DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Tuesday, July 15, 2008

AWAS : PAS JANGAN TERPEDAYA MUSLIHAT UMNO KALI KEDUA

Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt
,

Desas desus mengatakan PAS sedang mengadakan perbincangan dengan UMNO telah terjawab kini, setelah Pesidennya Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang mengiakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO melalui laporan Malaysiakini.com [
http://www.malaysiakini.com/news/85968]. Jadi, penafian yang dibuat oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Mahfoz Omar pada awalnya adalah tidak tepat. Berkemungkinan besar, YB Mahfoz tidak mengetahui atau tidak dimaklumkan mengenai perbicangan tersebut yang melibatkan pemimpin kanan PAS.

Berdasarkan laporan tersebut, ini bukanlah kali pertama kepimpinan tertinggi PAS menyembunyikan maklumat mengenai perbincangan PAS-UMNO kepada ahli-ahli bawahannya. Dulu, selepas selesainya PRU ke-11 tahun 2004, PAS telah mengalami kejutan yang maha hebat. PAS mengalami kekalahan yang amat buruk dalam sejarahnya sehingga Kerajaan PAS di Kelantan hampir tumbang ke tangan UMNO dan Terangganu yang dikuasai PAS berjaya dirampas semula oleh UMNO. Pengaruh PAS di negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Pahang, Selangor dan Perak merosot teruk jika diukur dari segi bilangan kerusi yang diperolehi sama ada di peringkat Parlimen dan DUN berbanding PRU ke-10 tahun 1999.

Kekalahan tersebut membuatkan kepimpinan PAS tidak berpuas hati kerana PRU ke-11 itu dikatakan penuh dengan penipuan, rasuah, penyelewengan yang dilakukan oleh SPR dan menyalahgunaan kuasa oleh UMNO untuk terus mengekalkan kuasa. Oleh itu, melalui Dato’ Dr Mohd Hassan Ali bertindak sebagai ‘leader’ mengadakan road show ke seluruh negara berkempen menentang keputusan pilihan raya tersebut dan beliau berjaya mengumpulkan [kewangan untuk membiayai kos perbicaraan di mahkamah] berjuta tanda tangan rakyat untuk diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [SUHAKAM] supaya bertindak terhadap penyelewengan tersebut. Disebabkan ketidakbijaksanaan para pemimpin Barisan Alternatif [BA] ketika itu menyebabkan kerja-kerja tersebut menjadi sia-sia sahaja.

Sementara itu, berpuluh-puluh petisyen pilihan raya dikemukakan oleh pihak BA khususnya PAS bagi mencabar keputusan pilihan raya tersebut di mahkamah, tetapi gagal disebabkan adanya usaha-usaha kerjasama dan tolak ansur secara rahsia di antara pihak UMNO yang wakili oleh Khairy Jamaluddin, menantu Abdullah yang melibatkan kepentingan Abdullah Ahmad Badawi di kerusi Parlimen Abdullah di Kepala Batas, manakala PAS diwakili oleh Husam Musa juga untuk menjaga kepentingan politik PAS terutama di Kelantan. Jadi, semua petisyen tersebut hilang lenyap begitu sahaja sehinggalah tiba pula PRU ke-12 baru-baru ini.

Kesan daripada PRU ke-12 membuat kedudukan UMNO amat tertekan kerana ia tidak lagi mendapat sokongan daripada dua kaum yang menjadi menentu hala tuju politik di negara ini seterusnya, iaitu kaum Cina dan India. Selama ini kedua-dua kaum ini menjadi penentu kepada kemenangan UMNO. Kaum Melayu yang bersifat ‘lembu pawah’ dan ‘tunggul kayu’ tetap memberi sokongan kepada UMNO, sedikit sangat Melayu-Islam yang memberi sokongan kepada PAS yang meyebabkan PAS kalah teruk di kawasan-kawasan yang majoriti Melayu.


