita hendak ditadbir seperti sebuah negara ‘unitary’.
British hampir berjaya membentuk dan
melaksanakan Malayan Union terhadap semenanjung ini. Brtitish telah merangka
semenanjung ini sebagai sebuah negara ‘unitary’ tanpa mempunyai sempadan di
antara kesemua negeri dalam semenanjung ini. Kuala Lumpur merupakan pusat
pentadbiran Malayan Union itu. Tidak ada lagi Selangor, tidak ada lagi Negri
Sembilan dan semua negeri-negeri yang kita ada sekarang ini. Raja-Raja Melayu
dirancang untuk menjadi penasihat-penasihat kepada Malayan Union itu dalam
bentuk ‘ceremonial’ sahaja.
Tetapi semuanya itu dapat ditolak
sehinggakan kita berjaya membentuk sebuah negara Persekutuan pada bulan
Februari 1948 dan kerajaan Persekutuan itu lah yang meneruskan perjuangan
kemerdekaan sehingga kemerdekaan itu tercapai pada bulan Ogos 1957. Raja-Raja
Melayu telah mendapat semula negeri-negeri jajahan baginda semua dengan
mempunyai Legisltif nya sendiri dan Ketua Eksekutif sendiri, walaupun Ketua
Eksekutif itu dilantik oleh British.
Justeru dalam pemahaman kita yang
mudah, negeri-negeri ini adalah negeri-negeri berdaulat di bawah naungan
Raja-Raja Melayu dan dalam perjanjian Persekutuan pada Februari 1948 itu.
Negeri-negeri ini bersetuju untuk bergabung dalam sebuah negara Persekutuan
yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Kedaulatan negeri-negeri inilah sumber
kedaulatan negara persekutuan yang baru terbentuk itu.
Oleh itu perhubungan Putrajaya
dengan kerajaan negeri-negeri di dalam persekutuan itu mestilah perhubungan
dengan negeri-negeri yang berdaulat dan merdeka. Persekutuan mesti melayani
negeri-negeri dalam persekutuan itu dengan hormat seperti negara kita
menghormati kerajaan negara lain yang berdaulat itu. Tetapi ini tidak berlaku
di negara kita di mana Persekutuan telah menentukan segala-galanya dan
negeri-negeri di dalam persekutuan ini terpaksa tunduk kepada kehendak
Putrajaya seratus peratus.
Ramai merasakan terbubarnya Dewan
Undangan Negeri Sembilan dengan sendiri itu adalah di sebabkan keadaan dan
masalah yang ada di peringkat persekutuan. Itu masalah persekutuan. Tetapi jika
Negri Sembilan ditadbir politiknya oleh Negri Sembilan sendiri, Mohamad Hasan
sepatutnya membubarkan Dewan Undangan Negri Sembilan itu dahulu sebelum DUN iu
terbubar dengan sendirinya. Biarlah Negri Sembilan mengadakan pilihanrayanya
dahulu kerana seperti yang kita dengar selalu, Menteri Besar NS selalu berkata,
“kito dah ready bilo-bilo maso untuk pilihanrayo”
Sebagai sebuah negeri yang berdaulat
dalam persekutuan ini Negri Sembilan sepatutnya memanggil pilihanraya DUN
dahulu. Jika kita terpaksa menunggu pimpinan persekutuan untuk menyelesaikan
masalahnya di Putrajaya sebelum kita memanggil pilihanraya untuk DUN Negeri
inilah masalahnya yang timbul. Terbubarnya DUN Negri Sembilan secara sendiri
itu telah memberikan persepsi jelas yang UMNO dan BN itu sesungguhnya sedang
menghadapi masalah.
Jika benar Negri Sembilan bertindak
sebagai sebuah negeri yang berdaulat membiarkan Dewan Undangan Negeri terbubar
itu adalah satu kejadian yang tidak sepatutnya berlaku. Menteri Besar nya yang
telah di beri kuasa untuk menentukan pembubaran itu tidak melakukannya kerana
masalah pimpinan Persekutuan yang belum bersedia itu. Putrajaya tidak
menghormati nilai sebuah negara persekutuan seolah-olah kita masih terikat
dengan budaya mentadbir ala Malayan Union dahulu. Tiada kebebasan barang
sedikit untuk negeri-negeri dalam persekutuan itu.
Bukannya salah untuk memahami dan
membantu masalah yang di hadapi oleh pimpinan persekutuan itu, tetapi tidak lah
sampai membiarkan Dewan Undangan Negeri yang berdaulat dan mulia itu terbubar
begitu sahaja kerana kehendak Persekutuan itu. Nampaknya Johor pun sudah
menunjukkan tanda-tanda DUN akan terbubar dengan sendiri itu.
Nampaknya satu demi satu DUN-DUN
negeri-negeri yang menganggotai persekutuan kita ini akan terbubar secara ‘automatic’
semata-mata kerana kelalaian dan kelemahan pimpinan Persekutuan. Mereka lebih
mementingkan politik kepartian walaupun parti yang memerintah itu sudah hampir
kepada penamat usianya.
Mungkin keadaan ini terjadi kerana
untuk memberikan kesedaran kepada semua, yang perubahan kepada negara sudah
menjadi fardhu kifayah yang sangat penting kita lakukan. Parti pemerintah
negara ini sudah terlalu uzur dan berusia untuk terus mentadbir kita.
Tengok sahaja lah, Dewan Undangan
Negeri pun terbubar dengan sendirinya. Apa lagi alasan yang ada yang bagi kita
mempertahankan kerajaan yang sudah uzur ini?
No comments:
Post a Comment