Para peneroka yang membantah penyenaraian saham Felda
Global Venture Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia sekali lagi menjadi sasaran
cacian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Jika pada satu ketika dulu Najib memaki hamun
peneroka-peneroka tersebut sebagai haramjadah, dalam lawatannya ke Felda Chini
hari ini beliau menyifatkan peneroka tersebut mereka sebagai 'muka tak malu'
kerana mengambil durian runtuh hasil penyenaraian itu.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mengcop
peneroka-peneroka berkenaan sebagai pengkhianat kerana cuba menghalang niat
kerajaan yang mahu mentransformasi serta memartabatkan peneroka Felda di
peringkat global.
"Mereka cuba mengkhianati hasrat kita untuk
membela masyarakat Felda. Cuba halang tapi bila kita hulur, dia tidak malu-malu
menerpa ke hadapan untuk terima durian runtuh, ini termasuklah yang membuat
injunksi, tak malu dan tak tersipu-sipu datang ambil," laungnya dalam nada
menyindir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran
Mini MAHA Pekan 2012 di hadapan kira-kira 10,000 peneroka di Dataran
Shahbandar, Bandar Dara, Chini semalam.
Umum mengetahui, di sebalik penyenaraian tersebut
bukan peneroka yang hanya diberikan 800 unit saham yang untung, tetapi
Pengerusi Felda yang sedang hebat dipertikaikan yang mengaut durian runtuh
sebenar iaitu Tan Sri Isa Samad, yang dianugerahkan sebanyak 180,000 unit
saham.
Begitu jugalah dengan Pengerusi FGVH Datuk Sabri
Ahmad. Barangkali Najib tidak sedar, peneroka-peneroka Umno juga turut
mempersoalkan kenapa mereka diberi jumlah saham yang sangat kecil sehingga
tidak padan untuk menjadi kaya raya sebagaimana diisytiharkan.
Sudahlah hanya diperuntukan tidak sampai satu lot
(1,000 unit) saham bagi membolehkan mereka berjual beli, peneroka dipaksa pula
berhutang dengan mengisi borang pinjaman yang tidak tahu berapa jumlahnya yang
sebenar.
Sebaliknya Najib dengan bangganya pada majlis tersebut
menguar-uarkan bahawa transformasi sedang dan akan terus berlaku kepada
komuniti Felda dengan penyenaraian FGVH di Bursa Saham baru-baru ini.
"Siapa dapat bayangkan FGVH apabila disenaraikan
mencatat sejarah dunia, bukan di Chini kerana kini ia menjadi tawaran awam
permulan (IPO) yang kedua terbesar di dunia selepas saham Facebook,"
katanya.
Najib bercakap besar dengan penyenaraian tersebut
namun pada hakikatnya terpaksa menyandarkan ratusan ribu ekar Tanah Rizab
Melayu yang dipajak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada FGVH. Jadi tidak boleh
dipersalahkan kepada peneroka jika mereka menentang kerana apabila tanah-tanah
milik Melayu tersebut diniagakan di pasaran saham, bermakna sesiapa sahaja
boleh membelinya termasuk pemain-pemain saham luar.
Itupun, nasib baiklah FGVH gagal mengheret Koperasi
Permodalan Felda (KPF) setelah dilakukan oleh injunksi oleh peneroka.
Sayugia diingat peneroka telah membangunkan tanah Felda
daripada hutan belantara sejak setengah abad yang lalu dengan titisan keringat,
darah dan air mata maka sudah tentu mereka tidak ingin hak mereka tergadai di
depan mata.
Sebagai mana diketahui, tidak ada yang percuma bagi
peneroka yang memasuki tanah rancangan. Baik tanah ladang mahupun rumah, baja
dan racun, jalan ladang, pinjaman sara hidup hinggalah kepada kereta tolak dan
sarung tangan, semuanya dikira hutang, dicaj dan dipotong melalui hasil yang
dihantar ke kilang.
Mungkin ada pemimpin Umno yang mengungkit, jika tanpa
tanah Felda 112,000 peneroka seluruh negara tidak bertanah. Namun semua itu
didapati bukannya secara percuma. Malah hasil penat jerih komuniti tersebutlah
Felda muncul menjadi estet terbesar di dunia dan mengaut hasil kedua terbesar
untuk negara selepas Petronas.
Kenapa tidak mahu langsung mengiktiraf peranan
peneroka?
Sebab itu apabila Najib mengumumkan pemberian durian
runtuh kepada isteri peneroka berjumlah RM5,000 seorang yang akan dibayar mulai
esok, ia sebenarnya bukan duit poket pemimpin negara malah duit peneroka juga.
Bagi peneroka yang rata-rata berusia 50 tahun ke atas,
jika benar-benar Felda mahu mengangkat martabat mereka sudah cukup dikembalikan
wang kadar perahan gred (KPG) yang ditipu sejak tidak kurang 15 tahun yang
lalu. Ini dibuktikan dengan saman peneroka seluruh negara terhadap Felda.
Jumlahnya difahamkan menjangkau puluhan ribu ringgit seorang.
Peneroka juga tidak dikembalikan wang tabung tanam
semula (TTS) yang dipotong sejak hampir 30 tahun yang jumlahnya tidak kurang
daripada RM17,000 seorang. Malahan banyak lagi Felda ‘terhutang’ kepada
peneroka.
Justeru jika benar-benar pemimpin negara mahu melihat
martabat peneroka terangkat, generasi kedua dan ketiga Felda juga tidak boleh
diabaikan. Bayangkan, masih ada warga Felda yang tinggal bersama sehingga tiga
generasi dalam sebuah rumah.
Masalah sosial di kalangan warga Felda juga amat
digeruni pada masa ini. Bayangkan, tidak ada satu tanah rancangan pun yang
tidak dijangkiti masalah dadah. Semua orang tahu anak-anak peneroka yang
berjaya berada di luar Felda maka tinggallah yang kurang bernasib baik di situ.
Kenapa Najib bercakap tentang kekayaan saham Felda di
pentas dunia sedangkan nasib warga Felda tidak dibela sewajarnya?
Sebab itu tawaran Pakatan Rakyat dilihat lebih relevan
iaitu tanah Felda Plantation (yang sudah dipajak 99 tahun kepada FGVH) akan
diagihkan kepada generasi kedua Felda yang layak. Kerana pelaburan melalui
pemilikan tanah adalah lebih menguntungkan daripada main saham kerana hasilnya
boleh dimakan hingga ke anak cucu!
No comments:
Post a Comment