DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, December 23, 2010

ANTARA POLITIK BUDAYA DAN BUDAYA POLITIK

(The Politic of Culture and the Culture of Politics)
Oleh MGGPillai


Pada lazimnya, undang-undang diperkenalkan untuk mencengkam rakyat jelata dan bukannya untuk mengawal golongan yang mencengkam kuasa. Mereka yang tidak menyibuk dengan golongan pemerintah dibiarkan begitu sahaja, walaupun wujud keunggulan hukum undang-undang. Keperluan melaksanakan keadilan selalunya diimbangi oleh keperluan mencengkam kuasa, yang kerap dipinda mengikut kehendak semasa. Apabila keadilan itu selalu berkonflik dengan kuasa, akhirnya ia akan terungkai juga. Ia menjadi lebih teruk apabila wujudnya konflik antara budaya yang terlibat. Inilah yang berlaku di Amerika Syarikat seperti juga di Malaysia, Di Singapura seperti juga di Zimbabwe dan di Jakarta seperti juga di Ouagadougou. Keluhuran undang-undang sudah terhumban sekarang ini di Amerika Syarikat, apabila mereka yang dituduh mengganas di negara luar telah dihambat laksana lembu dan diangkut dalam pesawat terbang untuk dibawa ke Guantanamo Bay, tanpa kemudahan asas dan hak asasi manusia.


Namun demikian kalau adapun bahan bukti untuk mengenakan tuduhan terhadap mereka di mahkamah, bahananya ialah mereka itu adalah warga negara barat semuanya. Cuma semua ini tidak diperjelaskan dan ini memang tidak memeranjatkan. Semua negara ini menafikan budaya mereka untuk diganti dengan kacukan budaya yang mementingkan kejituan ideologi politik yang mempunyai keadilan yang direka tanpa timbang-tara, dan sengaja diperlekeh di luar budaya politik. Inilah budaya yang sedang bergelegak. Reaksinya terus bergolak, desakan budaya yang mahukan peranan di mana yang lama terus berkonflik dengan kehendak politik masakini.


Kerana itu, syak wasangka dianggap memadai di banyak negara, AS, India, Malaysia, Singapura, dan kini Pakistan – sehingga mencetuskan penangkapan besar-besaran dalam usaha kerajaan memerangi keganasan. Perkara ini jelas terpaut kepada kehidupan harian rakyat di negara yang dianggap demokratik dan patuh kepada undang-undang. Di Malaysia, sesiapa yang ditangkap di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak boleh mendesak mahkamah menyatakan apa sebabnya. Apabila ditangkap dia kehilangan segala hak asasinya. Di Singapura, seorang bapa beragama Islam yang bertegas agar anaknya memakai tudung ke sekolah telah disekat dalam perjalanannya ke tempat kerja dan diugut oleh sekumpulan manusia yang dipercayainya pegawai risikan negara. Dia diugut agar menghentikan tindakannya ataupun bersedia menghadapi kemalangan yang serius dalam perjalanannya ke tempat kerja. Dia lari bersama ahli keluarganya ke Australia untuk mendapatkan suaka politik.


Regim yang berkuasa beranggapan adalah satu kemestian, apabila seseorang itu melibatkan dirinya menggugat martabat ketenteraman pemerintahnya, ia layak diberikan layanan sewajarnya. Tidak kiralah apa jaminan undang-undang dan Perlembagaan yang sepatutnya melindungi haknya. Seseorang yang berlagak berani menyanggah kuasa politik mudah mengundang padahnya. Demikianlah kedudukan aktivis Islamiah, seperti yang terjadi kepada kebangkitan komunis dahulu kala, dianggap berbahaya di Indonesia, Singapura, Malaysia, Filipina, United Kingdom, dan negara lain yang begitu taksub dengan peperangan menumpaskan keganasan yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Hak asasi manusia digantung begitu sahaja walaupun itu merupakan satu usaha kerajaan yang mencengkam kuasa untuk menekan pembangkangnya. Tidak kiralah apakah itu satu bentuk demokrasi ataupun kediktatoran. Tekanan yang tercetus adalah serupa sahaja.


