ADA 2 perkembangan menarik dalam Pakatan Rakyat sepanjang minggu ini. Pertama, kenyataan panjang lebar Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang membawa kesimpulan ‘haram untuk menerima kewujudan Israel’ dan pertemuan 4 mata antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Qatar.
Presiden PAS itu pada Jumaat mengeluarkan kenyataan panjang lebar di dalam akhbar Harakah mengenai Israel, zionis dan bangsa yahudi serta alasan kenapa masyarakat Islam perlu menolak kewujudan negara tersebut, apatah lagi membina hubungan diplomatik dengannya.
Kenyataan ini secara tidak langsung menyatakan pendirian rasmi PAS berhubung dengan komitmen Anwar untuk ‘melindungi keselamatan Israel’ jika berjaya memerintah Malaysia nanti. Haji Hadi tidak mahu menyatakannya secara terus tapi semua yang membaca kenyataan tersebut faham bahawa ia bertujuan untuk menyanggah kenyataan Anwar yang disiarkan dalam The Wall street Journal (TWSJ) bulan lepas.
Kelihatan pada mata penulis, Haji Hadi juga sudah termakan dengan dakyah UMNO apabila senada dengan parti tersebut dalam menyatakan tentangan PAS berhubung kenyataan Anwar untuk ‘melindungi keselamatan Israel’.
Tapi mungkinkah Haji Hadi akan memikir semula satu kenyataan lain apabila membaca laporan Keadilan Daily hari ini mengenai pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas, Khalid Mashal di Qatar?
Khalid Mashal adalah pemimpin Hamas yang terlepas daripada cubaan membunuhnya oleh pasukan perisikan Israel Mossad pada 1997. Mashal sekarang adalah pemimpin Hamas di Jordan.
Seperti yang selalu disebut, kenyataan Anwar berkenaan ‘melindungi keselamatan Israeel’ adalah selari dengan usaha damai Arab-Israel, selain konsep Penyelesaian Dua Negara yang diterima semua negara Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Maka itu kenyataan tersebut mesti dilihat daripada konteks yang disebutkan, bukan seperti mana yang diputar belitkan media pro UMNO seperti Utusan Malaysia, TV3 dan sebagainya.
Secara logiknya, mungkinkah pemimpin Hamas bersetuju bertemu dengan Anwar jika benar Anwar seperti mana yang dilabelkan UMNO – pro yahudi? Ini sudah tentu tidak masuk akal sama sekali kerana dibanding dengan Fatah, Hamas adalah pihak yang paling aktif menentang pengepungan rejim Zionis dengan cara mengangkat senjata.
Dibanding dengan Timbalannya, Mohamad Sabu, Haji Hadi memang perlu diakui kurang dikenali di peringkat antarabangsa. Maka itu pemahamannya mengenai konflik Arab-Israel ini boleh dipertikaikan disamping latar belakangnya yang kuat terpengaruh dengan Revolusi Iran 1979.
Pemimpin Pakatan Rakyat perlu bijak dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak dilihat berlawanan dengan persetujuan bersama yang telah menjadi prinsip Pakatan Rakyat. Persetujuan untuk melantik Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya adalah komitmen tidak langsung bahawa beliau juga akan memimpin Pakatan Rakyat.
Justeru semua pandangan dan kenyataannya adalah mewakili parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat juga, tidak terkecuali PAS.
Tidak sepatutnya ada percanggahan atau ia akan hanya menjerumus Pakatan Rakyat ke arah kehancuran.
Artikel Berkaitan:
2 comments:
Terima kasih Tun Telanai atas posting ini. Bagi saya Presiden PAS sendiri juga termakan umpan. Dan ini akan dimainkan media UMNO dalam usaha memecah-belahkan PR. Bagi saya ini satu lagi tindakan kurang cerdik Presiden PAS selepas Ketua Pemuda PAS. Selamat ke Putrajaya, Pakatan Rakyat!
TQ. Tuan Mohamad Aliff.
Post a Comment