PAS hanya menang di kawasan-kawasan campuran yang mana Melayu tidak melebihi 70 peratus. PAS menang disebabkan sokongan kaum India dan Cina seperti kemenangan yang diperolehi oleh Dr Siti Mariah Mahmud yang menang besar di Kota Raja. Kawasan Parlimen itu mempunyai kompositi kaum bukan Melayu yang agak besar-Melayu [46.8 peratus], Cina [23.5] dan India [26.3] daripada 71,887 pengundi.

Di Kedah, PAS kalah banyak kerusi di sebelah utara yang majoritinya dihuni oleh pengundi Melayu-Islam, berbanding di kawsan tengah dan selatan, PAS dan PKR berjaya mengumpul banyak kerusi kerana kawasan-kawasan ini majoritinya dihuni oleh pengundi-pengundi dikalangan kaum India dan Cina. Begitu juga trend yang berlaku di Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Perlis dan Pulau Pinang. Melayu-Islam menolak PAS.

Trend ini mengusarkan UMNO kerana dalam UMNO sendiri berpecah kepada tiga kumpulan. Kumpulan yang menyokong Abdullah, kumpulan yang pro kepada bekas PM ke-4, Tun Dr.Mahathir Mohamad dan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang bercita-cita untuk merampas kerusi Presiden UMNO daripada tangan Abdullah dalam perhimpunan agung parti itu bulan Disember nanti. Politik dalaman UMNO berserabut dan mencemaskan. UMNO seperti kapal yang sedang hendak karam di lautan yang dalam.

Dalam masa yang sama, Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim berazam bersungguh-sungguh untuk mengambilalih kuasa daripada UMNO melalui kaedah pemindahahan wakil-wakil rakyat UMNO/BN kepada Pakatan Rakyat. Ia hanya memerlukan minima 30 kerusi sahaja untuk mengulingkan kerajaan Abdullah bagi mendapat majoriti mudah 112 kerusi dalam Parlimen. UMNO/BN hanya mendapat 140 kerusi Parlimen [85 di semenanjung dan selebihnya di Sabah dan Serawak] dan Pakatan Rakyat 82 kerusi [PKR 31, DAP 26 dan PAS 23] majoritinya di semenanjung. Perancangan ini menampakkan hasilnya apabila bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee selaku Presiden SAPP mulai mempertikaikan kredibiliti kerajaan pimpinan Abdullah. Kerajaan pimpinan Abdullah semakin cemas dan nampaknya semakin goyah dan bila-bila masa sahaja boleh ditumbangkan.

Sekiranya perancangan ini benar-benar berlaku menjelang September nanti, UMNO/BN akan hanya tinggal kerusi sebanyak 110 dalam Parlimen dan kerajaan Abdullah akan jatuh. Untuk itu, UMNO terpaksa mencipta berbagai isu mencemarkan imej Anwar dan seterusnya mencalarkan wajah Pakatan Rakyat di mata rakyat. Sementara itu, sebagai persediaan menghadapi suasana tersebut [sekiranya berlaku] atas nama kepentingan Melayu dan Islam kononya, UMNO memaksa dirinya mengadakan perbincangan dan mahu berkerjasama dengan PAS kerana PAS memiliki 23 kerusi Parlimen.

Jadi, sekiranya wakil rakyat UMNO/BN menarik diri sebanyak 30 kerusi, maka UMNO boleh menampong dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh PAS. Ia akan tetap kekal berkuasa atas tiket kerjasama UMNO-PAS menjadikan 133 kerusi. Formula kerjasama itu akan ditentukan kemudian. Yang penting PAS perlu ditundukkan sepertimana ia menunjukkan Ezam Mohd Noor yang bergerak seluruh negara sebagai ‘anjing’ UMNO menyalak memaki hamun Anwar Ibrahim dan PKR.

