Oleh
: Aspan Alias
Saya mempunyai pendapat yang
akhirnya Dr Mahathir dan Perkasa lah menjadi penyebab lunturnya sokongan rakyat
terhadap BN khususnya UMNO. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menjawab
persoalan yang dikemukakan kepada saya kenapa saya tidak pernah memberikan
komen terhadap Perkasa sedangkan Perkasa itu bukannya NGO yang sejati tetapi ia
merupakan cabang UMNO pada hakikatnya. Ia sesungguhnya badan politik yang
aktif.
Sekarang
ini ternyata yang Perkasa itu sedang memainkan isu keagamaan pula dengan seruan
untuk membakar kitab Bible yang berbahasa Melayu yang menggunakan nama Allah.
Perkasa membuat tuduhan yang pihak Kristian telah mengedarkan kitab Bible
kepada murid-murid sekolah dan ini merupakan tuduhan yang bersifat jauh dari
kebenarannya. Tetapi permainan politik pertubuhan itu menyebabkan Perkasa telah
begitu dibenci oleh orang ramai dan ia sekali gus meruntuhkan saki-baki kuasa
dan sokongan rakyat terhadap UMNO itu.
Penaung
Perkasa, Dr Mahathir juga akhir-akhir ini tidak lagi bersifat sebagai seorang
negarawan dan masih bermain api dalam politik negara. Tindakan beliau
memalitkan nama baik Tunku Abdul Rahman yang sudah lama meninggalkan kita
merupakan satu tindakan Mahathir yang agak keterlaluan dan tidak dapat di
terima oleh rakyat yang berterima kasih di atas pengorbanan beliau menyudahkan
usaha tuntutan kemerdekaan negara kita dahulu.
Mahathir
telah menyamakan beliau seperti Tunku yang juga telah memberikan kerakyatan
kepada sejuta orang bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan dahulu. Tidak
payah diulangi isu ini kerana saya telah menulis tentangnya dalam posting saya
yang lalu. Hanya kalau saya hendak sebut hanyalah perbezaan di antara Mahathir
dan Tunku itu ibarat langit dengan bumi jauhnya.
Tunku
semasa akhir hayatnya telah terbukti tidak mengambil kesempatan terhadap
kekayaan negara dan beliau tidak meninggalkan apa-apa. Begitu jugalah ahli-ahli
keluarga beliau yang tidak mempunyai harta bergunung-gunung tingginya.
Sebaliknya Mahathir telah menggunakan kuasa dan pengaruh membina ‘empire’
perniagaan anak-anak beliau dan mengambil kesempatan dengan tiada batasnya
terhadap peluang perniagaan.
Sebagai
seorang yang hidup dalam keluarga istana dan keluarga 'aristocrat' Tunku
merupakan seorang yang paling ‘magnanimous’ dan tidak mengambil kesempatan di
atas kuasa yang ada ditangan beliau selama 15 tahun beiau menerajui kepimpinan
negara. Saya selalu menyebut perbezaan di antara dua manusia itu adalah dari
cara seseorang itu dibesar dan dididik oleh keluarga masing-masing. Orang
tua-tua dahulu selalu mengingatkan kita untuk memilih latar belakang keluarga
dan darah yang mengalir di dalam naluri orang pilihan kita itu.
Walaupun
UMNO telah berusaha untuk mengembalikan sokongan ramai terhadapnya tetapi sikap
‘panjang muncung’ Dr Mahathir dan Presiden Perkasa itu sendiri telah
menjatuhkan imej UMNO dan BN dengan begitu teruk sekali. Akhirnya Perkasa telah
menjadi penyebab UMNO sehari dua ini begitu buruk persepsi rakyat terhadapnya.
Kata-kata Dr Mahathir menambahkan lagi kesakitan yang dihadapi oleh UMNO yang
sedang terkial-kial untuk mendapatkan sokongan rakyat sekarang ini.
Sepatutnya
UMNO menganggap Dr Mahathir ini sebagai garam sahaja. Garam ini penting, tetapi
tidak boleh digunakan dengan banyak. Jika dibubuh garam terlalu banyak ia akan
merosakan masakan kita. Garam ini hanya perlu di gunakan setakat secukup rasa
sahaja tidak boleh banyak-banyak. Tetapi Dr Mahathir bercakap terlalu banyak
sehinggakan segala usaha yang dibuat oleh UMNO untuk memulihkan imejnya telah
jatuh dengan teruknya di mata rakyat.
Tetapi
apakan daya. UMNO tidak boleh menguasai Dr Mahathir kerana Dr Mahathir yang
sedang berusaha untuk menguasai UMNO. Dr Mahathir tidak akan sihat tubuhnya
kalau tidak bercakap. Semua kata-katanya menyebabkan UMNO jatuh kredibilitinya
dan membawa musibah kepada parti yang telah uzur itu.
Sesungguhnya
sifat celupar yang berlebihan oleh Dr Mahathir dan Ibrahim ini memberikan
faedah yang besar kepada Pakatan Rakyat. Dalam keadaan pilihanraya sudah begitu
hampir ia terlalu suntuk untuk BN memperbetulkan segala kesalahan Dr Mahathir
dan Ibrahim Ali terhadap UMNO.
Masalah
yang ditimbulkan oleh Perkasa dan kata-kata Mahathir akhir-akhir ini mendapat
tentangan dari komponen Barisan Nasional sendiri. MIC begitu lantang membidas
Ibrahim Ali dan Dr Mahathir.
Pemuda
MIC telah mendesak agar Ibrahim Ali di tahan untuk dibicarakan di atas
berbagai-bagai isu yang merbahayakan keselamatan negara yang disebabkan oleh
Ibrahim Ali. Gerakkan dan berbagai-bagai lagi pertubuhan NGO yang mengeluarkan
kenyataan meminta tindakan undang-undang terhadap Presiden Perkasa ini.
Hakikatnya
BN akan diselubungi oleh masalah dalamannya sendiri serta masalah-masalah yang
di timbulkan oleh pertubuhan-pertubuhan dan individu-individu yang berpihak
kepada BN itu sendiri. Selama ini BN telah memasang terlalu banyak jerat untuk
memerangkap Pakatan Rakyat tetapi oleh kerana terlalu banyak jerat-jerat itu
dipasang maka mereka (BN) terjerumus ke dalam jerat-jerat itu sendiri.
Pendeknya
apa yang parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu lakukan hanyalah membuat
persediaan rapi bagaimana hendak mentadbir negara dengan baik dan tidak
mengulangi kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh UMNO dan BN sekian lama
itu. Berikanlah persekitaran politik yang baik dan nyaman untuk rakyat yang
sudah terlalu lama menghadapi kecelaruan yang dilakukan oleh BN selama ini.
Pakatan
rakyat khususnya kepada kepimpinan tertingginya mesti sedar yang BN sedang
melakukan apa sahaja untuk memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat
khususnya di antara PAS dan DAP.
Bagi
BN apabila pecah sahaja perhubungan di antara PAS dan DAP maka BN akan mendapat
kemenangan walaupun kemenangan yang tipis. Jagalah perhubungan di antara PAS
dan DAP dengan baik kerana perpecahan di antara dua parti ini merupakan resepi
yang paling baik untuk BN dalam menghadapi pilihanraya ini.
Jauhi
diri dari membuat kenyataan yang mudah dimainkan oleh UMNO terutamanya.
Insyaallah UMNO tidak akan berjaya untuk menyempurnakan niat buruknya terhadap
Pakatan Rakyat itu dan Pakatan akan menjadi kerajaan buat kali pertamanya dalam
sejarah kemerdekaan negara kita.
No comments:
Post a Comment