Oleh : Aspan Alias
Saya tidak pernah menulis tentang
isu hudud sebelum ini kerana saya bukan seorang yang berkelayakan untuk
bercakap dan berbahas tentang isu itu. Mungkin saya seorang yang begitu jahil
kerana saya lihat semuanya bercakap tentang hudud dan apabila mereka bercakap
dan berbahas tentang isu itu tentulah mereka ini sudah mahir dan memahami isu
hudud ini dengan tepat termasuk mereka yang berada di dalam kerajaan sekarang.
Hanya yang saya tahu sebagai seorang
Islam kita tidak boleh memakai separuh undang-undang agama kerana ia
bersesuaian dengan kehendak kita dan menolak separuh lagi kerana undang-undang itu
mungkin menjejaskan kepentingan peribadi lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan
politik. Kalau kita beragama Islam kita wajar dan berkewajipan untuk menerima
segala hukum yang disyariatkan Tuhan itu.
Jika kita melanggarnya, kita akui
sahaja yang kita engkar dengan hukum itu. Tidak boleh kita kata setengah hukum
Tuhan itu zalim dan tidak boleh dan praktikal dilaksanakan. Saya tidak ada
keberanian seperti yang ada pada Dr Mahathir yang pernah mengatakan yang hukum
hudud itu hukum yang zalim pada suatu masa dahulu. Saya sendiri selalu
terlanggar banyak hukum yang disyariatkan Tuhan, tetapi saya tidak berani
mengatakan hukum Tuhan itu zalim atau tidak baik dan sesuai dengan keperluan
kita di negara ini.
Hukum Islam itu adalah ‘universal’
dan jangan sekali-kali menentang atau menolaknya. Hukum itu tidak boleh
dikatakan sesuai bagi satu negara dan tidak sesuai dengan rakyat dan negara
lain. Saya tidak berani mengatakan hukum Islam itu salah semata-mata ia
menjejaskan kebebasan saya untuk melakukan sesuatu untuk kepentingan peribadi
saya.
Hudud tidak diberikan penerangan
yang meluas kepada rakyat oleh kerajaan selama ini. Ramai di kalangan orang
Islam sendiri tidak memahami tentang hukum agama kita ini dan ia termasuklah
diri saya sendiri. Jika kita sendiri tidak memahami sepenuhnya tentang hudud
ini bagaimana kaum bukan Islam hendak memahaminya? Tetapi saya berani menulis
sedikit setakat cebisan yang saya tahu. Selebihnya itu biarlah mereka yang
berisi ilmu fiqh yang tinggi sahaja untuk memberikan fakta yang jelas tentang
hudud yang sebenarnya.
Kita mesti akui yang Allah itu Maha
Mengetahui dalam segala-galanya. Tuhan itu Maha
Adil serta Maha Pengasih dan Penyayang. Kita selalu menyanyikan segala
nama sifatnya dan tidak mungkin apa yang diturunkanNya itu tidak sesuai dengan
semua umatNya di dunia ini. Jadi isu yang berbangkit sekarang tidak lebih dari
isu politik semata-mata. Memang senanglah hendak menjadikan isu ini sebagai isu
politik kerana pihak yang takut dengan hukum yang mereka tidak memahaminya akan
dengan mudah menjadikannya sebagai isu.
Saya rasa Dr Mahathir tahu yang
hukum ini adalah hukum Allah kerana beliau adalah seorang Muslim. Tetapi
mungkin oleh kerana beliau jahil dalam isu ini seperti saya, maka beliau telah
menolaknya semasa beliau menjadi PM dahulu mentah-mentah. Bezanya Mahathir ini
berani orangnya dan beliau berani mempersoalkan hukum yang diturunkan oleh
Tuhannya.
Apa yang membuatkan beliau berani
untuk tidak meyakini hukum ini saya tidak tahu. Tetapi oleh kerana beliau
bercakap dalam konteks politik maka itulah kemungkinan yang menyebabkan beliau
berani menolaknya dan menyekat hukum hudud itu terlaksana. Saya tidak berani
menolaknya kerana saya akui hukum itu datangnya dari Tuhan kepada agama yang
saya anuti semata-mata hendak menang perbahasan politik.
Saya tahu saya hanyalah makhluk yang
bersifat baharu dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan noda lebih-lebih
lagi semasa muda dan zaman remaja dahulu. Kita berkewajipan untuk melakukan
introspeksi diri sendiri dan berusaha untuk membetulkan kesilapan kita yang
lalu secara serius.
Bagi saya, saya mengakui yang saya
tidak mampu untuk memberikan ulasan tentang isu ini dengan mendalam. Mungkin
saya boleh menyambung artikel ini besok atau lusa kerana setakat sekarang ini
artikel ini pun sudah cukup panjang.
Artikel yang panjang mungkin
membuatkan orang ramai yang mengunjungi blog ini merasa jemu terutamanya kepada
yang tegar tidak sehaluan dengan saya. Besok lusa saya sambung lagi dan saya
akan memberikan pandangan saya tentang isu ini kerana isu ini adalah isu yang
berkaitan dengan akidah kita.
Saya tidak berani untuk membenarkan
yang salah dan menyalahkan yang benar.
Sebagaimana yang saya janjikan saya
menyambung apa yang saya tulis dalam posting saya semalam.
Hudud ini, jika dipersoalkan
berlebihan ia akan hanya menjadikan seseorang itu dipandang tidak mempunyai
keyakinan terhadap hukum Tuhan itu. Walaupun ada seorang pemimpin besar negara
yang sekarang menafikan beliau bukan tidak bersetuju dengan hudud tetapi beliau
tidak bersetuju dengan hudud PAS.
Kenyataan beliau ini menjelaskan
kepada kita beliau bercakap di atas premis politik dan menganggap hudud yang
hendak diperjuangkan oleh PAS itu adalah hudud ciptaan PAS. Kenyataan ini
merupakan satu kenyataan seorang yang hanya celik mata zahir tetapi sudah buta
mata hatinya.
Beliau membutakan hatinya kerana
bermain politik kepartian yang terlalu menebal sehinggakan di waktu partinya
sudah hampir tumbang dan terumbang ambing beliau sanggup membuat keyataan yang
bertentangan dengan agamanya sendiri. Apa yang hendak dibawa oleh PAS itu ialah
hukum yang diturunkan oleh agama dan Tuhan kita.
Adalah tidak munasabah menuduh yang
hudud yang diperjuangkan oleh PAS adalah hudud PAS. Untuk mendapat penyelesaiannya
yang terpenting bagi kita yang berbeza parti politik ini wajar terlebih dahulu
untuk mengakui yang hudud itu adalah hukum Tuhan. Itu yang perlu dilakukan
dahulu kerana jika kita tidak percaya yang hukum itu adalah hukum Tuhan maka
sampai bila isu ini tidak akan selesai.
Bagi saya hudud adalah undang-undang
untuk semua orang Islam dan itu datangnya dari Tuhan yang maha adil dan
saksama. Hudud ini wajar diterima oleh semua orang Islam kerana itu adalah
undang-undang agamanya. Tetapi jika tidak mampu melaksanakannya jangan pula
dihina undang-undang itu. Segala yang baik ini bukan senang untuk dilakukan dan
tidak menjadi masalah jika ianya diikuti secara beransur-ansur sehingga dapat
terlaksana dengan sepenuhnya.
Yang penting usaha mesti ada dari
mana-mana pihak untuk membina keyakinan yang hudud itu adalah perintah Tuhan
dan kita laksanakan secara beransur-ansur. Kata orang tua-tua, ‘kerja
beransur-ansur itu tidak bertahan’. Susah senangnya untuk melaksanakan hukum
Tuhan ini sebenarnya berada di dalam pemikiran kita. Jika kita berfikir yang ia
susah untuk dilaksanakan maka susahlah ia. Tetapi jika kita serius maka ia akan
dapat dilaksanakan dengan mudah dan senang.
Oleh kerana yang memberi komen ini
meyalutkan unsur politik biar kita jawab dengan bersalutan politik juga. Kini
pemimpin politik terutamanya di pihak UMNO dan BN sedang berusaha untuk
memecah-belahkan pembangkang dengan isu ini. MCA (Chua Soi Lek) sehingga hari
ini memainkan isu hudud yang bukan pun hukum agamanya dengan terang-terangan
dan UMNO sebagai rakan kongsinya mendiamkan diri kerana UMNO sendiri memang
telah menolak hukum ini. Jadi semua pari-parti dalam BN menolak hudud
terang-terangan tanpa segan silu.
Chua Soi Lek telah memaksa Lim Guan
Eng untuk menolak PAS kerana perjuangan untuk melaksakan hudud untuk orang
Islam kita. Niatnya ialah untuk menakut-nakutkan kaum Cina dan bangsa lain yang
telah menolak UMNO dan BN sekarang ini. Dalam perbahasan terbuka di antara Soi
Lek dengan LGE beberapa bulan dahulu LGE telah memberitahu Soi Lek yang DAP
menghormati agama dan kepercayaan orang lain. LGE dan DAP bukannya seperti MCA
yang memaksa UMNO menolak hudud kalau UMNO tidak mahu MCA meninggalkan BN.
Dengan jawapan LGE dalam perbahasan
itu dan dalam siding media bersama Pakatan Rakyat telah memberikan pendirian
rasmi DAP yang parti itu menghormati agama dan kepercayaan pihak dan agama
lain. Dalam erti lain DAP tidak menentang dan membenci hudud itu secara rasmi
dan sanggup bekerjasama dan terus-menerus melaksanakan apa yang telah
bersama-sama dipersetujui seperti yang terkandung di dalam buku jingga Pakatan
Rakyat dan tidak mahu isu hudud itu menjadi penghalang kepada kerjasama dan
permuafakatan di dalam Pakatan Rakyat itu.
Suara-suara terpencil seperti suara
Karpal Singh itu merupakan elemen yang biasa di dalam mana-mana pertubuhan
termasuk dalam pertubuhan politik. BN nampaknya menggunakan isu Karpal Singh
ini sebagai isu yang besar untuk menakut-nakutkan orang Melayu sedangkan UMNO
yang sedang berkuasa pun tidak membuat sesuatu pun untuk melaksanakan hukum
agamanya sendiri.
Apa yang dihairankan jika Karpal
Singh mengeluarkan kenyataan peribadi menentang hudud itu? Karpal bukannya
beragama Islam. Tetapi Mahathir atau Najib pemimpin besar UMNO yang beragama
Islam sendiri mempersendakan hukum agamanya sendiri, kenapa pula hendak
marahkan Karpal yang bukan beragama Islam menentang hukum Tuhan kita ini? UMNO
tidak mahu dan enggan untuk membuktikan bahawa hudud itu adalah adil untuk
semua.
Kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli
UMNO, saya berharap jangan dipersendakan hudud ini. Jika tidak mampu untuk
melaksanakannya berikanlah penghormatan kepada pihak yang sedang berusaha untuk
melaksanakannya. Jangan dipersendakan yang hukum ini adalah ciptaan PAS kerana
PAS seperti juga dengan orang-orang Islam lain bertuhankan Allah swt.
Setidak-tidaknya berikan pendirian
seperti DAP yang secara rasminya menghormati kaum lain dengan agamanya. Jika
sebelum ini DAP dimomokkan sebagai parti kafir kenapa sekarang keadaan dan
pendirian di antara DAP dan UMNO itu sudah terbalik?
DAP menghormati tujuan PAS untuk
melaksanakan hudud sedang UMNO dari dulu menghalang perlaksanaan hudud ini
secara terbuka. UMNO sehingga hari ini tidak mahu memberikan pengakuan secara
rasmi yang hudud itu datangnya dari Allah swt dan jika kita bersama-sama
beriman maka mengakuinya merupakan usaha memperkuatkan tahap keimanan kita.
Perbezaan di antara DAP dengan PAS
mungkin wujud, tetapi di atas perbezaan inilah yang telah membina permuafakatan
di dalam Pakatan Rakyat itu. Kita mesti ingat jika tidak ada elemen perbezaan
maka tidak aka nada elemen permuafakatan itu sendiri. Kita juga tahu yang BN
ada permuafakatan tetapi permuafatan mereka ialah untuk bersama-sama untuk
mempersendakan hukum agama dan Tuhan kita.
Kita kepingin untuk mendengar UMNO
mengakui secara rasmi yang hudud itu adalah hukum Tuhan kita sendiri, bukannya
dari mana-mana. Tetapi sebaliknya kita mendengar kata-kata berunsur orientalis
seperti ‘lebih baik bekerjasama dengan syaitan yang kita kenali dari malaikat
yang kita tidak kenali’ dan sebagainya yang menyesatkan kita semua.
Sampai bila kita dikelirukan oleh
politik murahan pihak yang sedang dalam ketakutan ini?
Baca juga artikel ini :
No comments:
Post a Comment