“Encik, sila ke kawasan parkir di sebelah sana untuk ber-himpun,” kata seorang anggota polis, dengan senyuman manis terukir di wajahnya, kepada peserta perhimpunan 901 di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin lalu.
“Harap semua penyokong patuhi arahan polis. Pastikan perhimpunan ini menjadi perhimpunan paling aman.” Itu pula gesaan penganjur kepada hampir 5,000 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Macam tak percaya, tetapi itulah petugas media lihat sepanjang perhimpunan itu.
Penyokong termasuk pemimpin parti pembangkang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bukanlah kawan baik seperti diketahui umum, tetapi apa yang berlaku semasa perhimpunan itu, menunjukkan kematangan luar biasa kedua belah pihak.
Tidak seperti perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur, Julai lalu yang dicemari pelbagai insiden memalukan negara, perhim-punan awam kali ini, betul-betul aman.
Tiada provokasi antara peserta perhimpunan dan polis bertugas, seperti dalam per-himpunan sebelum ini.
Adakah ini bukti awal Malaysia mampu mengamalkan demokrasi matang?
Disertai semangat Akta Perhimpunan Awam 2011 yang baru diluluskan di Parlimen baru-baru ini, kerjasama ditunjukkan kedua pihak menjadi penanda aras bagi perhimpunan awam yang mungkin akan diadakan selepas ini, seperti ditekankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Parlimen telah memperuntukkan kuasa untuk memberi peluang kepada rakyat untuk berhimpun secara aman tetapi menjadi tugas polis untuk memastikan perhimpunan itu aman dan menjadi tanggungjawab penganjur untuk tidak menimbulkan huru-hara,” katanya sebelum perhimpunan 901 berlangsung.
Beberapa faktor penyebab mengapa perhimpunan kali ini berjalan dengan sangat baik tanpa sebarang masalah.
Pertama, ramai menganggap perhimpunan itu aman kerana keputusan kes itu sendiri, dengan Anwar didapati tidak bersalah oleh mahkamah.
Jika keputusan dibuat adalah sebaliknya, mungkin kekacauan akan berlaku akibat ketidakpuasan hati penyokong beliau.
“Di sebalik kerjasama diberikan polis, rasanya jika keputusan mahkamah tidak menyebelahi Anwar, perhimpunan itu pasti bertukar ganas,” menurut penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Zainal Kling ketika ditanya mengenai pendapat beliau.
Kedua, kebenaran pihak polis kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan. Mungkin pihak polis sendiri telah belajar daripada kesilapan semasa Bersih 2.0, apabila larangan mengadakan perhimpunan tidak dihiraukan sehingga memaksa polis bertindak tegas mengikut ruang lingkup kuasa undang-undang.
“Kami ucapkan terima kasih atas kerjasama polis yang membenarkan himpunan ini. Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis bagi memastikan ia berlangsung tanpa sebarang provokasi,” tegas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali selepas pertemuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh bagi membincangkan perhimpunan itu, 6 Januari lalu.
Walaupun semasa perhimpunan 901 penganjur dan peserta melanggar beberapa syarat polis, termasuk menggunakan risalah dan kain rentang dengan tagline ‘Bebaskan Anwar’ serta membuat ucapan awam, polis dilihat cuba mengawal ketenteraman dengan memilih untuk tidak mengenakan sebarang dakwaan ke atas mereka.
Ketiga, dan menjadi persoalan utama, adakah penganjur dan peserta perhimpunan sendiri ingin memulakan lembaran baru dalam sistem demokrasi negara dengan menyuarakan pendirian mereka secara lebih beretika tanpa memberi kesan buruk kepada imej negara?
Sebenarnya, polis dan penganjur perhimpunan 901 perlu diberi pujian kerana dapat mengawal keadaan serta bersikap profesional.
Mungkin ada yang skeptikal dengan perkembangan baru ini dan menganggapnya bersifat sementara tetapi inilah yang perlu ditekankan jika benar-benar mahu mencapai demokrasi matang.
Yang pasti rakyat Malaysia sudah letih dengan politik murahan dan mahu negara ini disulami politik lebih matang seperti di negara maju, di mana satu perhimpunan boleh disertai dua pihak berlainan pegangan politik tanpa dicemari letupan bom atau pergaduhan.
Kematangan itu perlu bermula daripada rakyat sendiri. Pemimpin akan termalu andainya mereka masih bersikap provokatif terhadap perhimpunan.
Sumber : SinarHarian
No comments:
Post a Comment