DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Monday, April 30, 2012

BERSIH 3.0 JAUH LEBIH BESAR


Oleh Abdul Shukur Harun

 Ketika berada di tengah Himpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu, saya mendapati himpunan itu mencapai kejayaan luar biasa. Bukan semata-mata kerana ia disertai oleh ratusan ribu orang, terutama golongan muda, tetapi juga disertai pelbagai kaum dan agama. Ia jauh lebih besar dari Himpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu. Dianggarkan lebih kurang 300,000 orang telah menyertai himpunan kali ini.

Ini bukti nyata bahawa rakyat yang sedar – merentasi kaum dan agama - – telah sama-sama berjuang untuk menuntut pilihan raya yang bersih dari pelbagai penipuan dan manipulasi, terutamanya mengenai daftar pemilih yang masih kotor.

Himpunan itu juga disertai majoriti golongan muda yang amat sedar akan pentingnya sebuah pilihan raya bersih demokratik. Saya bertemu dengan seorang anak muda, kira-kira 25 tahun, bernama Amir Razali di himpunan itu, katanya:

 “Pilihan raya adalah permulaan dari bentuk pemerintahan negara. Kiranya pilihan raya itu tidak bersih, penuh penipuan, tidak mungkin kerajaan yang menang itu akan dapat menjalankan pemerintahannya dengan bersih, adil dan terbuka.”

Beliau baru saja menghabiskan pengajiannya di sebuah kolej dan berhasrat menyambung pengajiannya hingga ke peringkat Phd, jurusan ekonomi, “kalau cukup wang, sebab keluarga saya miskin.”

Beliau antara puluhan ribu anak muda – pelbagai bangsa dan agama – yang berdiri di depan Masjid Negara untuk bersiap menuju tempat paling hampir ke Dataran Merdeka yang dikepung segenap penjuru oleh pihak berkuasa.

Sejak jam 10.00 pagi Masjid Negara dan Masjid Jamek (yang paling dekat dengan Dataran Merdeka), orang ramai telah berkumpul dan memenuhi jalan raya. Mereka bertali arus datang. Saya sendiri tiba di pekarangan tempat kereta di hotel sebelah KL Central dan bersolat Subuh di sana.

Selepas itu beramai-ramai menuju ke Masjid Negara. Orang ramai juga ada yang berkumpul di Brickfield untuk menuju ke tempat paling dekat dengan Dataran Merdeka seperti diarahkan.

Ketika matahari muncul, orang ramai terus berdatangan ke Masjid Negara. Ramai di antara mereka – ramai dari Kumpulan Lynas dari Pahang - yang sepatutnya tiba di KLCC, tidak dapat ke sana kerana pelbagai sekatan jalan. Bagaimanapun jumlah yang berada di sana juga ramai.

Pagi itu cuaca cerah seperti merestui Himpunan hari itu. Orang ramai di mana-mana, di tepi jalan ada yang duduk untuk makan bekalan yang dibawa, sementara pergerakan menuju ke Masjid Negara dan Masjid Jamek terus rancak.

Kalangan peserta, kebanyakan penyokong DAP, seperti diarahkan, berhimpun di Jalan Sultan, berhampiran Petaling Street. Cuaca pagi terus cerah, awan putih di langit bagaimana memerhatikan pergerakan rakyat hari itu.

Suasana bandaraya kelihatan ceria, pembersih sampah menjalankan tugasnya, kendereaan bergerak seperti biasa di jalan-jalan yang tiada sekatan. Namun semua jalan ke Dataran Merdeka disekat,  bukan saja dengan kun merah tetapi juga kawat berduri yang kelihatan masih baru dipakai, sementara di sana sini pasuka polis mengawal dengan ketatnya.

Di pekaran Masjid Negara orang ramai terus berdatangan dan pelancong juga ramai tiba, mengambil gambar dan kelihatan tertarik melihat apa yang berlaku. Tidak terlihat kebimbangan mereka. Saya bersolat Sunat di sana, sementara orang ramai ramai terus berdatangan, Matahari mulai meninggi. Unit Amal PAS bertugas dengan baik mengawal keadaan.