Pada lazimnya, perkara semacam ini tidak mencemar cara hidup harian rakyat jelata. Pemikiran mereka adalah lebih penting daripada tabiat dan sikap mereka yang menerima pakai segala norma ketamadunan yang disogok dan dikuat-kuasakan oleh undang-undang yang keras itu. Seperti di Malaysia dan beberapa negara lain di Afrika yang menerima pakai kemunculan undang-undang Islam, pemerintah tempatan telah menguat-kuasakan undang-undang itu terhadap orang lain, dan bukannya ke atas diri mereka sendiri. Poligami adalah satu amalan yang diizinkan dalam Islam, tetapi di Malaysia ia diamalkan hanya dengan ihsan isteri yang pertama. Tetapi di Thailand, mempunyai isteri lebih dari satu tidak juga dibenarkan. Undang-undang ini diabaikan, dan mereka yang kerap tertangkap adalah mereka yang tidak mempunyai kuasa. Seorang menteri besar UMNO yang kini menjadi seorang naib presiden parti telah mengahwini anak perempuan sultannya di Thailand. Tetapi, seorang pemimpin PAS yang bernikah di Thailand, telah dihenyak dan diberi khutbah untuk tidak berbuat ‘dosa’ seperti itu lagi. Kalaulah ‘dosa’ begitu dilakukan oleh seorang tukang kebun, ataupun drebar bas, sama ada dia ahli UMNO ataupun PAS, besar kemungkinan dia dikenakan hukuman penjara.


Kalau anda dan saya melakukan pembunuhan, tentu kita akan digantung sampai mati. Tetapi, kalau anda dan saya adalah menteri kabinet, ataupun pegawai atasan dalam parti yang memerintah, tentu banyak alasan untuk mengelakkan kita daripada terhukum begitu. Ada seorang menteri kabinet yang telah dihukum gantung sampai mati pada tahun 1980-an, hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup, dan dia dibebaskan beberapa tahun kemudiannya. Kini dia sudah dipulihkan dan diberikan peranan sebagai petugas politik dalam UMNO. Kalau orang lain, tentu dia tidak mempunyai peluang sebaik itu. Begitu juga para jongos dan kroni pihak penguasa. Sekiranya mereka tercabar, mereka akan menyaman kerana malu.


Ada satu kes yang sungguh menonjol, di mana seorang peguam pihak kroni telah memutar-belitkan proses pengadilan dengan membantu pihak hakim membuat kenyataan penghakiman yang memihak kepada anak-guamnya. Peguam yang mahu memastikan usahanya benar-benar berhasil telah membuat rencana percutian ketua hakim negara dan peguam negara di luar negara. Tetapi kisah itu telah dinafikan, sehinggalah muncul gambar yang menunjukkan mereka bersantai bersama-sama di luar negara. Ada satu tanggapan yang penuh keangkuhan di Malaysia, seandainya seorang kroni ataupun pegawai atasan kerajaan menyaman kerana malu, perkara yang perlu dipertimbangkan ialah kos ganti rugi yang perlu diterimanya, dan bukannya apakah perkara itu ada relevannya. Satu ketika dulu ada juga menteri kerajaan yang turut menyibuk membuat saman malu. Apabila ada peluang membuat wang dengan mudah, semua pihak tidak mahu melepaskan peluang itu. Kini sudah menjadi satu kebiasaan untuk parti politik mengugut dan menyaman untuk mendapatkan ratusan juta ringgit sebagai pampasan. Tidak kiralah kalau yang membuat kerja saman-menyaman itu seorang menteri kabinet ataupun pemimpin parti pembangkang. Syarikat guaman yang mewakili parti dalam gagasan kerajaan sudahpun memperkasakan jabatan saman-menyaman mereka.


