Oleh : Aspan Alias
Sebegitu kuat tekanan yang dihadapi
rakyat yang dilakukan oleh pihak BN yang berkuasa, orang ramai tetap menzahirkan
keinginan untuk bertukar dan mewarnai politik dan siasah negara khususnya bagi
rakyat Negeri Sembilan. Berbagai-bagai halangan dihadapi oleh rakyat dalam
usaha mereka untuk melihat perubahan yang amat diperlukan oleh mereka. Rakyat
mahukan suasana politik yang berbeza dan mereka mahu melenyapkan politik yang
mereka anggap sudah ketinggalan zaman dan memeritkan perasaan dan kehidupan
seharian mereka.
Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran
Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pada 3hb yang lalu amat berjaya kerana dalam
cuaca yang sangat sejuk kerana hujan yang tidak berhenti-henti sepanjang hari
lebih daripada 30,000 rakyat telah hadir. Elemen yang amat memberi rangsangan
ialah kehadiran rakyat berbilang kaum yang berduyun-duyun datang membawa payung
dan baju hujan untuk memberikan sokongan kepada himpunan yang sangat penting
bagi pihak ‘alternative’ kepada BN itu.
Tidak wajar rasanya jika tidak
memberi sekalung pujian dan tahniah kepada PAS serta parti-parti yang menjadi
komponen kepada PR Negeri Sembilan, iaitu DAP dan PKR. Pujian ini sangat wajar
diberikan kepada PR Negeri Sembilan kerana dari awal lagi pihak pentadbir BN di
NS tidak memberikan kerjasama untuk rakyat mengadakan himpunan ini. Tapak
himpunan ini telah berubah sebanyak tiga kali kerana halangan-halangan pihak
kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Mohammad Hasan yang mahu menggagalkan
himpunan ini.
Bagi BN apa yang mereka mahu lihat
ialah kegagalan perhimpunan ini. BN pula menggunakan kuasa mereka dengan
mengadakan konsert M.Nasir di Padang MPS yang merupakan lokasi asal untuk PR
mengadakan perhimpunan itu. Hasilnya konsert itu hanya dihadiri oleh tidak
sampai lima ratus orang dan nyata yang berniat jahat sentiasa tidak kesampaian
hajatnya. Manusia berduyun-duyun ke padang usang di Taman Seremban Jaya dengan
berbekalkan semangat perjuangan dengan membawa payung dan baju hujan untuk
merintasi hujan yang tidak henti-henti itu.
Kejayaan ini tidak disenangi oleh
pihak BN kerana himpunan ini menjelaskan lagi hasrat rakyat untuk perubahan
kali ini. Berita Harian menyiarkan gambar-gambar kerusi kosong, iaitu gambar
yang diambil selepas petugas-petugas himpunan itu menyusun kerusi pada siang
harinya. Berita Harian mengatakan bahawa perhimpunan itu gagal dan menunjukkan
kerusi-kerusi kosong itu, padahal himpunan itu diadakan pada malam hari
sedangkan gambar yang disiarkan oleh Berita Harian itu diambil pada siang
harinya sebelum himpunan itu diadakan.
Usaha bodoh media perdana ini sahaja
sudah menunjukkan yang BN sedang keadaan terdesak di NS dan terpaksa melakukan
pembohongan secara terang-terangan. Saya dihubungi oleh ramai rakan-rakan dalam
UMNO yang mahukan perhimpunan itu berjaya kerana mereka adalah dari pihak yang
berbalah dalam UMNO itu sendiri. UMNO tidak mungkin dapat menghimpunkan rakyat
sebegitu ramai tanpa memberikan bas-bas percuma serta makanan dan kemeja T
beserta dengan topi.
Bagi penyokong PR yang hadir di
Himpunan Kebangkitan Rakyat di NS itu mereka berbelanja sendiri dengan membawa
payung sendiri. Makan pun sendiri, baju T sendiri malahan ramai di antara
mereka telah memberikan sumbangan wang ringgit untuk memastikan perjalanan
usaha ke arah perubahan di NS itu berjalan dengan baik dan lancar. Kejayaan
himpunan itu menunjukkan yang perasaan rakyat bukan boleh dibendung dengan Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan berbagai cara pembelian perasaan rakyat. Rakyat
mahukan perubahan dan tidak mahu yang lain.
Rakyat mahukan perlindungan dari
sebuah kerajaan yang adil dan saksama. Rakyat NS seperti rakyat di negeri lain
juga mahukan sebuah kerajaan pilihan untuk masa depan mereka. Mereka meletakkan
harapan terhadap parti pilihan. ‘Kok nak berlabuh pada yang tenang, kok nak
berhenti pada yang teduh, kok hendak bersandar pada yang kuat dan kalau nak
bersila pada yang rata’.
BN sekarang menumpukan usaha untuk
menyekat kegiatan PR tetapi tidak berusaha untuk menumpukan usaha untuk
menyatukan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Jika perpecahan di antara ahli-ahli
mereka sendiri tidak dapat diatasi bagaimana mereka hendak berhadapan dengan
kebangkitan rakyat. Mereka tidak sedar yang pada setiap waktu mesti ada
sebahagian dari ahli-ahli UMNO di setiap kawasan yang ingin melihat parti
mereka kecundang kerana tidak bersetuju dengan perlakuan parti mereka itu.
Pendeknya, Himpunan Kebangkitan
Rakyat itu benar-benar menunjukkan yang rakyat Negeri Sembilan benar-benar
mahukan BN dijadikan sejarah di NS, negeri adat itu. Rakyat negeri yang beradat
ini serius mahukan perubahan. Mereka sedang bersepakat untuk menjayakan usaha
itu.
Orang Negeri Sembilan sedang
berkata-kata dan mengingati nasihat beradat sesama sendiri: ‘Bulat air dek
pembetongan, bulat manusia dek muafakat, rundingan jangan selisih, muafakat
jangan bercanggah’.
Kata-kata nasihat beradat ini
nampaknya terjalin kuat di antara rakyat yang sedang bermuafakat untuk
perubahan ini. Rundingan dan muafakat ini nampaknya tidak berselisih dan tidak
bercanggah di antara satu dengan lain.
Di Negeri Sembilan permuafakatan di
antara semua rakyat sedang dijalinkan dengan baik dalam rundingan yang sehayun dan
selenggang. Rundingan di antara pihak-pihak yang mahukan perubahan jelas telah
berlaku dan apa yang kita nampak sekarang hanyalah hasil daripada
rundingan-rundingan yang tidak bercanggah dan berselisih tadi. ‘Rundingan telah
berlaku dalam gelap, adat berlalu dalam terang’. Apa yang kita lihat berlaku
adalah hasil daripada rundingan-rundingan di antara rakyat yang dahagakan
perubahan dan kelainan yang dituntut oleh masa dan zamannya..
Itulah yang akan memungkin BN di
Negeri ini akan mendapat giliran untuk berehat barang sepenggal untuk
memperbaiki laku dan adat mereka. Kita mesti ingat, mati kita dikandung tanah,
hidup kita dikandung adat. Adat itu bersendikan syarak dan kitab Allah.
No comments:
Post a Comment