Sekiranya perjumpaan dan perbincangan dengan UMNO berkisar atas kepentingan Islam, maka kami amat mengalu-alukannya. Yang penting di sini UMNO wajib dinyahkan daripada arus politik di negara ini. UMNO telah membuat terlalu banyak kerosakan terhadap agama, bangsa dan negara dalam tempoh 50 tahun ia memerintah. Tidak ada peluang kali kedua perlu diberikan kepada UMNO untuk memperbaiki kelemahannya.

Kalau ini matlamat perjumpaan tersebut, maka kami menyokong penuh hasrat Presiden PAS itu, jika tidak “Kami akan keluar PAS beramai-ramai jika PAS sertai BN” seperti tulisan Abu Nasrullah di Malaysiakini.com [
http://www.malaysiakini.com/letters/84953]. Ini bukan ugutan, tetapi sebagai satu peringatan kepada para kepimpinan tertinggi PAS. Tidak ada parti di didunia ini yang sejahat seperti parti UMNO. Pemerintahan NAZI, parti komunis dan parti Yahudi-Israel tidak melakukan kezaliman terhadap bangsa dan agamanya dengannya, tetapi UMNO sanggop secara sedar melakukan kezaliman terhadap bangsa dan seagama dengannya tanpa sedikit pun merasakan bersalah. Tidak ada kompromi dalam hal ini.

Dalam konteks ini, saya teringat peristewa perpecahan umat Islam Zaman Khalifah Ali. Sewaktu berlakunya peperangan di antara tentera-tentera Saidina Ali dengan tentera-tentera Muawiyah, keadaan umat Islam sudah berpecah tetapi masih dalam peringkat yang boleh diselamatkan. Saidina Ali sebagai Khalifah yang haq telah memerangi tentera-tentera Muawiyah yang memberontak. Apabila kemenangan jelas kepada tentera-tentera Ali, Muawiyah yang hampir berasa tenteranya akan kalah telah melakukan helah dengan mengangkat al-Quran di hujung tombaknya dan menyeru kepada perpaduan.

Saidina Ali yang menyedari helah Muawiyah meminta tenteranya meneruskan peperangan tetapi sebilangan tentera Ali mula keliru dan mendesak Saidina Ali menghentikan peperangan walaupun ada juga yang menyokong tindakan Saidina Ali. Saidina Ali tidak mampu lagi menahan desakan tentera-tenteranya yang seperti akan membentuk perpecahan yang lebih besar, terpaksa mengarahkan tenteranya menghentikan peperangan. Lantaran itu satu pertemuan untuk merangka perdamaian telah dilangsungkan. Tentera Muawiyah telah diwakili oleh Amru Al-As, seorang anak muda yang pintar dan licik dan Ali telah diwakili oleh Abu Musa al-Asyaari, seorang tua yang alim dan lurus orangnya.

Apabila pertemuan dilangsungkan, mereka membincangkan tentang formula untuk perpaduan. Amru telah mencadangkan supaya kedua-dua pihak mengumumkan dahulu perletakan jawatan khalifah supaya dapat dipilih semula seorang khalifah yang baru yang boleh diterima oleh semua umat Islam sama ada penyokong Saidina Ali ataupun Muawiyah. Abu Musa al-Asyaari bersetuju dan meminta Amru mengumumkan perletakan jawatan Muawiyah. Amru telah mengatakan bahawa dia menghormati Abu Musa yang lebih tua dan lebih elok sekiranya Abu Musalah yang mengumumkan dahulu perletakan jawatan Saidina Ali.

Sebagai seorang tua yang cintakan perdamaian dan tidak mempunyai buruk sangka sesama Islam, Abu Musa dengan secara rasmi telah mengumumkan perletakan jawatan Saidina Ali sebagai khalifah. Sebaik sahaja Abu Musa mengumumkan perletakan jawatan Ali, Amru pun mengisytiharkan bahawa segala perpecahan telah dapat diselesaikan memandangkan Ali telah meletakkan jawatannya dan tidak wujud lagi masalah dua orang khalifah yang bertentangan. Amru dengan rasmi telah mengumumkan bahawa Muawiyah bin Abu Sufyan adalah khalifah yang sah. Begitulah bagaimana permulaaan perpecahan yang amat dahsyat di kalangan umat Islam bermula apabila pihak yang tidak berpuashati dengan perlantikan Muawiyah telah menyalahkan Saidina Ali dan menghalalkan darah kedua-dua Ali dan Muawiyah dan membentuk kumpulan Khawarij.