Saya menelefon Sasterawan Negara, A. Samad Said di mana beliau berada. “Saya berada di rumah (di Bangsar) dan akan bertolak ke sana sebentar lagi dengan LRT.” Saya bertanya lagi, sama ada beliau datang dengan pengawal peribadi, beliau segera menjawab, “Tidak, saya berlindung dengan Allah.” Dan saya menjawab, “Alhamdulillah.”

Masjid Negara itu terus menjadi saksi akan kebangkitan rakyat. Himpuna membantah PPSMI, Bersih 0.2 tahun lalu juga diadakan di sana. Bermakna Masjid Negara mempunyai makna penting dalam sejarah kebangkitan rakayat. Orang ramai terus berdatangan dari segenap penjuru dan Unit Amal berada di mana-mana, tahniah atas khidmat mereka yang cemerlang. Saya bertemu dengan para sahabat dari Selangor – YB Ir. Khalid Samad, YB Che Rosli Che Mat, Ahli Parlimen Kedah, YB Johari Abdul, YB Firdaus, Ahli Exco Selangor serta Ustaz Haji Ahmad Awang dan isteri, serta ramai pimpinan PAS Selangor.

Di pekarangan masjid - berdepan dengan stesyen keretapi lama, Timbalan Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi dan tokoh lain menyampaikan arahan dan ucapan. Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang menyampaikan ucapan di Dataran Maybank, sementara para pemimpin Bersih 0.4 berada di pelbagai tempat yang telah ditentukan.

Di pekarangan masjid, kelihatan ramai kalangan bukan Islam yang datang dari arah Brickfield. Seorang di antaranya yang saya temui, mengenalkan namanya, Mr. Tan. Beliau memberitahu saya bahawa beliau bersama isteri datang dari Segamat, Johor bersama empat orang sahabatnya dan tinggal di hotel berdekatan.

 “Saya gembira tengok semua kaum ikut dalam Himpunan ini. Ini betul-betul bersih, tak ada perkauman. Kita semua datang untuk menghantar mesej kepada kerajaan supya mengadakan pilihan raya dengan bersih, jangan tipu,” katanya.

Kalangan anak muda kelihatan mendominasi Himpunan Bersih ini dan mereka kelihatan berada di mana-mana dengan baju kuning dan lilit kepala Bersih penuh semangat.  Inilah generasi akan datang yang akan menanganai cabaran mendatang. Bagamanapun, kelihatan ramai kalangan veteran yang masih bersemangat dan ikut dalam arus kebangkitan ini.

Pada pendapat saya, ini adalah isyarat sangat jelas bahawa perjuangan ini didukung oleh kalangan anak muda, golongan veteran, malah ribuan muslimat turut berada di tengah-tengah Himpunan itu – di depan stesyen keretapi lama, di Masjid Negara, di jalan dari Sogo, di KLCC, sepanjang jalan arah ke Masjid Jamek yang sangat kritikal dan paling banyak menerima semburan gas pemedih mata.

Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Sasterawan Negara, A. Samad Said sempat bersolat Asar di Masjid Negara kira-kira jam 5.15 petang selepas Himpunan dan disambut oleh orang ramai yang masih berada di situ.

Saya menyaksikan wartawan Aljazeera, wartawan BBC, wartawan TV Australia, Hong Kong, Singapura dan banyak lagi media antara bangsa merakamkan peristiwa ini di samping menemuramah pemimpin Bersih 3.0  dan orang ramai.

Ini bermakna protes rakyat ini sedang disaksikan oleh dunia, apalagi Himpunan Bersih 3.0 turut diadakan puluhan kota besar di seluruh dunia, termasuk di Makkah dan Madinah. Seluruh dunia tahu bagaimana demokrasi ‘disandiwarakan’ di negara ini dan tidak syak lagi pemerintahan Barisan Nasional sedang dalam perhatian seluruh dunia.

Sesungguhnya gelombang kesedaran dari lautan manusia, peserta Himpunan Bersih 3.0 ini sepatutnya disedari oleh pemimpin pemerintah supaya menjalankan pilihan raya penuh demokratik, terutama membersihkan daftar pengundi. Ini sangat penting disedari, tetapi sangat malanglah jika mereka gagal memahami gelombang rakyat ini di mana kesannya tidak dapat dibayangkan.

Baca juga artikel di bawah :

Ending yang menyedihkan

No comments: