SHAH
ALAM, 19 OKT : Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan kes
serangan pengawal peribadi anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Nazri Aziz ‘telah selesai’ disifatkan melanggar integriti sistem
keadilan di negara ini.
Menurut
Naib Presiden PKR, N Surendran, tindakan Hishamuddin yang juga Menteri Dalam
Negeri itu jelas bertentangan dengan dasar awam dan kedaulatan undang-undang
negara.
Beliau
berkata, sebarang jenayah mahupun salah laku yang dilakukan oleh mana-mana
pihak seharusnya dibawa ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya.
“Di
bawah sistem perundangan kita, jenayah tidak boleh ‘diselesaikan secara baik’.
Dengan mengambil tindakan sebegitu, Hishammuddin boleh dikatakan mungkin
bersubahat. Adakah dia berkompromi hanya kerana kes itu melibatkan anak seorang
Menteri Kanan Umno?
“Seterusnya,
apakah terma penyelesaian ini menyalahi undang-undang? Orang ramai berhak
mengetahui perkara sebenar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam
pada itu, beliau turut mempersoalkan hasil daripada siasatan terhadap Mohamed
Nedim Nazri di bawah seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Jelasnya,
walaupun Hishammuddin mengakui perkara itu sudah disiasat, namun beliau tidak
menyatakan sama ada Nedim dibersihkan daripada kesalahan itu.
“Setiap
warganegara, tidak kira berapa tinggi atau rendah kedudukan sosial mereka,
mereka adalah sama dari sudut undang-undang. Justeru, pengawal keselamatan yang
terlibat dalam kes ini mempunyai hak menuntut keadilan yang adil dan saksama.
“Kami
menyeru Menteri Dalam Negeri untuk membuat pendedahan penuh dan berterus terang
tentang fakta sebenar kes itu dan membuka semula siasatan berhubung kes
serangan ini,” katanya lagi.
Hishammuddin
dalam jawapan bertulisnya semalam berkata, kes memukul penyelia keselamatan
pada Mac 2012 sebenarnya dilakukan oleh bekas pengawal peribadi Mohamad Nedim
dan disiasat mengikut Seksyen 160, Kanun Keseksaan.
Menjawab
soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya), menteri dalam negeri bagaimanapun
memberitahu, kes itu telah pun diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.
Loh
meminta Hishammuddin menyatakan hasil siasatan polis terhadap Mohamad Nedim
berhubung kejadian memukul penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di
ibu negara dan kematian pemuda bernama Darren Kang di Sri Hartamas sekitar
tahun 2004.
Mengenai
kes kematian Darren, Hishammuddin berkata Mohamad Nedim didapati tidak terlibat
dengan kes tersebut sebaliknya lima warganegara Thailand telah dituduh di
mahkamah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara.
No comments:
Post a Comment