Sementara penyokong-penyokong Muawiyah berpesta dengan kemenangan dan kebijaksanaan pemimpin mereka, penyokong-penyokong saidina Ali yang setia telah melahirkan golongan Syiah yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Muawiyah yang telah merampas haq Allah iaitu jawatan khalifah yang disandang oleh Saidina Ali.

Kaedah ini pada pandangan saya yang cuba digunakan oleh UMNO. Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada fakta sejarah yang berlaku. Pertamanya, membuat keputusan berdasarkan musyawarah Majlis Tertinggi Parti dan ahli-ahli. Apa-apa keputusan berserahlah kepada Allah s.w.t. Dan di pihak kepemimpinan, berhatilah-hatilah dengan tipu muslihat musuh jangan sampai terpedaya kerana pihak musuh akan menggunakan apa saja termasuk menjual agama untuk kepentingan mereka.


Luangkan masa jenguk-jeguklah blog saya : http://tuntelanai.blogspot.com/
Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan diblog saya satu lagi:
http://demang.blogmas.com/

“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian. Wallahu'alam dan terima kasih

3 comments:

Anonymous said...

Nasihat dan analisi yg baik utk PAS.

Suzana Jaafar said...

salam, saya kira artikel anda ini menunjukkan anda sayang pada PAS agar tidak tertipu kali kedua, cuma apa yang saya faham TGHH membuka rundingan untuk Umno merima Islam dan PAS, bukan PAS yang berunding untuk menerima UMNO dan kepincangan sistem yang ada pada UMNO. Ini sangat penting TGHH menyatakan pendirian itu kerana PAS bukan sahaja berpolitik tetapi berdakwah mengenalkan Islam kepada semua orang...TGHH pernah berkata kalau PAS bersama PKR dan DAP untuk berdepan dengan kezaliman BN , apatah lagi menerima UMNO yang sudah 'sedar' yang ingin bersama PAS.Ini adalah dakwah Islam...Percayalah TGHH yang terkenal dengan ketegasan pasti belajar dari kesilapan PAS dahulu,dgn adanya sayap2 PAS yang tak pernah takut menegur pimpinan PAS terutama Pemuda PAS, PAS takkan tertipu kali kedua.PAS bukan bukan semata2 parti politik tapi dalam masa yang sama terpikul satu tanggungjawab berdakwah kepada masyarakat.PAS dan Islam untuk semua ... Kali ini kalau UMNO ingin berunding dgn PAS, mereka la yang kena mengikut cara PAS dan masuk PAS bukan lagi PAS yang masuk UMNO...Apapun PAS bertuah kerana dikelilingi dengan ahli dan rakan yang menyayangi PAS, sebab itulah saya rasa anda mengeluarkan artikel ini sebagai peringatan awal kepada PAS ....

Anonymous said...

Salam tuan

Bolehkah tuan berikan kesahihan akan cerita Saidina Ali dan Saidina Muawiyah itu. Adakah sekadar mencedok dari buku teks sekolah ?

Ana terfikir dalam kita nak mendatangkan contoh sesuatu tetapi dalam masa yang sama kita memburukkan sahabat Nabi, na`udzubillah.

Harap tuan lebih prihatin bercakap tentang sejarah sahabat. Mereka semua itu diberikan gelaran radhiallahhuanhum , takkanlah mereka nak mengkhianati sesama sendiri. Setahu ana, orang yang memecah belahkan umat Islam ketika pemerintahan Saidina Ali ialah golongan syiah. Sila baca tulisan Dr MAZA dalam hal ini.

wallahu`alam