"Parti dan calon yang disukai akan menang. Buatlah macam mana pun, sentimen memainkan peranan. Ini sentimen pada (pilihan raya umum) 2008. Pada 2004 berbeza.
"Dan saya yakin sentimen akan berubah (lagi) dan ini jangan salahkan SPR. Ada masanya kita menang ada masanya kita kalah," kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Namun yang menjadi persoalannya, sentimen SPR sendiri bagaimana? Dengan perkataan lain, SPR condong ke arah parti dan calon yang bagaimana? Soalan-soalan ini harus ditanya berulang-ulang kali.
Ini kerana jika SPR mengatakan ia berkecuali mengapa banyak sangat sentimen Badan Bukan Kerajaan, Majlis Peguam dan sudah tentu parti-parti politik cenderung mengatakan SPR tidak telus dan tidak berlaku adil pada semua, khususnya rakyat dalam mengendalikan pilihan raya di negara ini.
Ada rakyat yang tidak pernah mendaftar tiba-tiba mendapati nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih. Ada yang sudah mendaftar tetapi tersenarai dalam daftar di kawasan undi yang tidak munasabah jauhnya dari alamat tinggal mereka.
Ada juga yang sudah mendaftar, pernah mengundi tetapi tiba-tiba mendapati tempat mengundi mereka dipindahkan ke pusat lain tanpa notis.
Undi pos
Ada juga semakan yang dibuat mendapati pada sesuatu alamat ada berpuluh pengundi didaftarkan. Ada juga senarai pemilih dalam daftar berkenaan lebih ramai dari penduduk sesebuah rumah panjang!
Selain itu timbul pula kemusykilan bagaimana sebenarnya undi pos dijalankan. Bagaimana apabila ada kes Agen Mengundi dan Agen Pengiraan Undi atau PACA memantau proses pembuangan undi pos mendapati hanya tiga orang yang keluar mengundi di sebuah tempat pembuangan undi tetapi apabila keputusan dibacakan ada lebih 127 pengundi diumumkan telah membuang undi di pusat berkenaan.
Parti mana yang mendapat manfaat atau undi majoriti dalam proses pilihan raya itu memang agak mudah diterka. Undi pos adalah undi mereka yang tidak berpeluang membuang undi pada hari mengundi diadakan kerana bertugas di seberang laut, atau di kawasan pedalaman seperti anggota keselamatan negara. Bagaimanapun mengapa anak isteri mereka pun dikelompokkan dalam senarai undi pos?
Ini belum mengambil kira ada anak isteri anggota keselamatan yang tidak pernah mengisi Borang A untuk mendaftar sebagai pengundi tetapi secara automatik disenaraikan sebagai pemilih menurut sistem undi pos!
Ini semua adalah sentimen rakyat, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan parti-parti politik Bukan-BN terhadap SPR. Pengerusi SPR tidak boleh alpa dan terlepas pandang terhadap hakikat ini. Ini bukan sekadar persepsi. Ia sudah menjadi sentimen yang ranum di hati rakyat.
Percubaan untuk mengelak menerima hakikat ini adalah buruk padahnya kepada kewibawaan SPR dan kakitangannya sendiri dalam jangka masa panjang.
Ingin bersuara
Sebab itu rakyat ingin bersuara. Mereka mahu hapuskan sentimen terhadap SPR yang mencurigakan ini. Sebab itu juga digerakkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau singkatannya BERSIH 2.0. Kemuncak gerakan ini ialah pada 9 Julai ini.
Usaha raksasa kali kedua ini dijangka akan disaingi oleh Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan PERKASA, gerakan Melayu berhaluan kanan yang tidak mahu tatakelola SPR diubah atas nama “memelihara kepentingan Islam dan Melayu”.
Sekali lagi tidak sukar untujk memahami mengapa Pemuda Umno atau PERKASA mahu menyaingi usaha BERSIH 2.0. Ini tentunya kerana apa yang dituntut BERSIH 2.0 ialah supaya pengurusan pilihan raya di negara ini dilakukan benar-benar atas landasan keluhuran undang-undang dan keadilan.
Rakyat tahu segala kepincangan sistem pilihan raya di negara ini selama ini menguntungkan siapa.
Pilihan raya bukan sahaja ditentukan oleh sentimen. Ia juga berkaitan dengan ruang dan peluang. Jika sebelah pihak sahaja diberi peluang untuk menghebahkan manifesto mereka melalui sistem media berbayar dan awam tetapi tidak bagi pihak yang lain, bagaimana rakyat boleh membuat keputusan yang tepat siapa yang patut dipilih menjadi wakil mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri?
SPR mesti tegas dalam soal agihan peluang dan ruang bagi semua pihak yang menawarkan diri bertanding dalam sistem pilihan raya yang dikendalikannya.
SPR malas?
SPR juga mestilah memberi peluang kepada rakyat sepenuhnya. Yang pasti sebagai sebuah negara membangun Malaysia boleh dan mampu mewajibkan pendaftaran setiap kelahiran warganya dan dikeluarkan surat beranak setiap seorang.
Sumber :MK
SPR kena jawab persoalan yang dibangkitkan oleh penulis ini. Sampai bila SPR hendak menjadi anjing kepada UMNO. Saya rasa cukuplah bagi pihak pasukan polis dan mahkamah menjadi cemuhan dan kejian dari rakyat jelata yang bukan dari golongan pendokong UMNO.
Jagalah SPR baik-baik jangan sampai rakyat naik meluat dan membenci SPR seperti dua agensi di atas. Cukuplah. Kalaulah UMNO hendak menang juga dan mengekalkan kuasa melalui jalan penipuan, rasuah, menyalahgunaan kuasa yang melampau, tidak demokratik, bebas dan adil dan SPR tunduk dengan kehendak UMNO tersebut, maka lebih baik SPR cadangkan kepada UMNO agar system pilihan raya yang kita amalkan selama 54 tahun ini dimansohkan dan diganti dengan satu system yang membolehkan UMNO menang mudah.
Rakyat sudah bosan dengan sikap SPR selama ini yang bias dan memihak kepada UMNO/BN.
No comments:
Post a Comment