Perubahan demikian terjadi kerana mereka yang sedang berkuasa beranggapan bahawa mereka boleh mengatasi undang-undang. Ada segelintir yang kecundang, sebagai contohnya ialah mantan Timbalan Perdana Menteri yang kini terpenjara. Ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkuasa dulu, dia juga membuat keputusan siapa yang sepatutnya dikecualikan oleh undang-undang, kerana sebab tertentu. Naib presiden UMNO, Muhammad Taib, pernah ditangkap membawa satu beg membeli-belah yang mengandungi RM2.4 juta, di Brisbane. Dia masih dihormati, walaupun sedikit tercemar dan masih mampu memainkan peranan sebagai tukang-taja yang mempunyai pengaruh lebih besar daripada seorang raja. Dato’ Seri Anwar dipecat berasaskan fitnah melakukan sodomi dan korupsi, sedangkan kes itu dibebani oleh muslihat politik yang tidak memungkinkan satu perbicaraan yang adil. Ketika pemimpin Puteri UMNO, Azalina Othman Said, dituduh sebagai cenderung dengan perangai lesbiannya, Dr. Mahathir mahukan bukti tuduhan itu, sedangkan syarat yang sama tidak pula diperlukannya terhadap Dato’ Seri Anwar. Anwar telah dipecat daripada parti dan disingkir sebagai timbalan perdana menteri serta timbalan presiden UMNO sebelum siasatan selesai. Konfrontasi itu berpanjangan dan bergegaran, seperti yang pernah terjadi di Singapura melibatkan J.B. Jeyaratnam dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Malaysia, kerana mereka enggan menerima kutukan rasmi itu. Mereka lebih rela berjuang terus mengikut semangat budaya masyarakat mereka, sehingga menyulitkan regim yang memerintah.


Seperti yang pernah diterangkan oleh Thucydies dalam Peperangan Peloponnesia sekitar 500 SM, inilah gambaran betapa pincangnya sesuatu budaya itu dan kelemahan pemimpinnya. Amerika Syarikat masih terkapai-kapai mencari ketentuan apakah ia masih merupakan satu bahagian Empayar British yang pernah mencengkam kuasa selama 400 tahun, ataupun merupakan penjelmaan Empayar Roma, ataupun Sparta ketika berkonflik dengan Athens. Inilah dia kesannya apabila AS tidak mempunyai budaya yang lain daripada unsur-unsur konsumerisme dan perasaan syok sendirian dengan tanggapan bahawa dunia luar adalah masih berunsur jahiliah sahaja lagi. Kerana itu ia merencana perang salib dan peperangan apabila ketenteramannya tergugat. Di Malaysia dalam bentuk yang paling ekstrem pula, budaya Melayu yang primitif pada tahap kemerdekaan tercapai dapat bergaul mesra dengan budaya pendatang asing daripada India dan China dan pribumi Sabah dan Sarawak sehinggakan pergaulan budaya itu sebati untuk dikenali sebagai budaya Malaysia. Ini memerlukan beberapa abad untuk dicerna dan kalau dipesongkan, sejurus berlakunya episod 13 Mei, 1969, akan menonjolkan ketuanan Melayu sebagai unsur yang diterima secara terbuka. Inilah yang membantutkan segala usaha penggabungan. Tiga puluh tahun berlalu, ia masih bercelaru.


Apa yang kita lihat sekarang ialah usaha bersengaja orang politik untuk memaksa budaya Melayu ke atas budaya kaum asing dan mendesak ia dijadikan budaya Malaysia. Keyakinan yang terbit daripada budaya yang mantap, seperti yang berlaku, katakanlah di Iran ataupun Iraq, masih samar lagi. Dalam muslihat putar-belit ini, segala kesenian yang diharap-harapkan oleh rakyat jelata telah menghilang begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila pandangan orang Melayu diperkasakan untuk melemahkan orang bukan-Melayu ditonjolkan. Perkara ini dilaksanakan penuh keraguan, di mana kaedah yang lebih keras menggambarkan betapa ia tidak mempunyai banyak harapan. Itulah sebabnya Singapura yang cuba menonjolkan kehidupan ala dunia pertama dengan penuh kejayaan telah membuatkannya hilang rentak di kalangan negara jirannya. Untuk keselamatan negara, Singapura menerima pakai amalan Dunia Pertama terhadap isu yang menggugat ketenteramannya. Itu sebabnya ia mengikut sahaja secara membuta-tuli usaha krused (ala-perang salib dulu) terhadap keganasan, dan menyediakan jurucakap serantaunya. Begitu juga di Amerika Syarikat, di mana segala pendapatnya kini dicabar oleh kebangkitan di kalangan orang yang dianggapnya masih tidak bertamadun. Dalam ketiga-tiga kes ini, dan dalam banyak hal yang lainnya, keengganan menyelesaikan budaya sendiri yang menyebabkan bencana yang akan memusnahkan diri. Segala sumbangan yang dianggap betul dan waras dalam budaya hidup ini diperas sebagai tebusan untuk keperluan masa pendek sahaja.


M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my
Terjemahan oleh AH-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 31.10.2002

No comments: