Bajet
2013, bajet 'bunga telor'
Oleh : Aspan Alias
Pilihanraya kali ini sangat mahal
harganya. Mahal sungguh untuk pihak pemerintah untuk mempertahankan kuasa yang
semakin menipis itu. Semalam hampir dua jam Perdana Menteri merangkap Menteri
Wanita membentangkan bajet 2013 dan begitu ramai yang memanggil saya untuk
minum kopi dan memberi komen tentang pembentangan bajet itu.
Saya telah membuat kenduri untuk dua
orang anak saya berkahwin dan apa yang saya nampak bajet kali ini banyak
memberikan tumpuan kepada ‘handouts’ untuk pilihanraya dan ianya tidak lebih
dan tidak kurang seperti pemberian ‘door gifts’ kepada tetamu yang datang untuk
kenduri kendara kahwin anak-anak kita.
Salah seorang dari rakan saya yang
berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan memberitahu saya seminggu yang lepas
yang bajet kali ini adalah bajet ‘bunga telor’. Apabila saya bertanya apa
maksud beliau, dengan tegas beliau mengatakan yang bajet kali ini ialah bajet
yang menumpukan untuk membeli hati dan jiwa rakyat. BRIM sana BRIM sini dan
semuanya itu bukannya memberikan apa-apa faedah jangka panjang tetapi hanya
sekadar untuk membeli perasaan rakyat untuk pilihanraya sahaja.
Pemberian ‘bunga telor’ ini hanyalah
untuk digunakan buat sementara waktu sahaja iaitu semasa pilihanraya. Najib
mengharapkan rasa suka itu akan masih terasa berada di dalam hati pengundi
apabila pilihanraya di adakan. Apa yang berlaku selepas itu mereka (BN) tidak
peduli kerana jika mereka mendapat mandat lagi BN ada lima tahun lagi untuk
mengelentong rakyat sesuka hati mereka.
Najib membentangkan kepada kita
semua sebanyak 80 peratus dari belajawan 2013 ini adalah belajawan menguirus.
Hanya 20 peratus sahaja dari jumlah itu untuk membina pembangunan ekonomi
negara. Nampak dengan jelas yang kerajaan hanya menumpukan perbelanjaan untuk
menampung perkhidmatan awam dan perbelanjaan mengurus yang lain.
Kali ini benar-benar bajet membeli
undi dan bajet bunga telor. Bunga telor selalunya nya kita dapati dari
seseorang apabila dia menjemput menghadiri majlis perkahwinan yang hanya datang
tiga atu empat tahun sekali. Tetapi bunga telor itu tidak dapat memberi faedah
jangka panjang pada penerimanya. Ia hanya setakat kenang-kenangan sahaja.
Pembayaran ‘one offs’ seperti ini tidak akan membawa apa yang di cita-citakan
rakyat untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020
nanti. Ia akan hanya tinggal slogan dan slogan terus-menerus.
Tetapi apa yang kita boleh rumuskan
pemberian ‘gula-gula’ ini sangat mahal harganya. Lain-lain perkataan rakyat
terpaksa menanggung harga yang begitu tinggi untuk mengekalkan kuasa di
Putrajaya itu.
Itulah sebabnya saya berfikir yang
bajet anjuran Pakatan Rakyat itu lebih realistik jika kita memilih untuk
mengekalkan negara kita sebagai negara yang maju pada masa yang akan datang
serta memberikan keringanan kepada kehidupan rakyat biasa.
Rakyat akan lebih terasa kebaikannya
jika hutang PTPTN serta harga kereta yang murah dirasai oleh rakyat kerana ini
lebih memberikan munafaat kepada rakyat yang ramai. Mendapat BRIM sebanyak
rm500 itu tidak dapat menampung kos penghidupan yang tinggi yang di alami oleh
rakyat. Rakyat mahukan joran bukannya mahukan ikan yang cepat busuk itu.
Pihak BN boleh menuduh PR
mengemukakan bajet bayangan yang tidak boleh dilaksanakan dan akan membawa
negara kearah kebangkrapan tetapi dalam politik dan siasah mengharap itu adalah
satu perkara yang biasa dan dirasai oleh setiap rakyat di mana-mana sekali pun.
Jika PR tidak berjaya melaksanakan
janji-janjinya rakyat mempunyai kuasa untuk menurunkan mereka kembali di dalam
pilihanraya yang berikutnya. Apabila sampai ke taraf itu maka barulah
benar-benar rakyat yang mempunyai kuasa menentu siapa yang perlu di berikan
mandat dan bukannya rakyat dipaksa oleh BN untuk menyambung mandat bagi mereka
melakukan segala noda dan dosa terhadap politik dan ekonmi negara dan rakyat
kita.
Rakyat tidak perlu takut untuk
memberikan keyakinan kepada PR kerana jika PR mendapat mandat ke Putrajaya ia
hanyalah TOL (temporary occupancy license) bukannya mempunyai hak untuk
mendudukinya secara kekal. Itulah kesilapan BN selama ini kerana mereka
menganggap Putrajaya itu adalah tempat yang boleh diduduki secara kekal dan
boleh melakukan apa sahaja di Putrajaya itu.
Bagi saya bajet kali ini ibarat
‘door gift’ semata-mata, tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Maklumlah pilihanraya
akan sampai tidak lama lagi.
Rakyat tetap menjadi penentu dalam
pilihanraya kali ini. Rakyat boleh memilih BN, tempat dan sumber rasuah dan
salah gunakuasa yang besar atau memilih pihak yang serius untuk membetulkan dan
menyelamatkan negara untuk generasi kita yang akan datang.
Jika BN masih mendapat mandat
percayalah kita akan menyaksikan rasuah akan berlaku lebih dahsyat lagi pada
masa-masa yang akan datang. Kenapa begitu?
Jawapannya mudah. BN akan percaya
yang rakyat boleh ditipu setiap pilihanraya seterusnya sampai bila-bila. BN
akan memperkuatkan lagi kepercayaannya rakyat, khususnya orang Melayu, akan
memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka melakukan rasuah secara
terang-terangan.
Mereka akan lebih percaya yang rakyat terutamanya orang Melayu boleh
melupakan dosa dan noda mereka dengan memberikan mereka ‘gula-gula’ apabila
pilihanraya mendatang. Apabila sampai ketahap itu tidak akan dapat lagi sesiapa
untuk berbuat apa-apa.
Negara hancur dan terus hancur dan
tidak siapa lagi boleh memperbaikinya lagi.
No comments:
Post a Comment