DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Tuesday, January 1, 2013

2013: FAJAR UNTUK NEGARA BERKEBAJIKAN



Oleh : Syahir Sulaiman, Pengarah Kajian Polisi DPPM

Yang benar tidak terikat dengan waktu – Pak Hamka

Tanpa sedar, masa begitu pantas berlalu. Segala hiruk-pikuk 2012 yang ditinggalkan kekal menjadi batas tauladan baik dan buruk dalam kelangsungan rentak hidup yang kian pantas.
Pengundi muda pemangkin kebangkitan 


 Tahun 2013 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda untuk mencorak peta masa hadapan Malaysia.

Melihat kepada peningkatan pengundi baru dan pengundi muda yang dianggarkan sekitar 50% daripada jumlah pengundi berdaftar kali ini, keputusan penentu PRU13 jelas terletak di tangan pengundi muda di saluran tiga dan saluran empat peti undi yang pastinya teruja untuk memilih pemimpin yang mampu membawa sinar baru di Malaysia.

Cadangan daripada Ketua Penerangan PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, agar SPR mempamerkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat, amat bertepatan dengan demografi pengundi dan kematangan politik generasi muda yang tidak lagi termakan dengan agenda dan dakyah berbau perkauman.

“Berdasarkan data-data sedemikian, parti parti dan ahli-ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum”, ujar beliau.

Robert Frost (1874-1963) ada mengungkapkan saranan untuk menempa perubahan di dalam syairnya yang popular, The Road Not Taken, “Dua denai yang tersimpang, dan aku.. aku memilih denai yang jarang ditempuhi, dan ia telah mengubah segalanya”.

Agenda mencorak masa depan
Dalam tempoh kritikal ini, kepimpinan pemuda di semua peringkat perlu melaksanakan apa yang disarankan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan, “Kita menyertai PRU-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan, insyaAllah.

Seluruh Pemuda PAS khususnya yang terlibat di Unit Pengundi Muda di peringkat JPRN, JPRK, JPRD, dan JPRU perlu tangkas bergerak mengikut perancangan dan strategi yang telah disusun.

Medan kita kini adalah untuk menyantuni generasi muda di padang dan gelanggang sukan, pasar malam mahupun uptown, dengan menyusun aktiviti anak muda secara berkala seperti aktiviti futsal, wayang pacak di pasar malam dan kaunter-kaunter semakan daftar pemilih.

Aktiviti kebajikan di semua peringkat perlu dipertingkatkan dengan gerakkerja ziarah dan bantuan kebajikan rakyat secara berterusan sebagai ‘Duta Penyelamat dan Kasih Sayang’ bersama dengan gerakkerja pilihanraya yang dikemudi Jabatan Pilihanraya di semua peringkat.”

Ini adalah selaras dengan ketetapan Halatuju Pemuda PAS untuk sesi 2011/2013 bahawa Pemuda PAS di seluruh peringkat perlu menggerakkan segala sumber yang ada ke arah mencapai 5 halatuju secara kolektif iaitu:

1) Menggerakkan pendaftaran dan menguasai sokongan pengundi muda

2) Mengoptimum penggunaan media baru bagi mendominasi pemikiran rakyat

3) Menampilkan PAS sebagai parti yang
prihatin dan pembela nasib rakyat

4) Membina dan menampilkan tokoh pemimpin muda negara

5) Memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan memposisikan PAS sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat.

Pemuda PAS harus sedar bahawa amanah yang terpikul di bahu adalah besar, bukan sekadar untuk memenangi pilihanraya, tetapi turut memikul amanah untuk mencorak kemenangan. Cabaran besar terhadap dayasaing kita pada hari ini bukan lagi bersifat ‘antara-pakatan’ (inter-coalition) tetapi turut bersifat ‘sesama-pakatan’ (intra-coalition).

Cabaran pasca UMNO/BN kelak lebih mencabar sifatnya kerana kita bukan lagi bersaing dengan penguasa diktator yang zalim lagi jelas kemungkarannya, tetapi kita berdepan dengan sahabat politik dan rakan NGO yang sama-sama bersaing dengan dasar yang berbeza bagi mengisi vakum yang bakal ditinggalkan oleh regim UMNO/BN.

Ketika itu, apa yang menjadi faktor penentu terhadap jatuh-bangun PAS dalam memposisi perjuangannya sebagai gerakan tarbiyah, dakwah dan siasah, bergantung kepada kompetensi dan integriti yang dipamerkan oleh kaderkader jamaah dalam mengemukakan corak dan bentuk bernegara yang lebih baik.


Justeru, ia bukan lagi suatu pilihan tetapi merupakan satu kewajipan yang sangat mendesak bagi setiap individu pemuda untuk menyerlahkan kekuatan dan kepakaran masing-masing, sehingga mampu membuktikan kepada rakyat betapa ‘malaikat tidak dikenali’ (the unknown angel) ini benar-benar mampu untuk diberikan amanah mencorak masa depan negara.

Ini adalah suatu kewajipan kolektif dalam merealisasikan secara praktikal agenda ‘Islam sebagai ad-Din’ dalam ruang dan peluang demokrasi di Malaysia.

“Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” (As-Saff: 13)


2013, fajar untuk negara berkebajikan, insyaAllah.


No comments: