Mahathir terpaksa mengaku salah
Oleh : Aspan Alias
Semakin hari semakin panas
suhu politik di negara yang dikatakan pimpinan utama kita akan menjadi negara
maju yang berpendapatan tinggi. Entah apa kemajuan yang kita akan capai tidak
pula kita ketahui. Tetapi apa yang kita lihat, kita semakin hari semakin ke
belakang dan tidak maju ke hadapan. Isu bertambah rumit dan besar, dan semua
isu ini berkait dengan tingkah laku dan salah gunakuasa oleh pucuk pimpinan
negara dan UMNO.
Deepak pula memberikan
reaksi marah-marah apabila Najib memperlekehkan tuduhannya (Deepak) terhadap
terhadap Perdana Menteri yang ‘controversial’ itu. Deepak berjanji akan
mengeluarkan lagi banyak isu yang belum diketahui umum yang berkaitan dengan Najib suami isteri itu.
Walau sebesar mana pun pawang dan dukun digunakan oleh Rosmah, isu terhadap
mereka yang tinggal di Sri Perdana itu tetap datang bertalu-talu.
Nampaknya satu demi satu
perkara yang disorokkan oleh pucuk pimpinan sejak tiga puluh tahun dahulu mula
keluar dan ia memeranjatkan kepada setengah pihak. Tetapi tidak pula
memeranjatkan kepada setengah pihak yang telah melihat dengan dekat perubahan
nilai dalam UMNO dan kepimpinannya sejak dari masa itu.
Isu yang terakhir ialah
berhubung dengan Suruhanjaya Pendatang Asing (RCI) Sabah yang telah di tubuhkan
oleh kerajaan. Akhirnya Dr Mahathir mengakui yang beliau lah yang terlibat dan
membenarkan pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada pendatang asing di
Sabah dahulu.
Dalam pada beliau mengakui
kerja yang tidak baik itu, Mahathir cuba mencari tempat sandaran untuk
meringankan perasaan bersalah beliau dengan membabitkan Tunku Abdul Rahman
Putra yang pada kononnya telah memberikan sejuta orang Cina taraf kerakyatan
semasa sebelum kita mencapai kemerdekaan dahulu.
Ternyata Mahathir ini
semakin hari semakin kusut pemikirannya kerana tidak lagi dapat melihat isu ini
dari perspektif yang betul. Sekarang baru kita sedar kenapa beliau (Mahathir)
tidak menyokong penubuhan RCI ini kerana beliau merupakan orang yang
bertanggungjawab terhadap isu pendatang asing di Sabah dahulu.
Membabitkan nama Bapa
Kemerdekaan negara oleh Dr Mahathir ini amat memalukan bagi kita yang
mendengarnya. Jawapan beliau tidak melambangkan yang beliau seorang yang jujur.
Memang benar lah pandangan setengah pihak, Mahathir ini tidak boleh berjalan
dengan betul diatas jalan yang lurus.
Tunku Abdul Rahman telah
memberikan kerakyatan kepada orang Cina dahulu kerana ia merupakan pra-syarat
bagi negara mencari jalan untuk pencapaian kemerdekaan. Pemberian kerakyatan
itu juga di berikan kepada kaum India yang datang dari India yang bekerja di
ladang-ladang getah semasa kita dalam tadbiran penjajahan dahulu.
Bagaimana Dr Mahathir boleh
tergamak membabitkan Tunku dalam hal ini dan menyamakan keadaan semasa itu
dengan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Menyamakan beliau dengan Tunku
Abdul Rahman serupa lah menyamakan buah epal dengan buah sukun atau buah
bacang. Pemberian kerakyatan kepada pendatang semasa itu adalah syarat yang
telah di tetapkan oleh British bagi mencapai kemerdekaan untuk negara semasa
itu. Setelah semua kaum bersatu maka Tunku dan rombongan untuk mencapai
kemerdekaan itu terdiri dari rakyat Malaya yang berbilang kaum itu..
Pemberian kerakyatan itu
adalah untuk membina sebuah negara baru yang merdeka. Di sebaliknya Dr Mahathir
memberikan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah itu adalah untuk
meruntuhkan negara. Kad pengenalan yang di berikan kepada pendatang asing di
Sabah itu ialah untuk memenangkan parti kerajaan yang sudah lemah dan ia
meruntuhkan sistem demokrasi negara ini.
Dr Mahathir tidak dapat
membezakan diantara belacan dengan cencaluk. Apa pun, kenyataan Dr Mahathir itu
membuktikan tuduhan banyak pihak yang Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk
memenangi pilihanraya semata-mata. Ada di antara mereka yang berpengaruh dalam
negara ini memberikan pendapat apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ini
merupakan satu tindakan ‘treason’ yang amat serius. Mereka berpendapat Mahathir
perlu di siasat tentang kesetiaannya terhadap negara ini.
Jelas sekarang Mahathir
tidak boleh lari dari segala kesalahan beliau terhadap orang Sabah yang asal.
Dengan pemberian kad-kad pengenalan kepada rakyat asing semata-mata kerana
hendak menjaga kepentingan politik kepartian itu, sememangnya satu tindakan
yang ‘treason’ yang sangat besar. Kita berharap RCI yang masih dalam peringkat
penyiasatan itu, akan melaksanakan tugas dengan jujur dan baik untuk
kepentingan Sabah khususnya dan negara amnya. Kita berharap Suruhanjaya itu
akan membuat cadangan tindakan terhadap pelaku kesalahan ini tanpa memilih
bulu.
Bagi saya , apa yang saya
idamkan bersama dengan ramai yang lain ialah, sebuah negara demokrasi yang
benar-benar jujur dan tidak menyelewengkan asas demokrasi itu secara sengaja
semata-mata kerana kuasa. Rakyat mengharapkan perkara seperti ini tidak akan
berlaku lagi dan cara untuk membina keyakinan rakyat kita.
Saya berharap Pakatan
Rakyat akan mampu melakukan perubahan itu.
Baca juga artikel di bawah
:
No comments:
Post a Comment