DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Monday, March 12, 2012

SHAHBUDIN HUSIN : BEBAN NAJIB BELUM SELESAI DALAM ISU SHAHRIZAT

Shahrizat Jalil akhirnya akur dengan tuntutan rakyat apabila bersetuju meletakkan jawatan bermula 8 April depan, tarikh berakhirnya penggal beliau sebagai Ahli Dewan Negara. Daripada gah mempertahankan diri dan enggan meletakkan jawatan sebelum ini sehingga sanggup menyingsing lengan bajunya, beliau penyudahnya akur dan tunduk kepada desakan dan kuasa keramat rakyat.

Jika dari awal lagi beliau berbuat demikian dan mengakui terlalu banyak onar dalam projek lembu NFC itu, sudah tentu banyak perkara dapat diselamatkan. Tetapi Shahrizat hanya meletakkan jawatan setelah sekian banyak pendedahan demi pendedahan dilakukan mengenai projek NFC yang menggunakan wang rakyat itu. Mungkin kerana beliau dan keluarganya tidak sanggup lagi melihat kedudukan mereka dicalarkan dengan banyak lagi pendedahan, maka keputusan meletakkan jawatan itu segera dibuat.

Meskipun rakyat pada umumnya menyambut baik perletakan jawatan itu, tetapi ia tetap dianggap sudah terlambat. Ini kerana sudah begitu banyak kerosakan dari segi imej dan persepsi rakyat terhadap UMNO dan kerajaan sudah pun berlaku. Dan ianya tidak mungkin dapat diperbaiki dalam masa yang singkat dan sudah pasti kesannya akan dirasai juga dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Sudahlah lambat peka kepada kehendak rakyat, Shahrizat juga tetap bertegas bahawa perletakan jawatannya tidak ada kena mengenai dengan projek NFC yang dianugerahkan kerajaan kepada suami dan anak-anaknya. Beliau kononnya meletakkan jawatan hanya kerana tidak mahu menyambung khidmat senatornya sahaja dan kedudukannya sebagai isteri kepada Pengerusi NFC hanyalah kebetulan sahaja.

Dalam soal ini ternampak bahawa Shahrizat tetap dengan ego tingginya. Dengan terus memegang jawatan Ketua Wanita UMNO, imej yang ditonjolkan Shahrizat ini langsung tidak membantu UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang. Isu lembu NFC dan kaitannya dengan keluarga beliau pasti akan terus dimainkan sebagai bahan kempen. Langkah sebaiknya ialah Shahrizat sepatutnya turut berundur atau bercuti sebagai Ketua Wanita UMNO dan memberi laluan kepada pemimpin lain dalam pergerakan itu menggerakkan jentera Wanita UMNO dalam pilihanraya akan datang ini.

Haruslah diakui bahawa imej beliau sudah begitu teruk terjejas dan tidak mungkin boleh diperbaiki lagi. Hanya dengan orang lain memimpin Wanita UMNO, keadaan boleh diselamatkan dan menjadi lebih baik.

Kerakusan keluarga beliau menggunakan dana rakyat untuk projek ternakan lembu untuk membeli hartanah mewah, kenderaan, percutian dan sebagainya tidak mungkin dapat dimaafkan oleh rakyat. Mereka bukan sahaja menyelewengkan tujuan dana itu diberi dengan kaedah pembiayaan mudah yang diberikan kerajaan iaitu dengan faedah hanya 2 peratus setahun tetapi juga menggagalkan projek yang dihasratkan oleh kerajaan untuk membekalkan daging lembu untuk keperluan rakyat.

Jika kakitangan kerajaan pun mendapat faedah 4 peratus untuk membeli kenderaan atau rumah tetapi keluarga Shahrizat melalui pinjaman mudah dengan faedah hanya 2 peratus telah melanyak semahunya wang pinjaman itu untuk membeli pelbagai hartanah mewah di dalam dan luar negara yang langsung tiada kaitan dengan ternakan lembu. Memang mustahil untuk rakyat memaafkannya dan UMNO akan terus terbeban selagi Shahrizat masih menerajui Wanita UMNO.

Jalan terbaiknya ialah dengan berundur sama sebagai Ketua Wanita UMNO dan menghabiskan sis-sisa usianya bersama keluarga.

Dalam masa yang sama, di sebalik perletakan jawatan Shahrizat, beban Najib juga belum selesai sepenuhnya. Rakyat masih mahukan beliau dan kerajaan bertindak tegas terhadap projek lembu yang telah diselewengkan dananya itu.

Najib bukan sahaja perlu memastikan pengarah-pengarah NFC dibawa ke muka pengadilan atas tuduhan menyeleweng dan pecah amanah sebagaimana yang telah disyorkan oleh pihak polis kepada Peguam Negara tetapi juga harus memastikan dana RM250 juta itu dikembalikan semula kepada rakyat.

Semua bukti, pendedahan mengenai pembelian hartanah, pengakuan pengarah NFC yang mewakili kerajaan yang mengatakan mereka tidak dimaklumkan mengenai pembelian pelbagai hartanah mewah itu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz yang turut mengakui dana RM250 juta itu hanyalah untuk projek ternakan lembu dan bukannya dibenarkan untuk pembelian selain daripadanya serta pelbagai maklumat lainnya, rasanya sudah cukup untuk Najib memulakan langkah tegas untuk membersihkan nama baik UMNO dan kerajaan.

Beliau seharusnya melihat bahawa perletakaan jawatan Shahrizat adalah permulaan, walaupun sebenarnya agak terlambat, kepada tindakan-tindakan tegas lainnya yang sesuai dengan kehendak dan aspirasi rakyat terbanyak.

Hanya dengan keberanian Najib dalam langkah-langkah berikutnya akan menentukan UMNO dan kerajaan pimpinannya dilihat benar-benar serius mengutamakan kepentingan rakyat sebagaimana yang sering diperkatakannya sejak akhir-akhir ini.

Lagi pula, sesuai dengan Najib sendiri yang sudah meminta maaf kepada rakyat atas kesilapan-kesilapan BN selama ini, inilah masanya untuk membuktikan bahawa kata-kata maaf itu tidak sekadar basahan mulut dan pemanis kata semata-mata.

No comments: