Oleh : Shahbudin
Husin
Jika mahu dikatakan transformasi, barangkali inilah transformasi yang sebenarnya yang mahu dibawa oleh Najib. Sejak menjadi Perdana Menteri, Najib ternyata paling banyak melakukan pelbagai perkara baru semata-mata untuk mendapatkan undi dan memastikan dirinya terus kekal berada di puncak kuasa.
Dari memberi wang kepada rakyat, budak sekolah, pelajar universiti, durian runtuh kepada peneroka Felda sehinggalah kepada memberi baucer tayar kepada pemandu teksi - adalah antara pembaharuan politik yang diperkenalkan Najib. Najib dilihat sebagai pemimpin yang pemurah dengan wang tunai dan ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, jia ada pun pemberian tunai hanyalah pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan.
Kali ini beliau melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menjadikan sambutan Hari Merdeka sebagai medan kempen bagi UMNO dan BN pula melalui persetujuan kerajaan menggunakan ungkapan 1Malaysia Janji Ditepati sebagai tema sambutannya pada tahun ini.
Pengumuman tema ini diumumkan oleh Dr Rais Yatim, menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan hari kemerdekaan itu.
Sesiapa pun yang membaca tema itu dengan pantas menyedari bahawa ia bertemakan kempen politik, lebih-lebih lagi Program Janji Ditepati adalah sebuah program mendekati rakyat anjuran Media Prima yang sudah diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara dengan Najib sendiri hadir dan bercakap mengenai politik, pilihanraya dan mempertahankan kuasa di program-program tersebut.
Oleh itu, dengan menggunakan tema yang sama, tentulah ia juga bermotifkan politik dan seolah-olah mahu memberitahu rakyat bahawa UMNO dan BN adalah penunai janji terbaik yang mesti terus dikekalkan kuasanya.
Sambutan Hari Merdeka sepatutnya diraikan dengan mengajak rakyat menghargai kemerdekaan, kecintaan kepada negara, memupuk perpaduan dan lain-lain nilai baik yang meliputi semua kaum dan golongan kerana ia diraikan oleh semua lapisan rakyat. Ia seharusnya merentasi batas politik dan untuk semua orang.
Tetapi dengan Najib ingin melakukan transformasinya mahu menjadikan Hari Merdeka sebagai medan kempen politik, ia bukan saja menyerlahkan keghairahan yang terlampau terhadap kuasa dan kemenangan malahan di sisi lain menggambarkan kebimbangan Najib yang sedang berada di tahap maksima.
Tidak pernah mana-mana pemimpin sebelum ini menjadikan sambutan Hari Merdeka sebagai medan kempen, walau bagaimana gelora sekali pun kemelut politk yang sedang dihadapi. Mahathir sendiri ketika menghadapi tentangan sengit Semangat 46 pada pilihanraya 1990 dan selepas pemecatan Anwar pada piliharaya 1999, tidak tergamak menjadikan sambutan hari kemerdekaan di mana-mana tahun sekali pun sebagai medan untuk kempen politiknya.
Untuk renungan bersama, elok kita imbas kembali tema-tema sambutan Hari Merdeka sejak 1970 untuk melihat kematangan pemimpin sebelum itu berbanding Najib yang kelihatan cukup pendek akalnya. Tema sambutan kemerdekaan hanya diperkenalkan mulai tahun 1970 dan sebelum itu is tidak mempunyai tema dan lebih menjurus kepada erti kemerdekaan sahaja.
1970 - Muhibbah dan perpaduan
1971 - Masyarakat progresif
1972 - Masyarakat adil
1973 - Masyarakat berkebudayaan Malaysia
1974 - Sains dan teknologi alat perpaduan
1975 - Masyarakat berdikari
1976 - Ketahanan rakyat
1977 - Bersatu maju
1978 - Kebudayaan sendi perpaduan
1979 - Bersatu berdisiplin
1980 - Berdisiplin berbakti
1981 - Berdisiplin berharmoni
1982 - Berdisiplin giat maju
1983 - Bersama ke arah kemajuan
1984 - Amanah asas kejayaan
1985 - Nasionalisme teras perpaduan
1986 - Bangsa tegas negara teguh
1987 - Setia bersatu berusaha maju
1988/1989 - Bersatu
1990 - Berjaya
1991 - Wawasan 2020
1992 - Wawasan asas kemajuan
1993 - Bersatu menuju wawasan
1994 - Nilai murni jayakan wawasan
1995 - Jatidiri penggerak wawasan
1996 - Budaya penentu kecapaian
1997 - Akhlak mulia masyarakat jaya
1998 - Negara kita, tanggungjawab kita
1999 - Bersatu ke alaf baru
2000 - 2006 - Keranamu Malaysia
2007 - Malaysiaku gemilang
2008 - Perpaduan teras kejayaan
2009 - 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan
2010 - 1Malaysia menjana transformasi
2011 - 1Malaysia, transformasi berjaya, rakyat sejahtera
2012 - 1Malaysia janji ditepati
Jelas dapat dilihat bahawa tema-tema hari kemerdekaan sebelum ini adalah bersifat menyeluruh dan mengajak kepada kebaikan untuk semua orang serta tidak pernah digunakan untuk matlamat politik.
Bagaimanapun sejak Najib menjadi Perdana Menteri, kecenderungan kepada mempromosi pendekatan politiknya mulai terserlah melalui tema yang digunakan sejak 2009 itu.
Tetapi buat pertama kalinya tahun ini ia jelas bersifat politik, untuk memenangi piihanraya dan untuk kepentingan Najib mempertahankan kuasa. Sambutan hari kemerdekaan tahun ini juga buat pertama kali juga akan diadakan sambutan malam yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan tentunya akan disiarkan secara langsung melalui tv ke seluruh negara.
Sekali lagi, Najib pastinya akan menggunakan acara itu untuk berkempen politik dan menyerang pembangkang. Sambutan Hari Merdeka tahun ini akan menjadi hari kempen yang meriah untuk Najib, UMNO dan BN.
Dan selepas 31 Ogos ini akan diadakan pula sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Sarawak. Najib tentunya juga tidak mahu melepaskan peluang menggunakan acara itu sekali lagi sebagai medan kempen politiknya, tambahan pula Sabah dan Sarawak yang dulunya dikenali sebagai "fixed deposit" untuk BN, kini sudah mula ditembusi oleh Pakatan Rakyat.
Jika pilihanraya tidak diadakan lagi selepas sambutan Hari Malaysia itu, Najib mempunyai satu lagi peluang untuk berkempen iaitu melalui pembentangan Bajet 2013 yang sudah ditetapkan pada 28 September depan. Najib pastinya juga akan menggunakan peluang dalam pembentangan Bajet 2013 itu untuk menawarkan pelbagai habuan, gula-gula dan janji politiknya. Seperti biasa, oleh kerana ia disiarkan secara langsung melalui tv, Najib tentunya akan mengggunakan kesempatan itu untuk menyerang Anwar dan pembangkang melalui pembentangan bajet itu nanti.
Oleh kerana Najib sudah begitu jauh menyimpang dari landasan berpolitik yang sewajarnya sehingga sanggup menjadikan sambutan hari kemerdekaan sekali pun untuk kepentingan politiknya, janganlah terkejut jika Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Najib nanti bertemakan "Kekalkanlah Saya Sebagai Perdana Menteri"
Baca juga
cerita ini :
No comments:
Post a Comment