DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Monday, June 9, 2008

PENULIS DAN SENIMAN MENJADI PAKSI RAKYAT

Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt
,

Hujung minggu lepas saya sempat menghadiri satu “Pertemuan Eksklusif Penulis dan Seniman Paksi Rakyat” yang diadakan disebuah hotel terkemuka di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Orang kuat dibelakang pertemuan tersebut ialah saudara Dinsman, seorang penyair dan penulis terkenal di Malaysia.


Tujuan pertemuan tersebut ialah untuk mencari kaedah yang paling sesuai bagi mengumpul kekuatan baru dikalangan penulis dan seniman supaya dapat memberi sumbangan bermakna memperkuatkan dan memperkukuhkan kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negari melalui karya seni masing-masing.


Mereka yang hadir dalam pertemuan tersebut terdiri daripada golongan profesional seperti professor, Dr, wartawan, penulis, penyair, kartonis, penyanyi, pengarah filem, pelakon dan pelbagai cabang seni lagi yang bergiat aktif menghasilkan karya-karya seni khususnya di era Reformasi sehingga sekarang.


Seramai 40 orang penulis dan seniman seluruh negara berkumpul di situ. Diantaranya ialah saudara Azizi Haji Abdullah, seorang penulis dan novelis terkenal di tanah air kita, bapak Abdul Shukur Haron, penulis veteran dari Asas 50, saudara Razali Endon, penulis veteran, saudara Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah, Puan Ainon Mohamad, penulis dan penerbit buku, saudara Zunar, kartonis, Hishamudin Rais, kolumis siber terkenal, Ito, penyanyi, Nasir Jani, pengarah filem, Pyan Habib, penyair, Rahmat dan tidak ketinggalan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, saudara Annuar Bakri turut menghadirkan diri.


Sebanyak empat tajuk kertas kerja dibincangkan dalam pertemuan tersebut dan berjaya menghasilkan sebuah resolusi untuk menubuhkan sebuah Akademi Seni dan penubuhan Sekretariat Kesenian dan Kebudayaan Paksi Rakyat bertaraf nasional dengan semangat kebudayaan Malaysia Baru.


Penubuhan kedua-dua badan tersebut pada masa kini adakah sangat penting bagi mencari idea, kaedah dan pendekatan yang sesuai bagi melakarkan dan mencurakkan pelbagai kegiatan seni tadi, baik seni lakon, nyanyian, drama pentas, puisi, karton, penulisan dan sebagainya untuk dikembangkan ditengah-tengah masyarakat yang ‘multi-racial’ bagi tujuan menyampaikan mesej perjuangan Pakatan Rakyat kepada seluruh rakyat dalam negara ini. Tanpa mesej yang jelas, perjuangan Pakatan Rakyat berkemungkinan akan mati dipertengahan jalan.


Oleh itu, kegiatan seperti ini perlu digerakkan dan dikembangkan ke seluruh negara bukan hanya berpusat di Kuala Lumpur semata-mata. Ia perlu dibawa masuk ke kampung-kampung pendalaman terutamanya di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Inilah merupakan sebahagian kaedah atau pendekatan yang boleh dirancang dan perlu dilaksanakan bagi mempertahankan Pakatan Rakyat daripada dimusnahkan oleh UMNO melalui agen-agen propagandanya.


Sebelum itu, pihak sekretariat perlu mengenalpasti seni dan kebudayaan mana yang harus dikembangkan diseluruh negara. Ia perlu disesuaikan dengan keadaan setempat dan penerimaan masyarakat tempatan di satu-satu negeri yang hendak dituju. Perkara ini mustahak bagi mengelak berlakunya pertembongan budaya tempatan dengan budaya yang ingin dibawa masuk itu.


Sebenarnya kita mempunyai banyak seni dan budaya yang boleh diperkembangkan dan saya menjangkakan ia akan mendapat sambutan dikalangan masyarakat setempat. Kita ambil contoh mudah, di utara semenanjung seperti Kedah dan Perlis, wayang kulit masih lagi menjadi medium utama masyarakat di kedua-dua negeri tersebut. Begitu juga seni mempertahankan diri seperti seni silat, ia masih lagi menjadi seni budaya yang mendapatkan sambutan. Jadi, tidak hairanlah UMNO masih tetap menggunakan dua medium tersebut menjalankan kempen dan propagandanya dalam setiap majlis yang dianjurkan olehnya atau dalam musim-musim pilihan raya.


Bagaimana pula dengan nyanyian Awang Selampit [lagu-lagu tradisi seperti lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Paku Shadat dari Kedah] boria, ghazal parti, mak yong, menora, dondang sayang dan lain-lain lagi? Saya fikir semua seni budaya ini perlu dihidupkan kembali dan diberi nafas baru. Ia wajar digerakkan oleh sekretariat yang baru dibentuk itu.


Seni budaya tradisi dan moden [termasuk seni budaya orang India, Cina, Siam dan lain-lain bangsa] perlu digabungkan. Ia akan menjadi wadah baru kita bagi menyampaikan mesej perjuangan Pakatan Rakyat ke masyarakat Malaysia keseluruhannya. Inilah cara mudah untuk kita mendekati rakyat. Harus diingat rakyat Malaysia pada umumnya sukakan hiburan yang ringan-ringan, bukan berbentuk hiburan yang mahukan mereka berfikir.


Kita sudah tiada masa lagi untuk memperkukuhkan kedudukan dan mempertahankan kedaulatan kerajaan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat daripada serangan demi serangan yang dilancarkan oleh UMNO melalui berbagai sumber yang ia miliki. Resolusi yang dikeluarkan pada hari terakhir pertemuan tersebut hendaklah dijadikan sebahagian daripada sumber kekuatan kita. Itu sahaja cara kita untuk membantu Pakatan Rakyat mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13 nanti, disamping sumber-sumber lain yang sedia ada.


Inilah adalah sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakamkan dalam pertemuan tersebut :



Sdr Dinsman sedang mendengar hujah daripada
seorang fasilatator

Kelihatan sdr Zunar, Ito, Nasir Jani dan
Ahmad Lutfi


Sdr Annuar Bakri,SU Politik MB Kelantan sedang
memberi hujah



Kelihatan sdr Ito sedang memberi pandangan,Nasir Jani
Ahmad lutfi dan Azizi Haji Abdullah



Sebahagian perserta yang hadir


Kesimpulan yang boleh dibuat dalam pertemuan itulah langkah yang diambil oleh saudara Dinsman dan kawan-kawannya adalah merupakan tindakan yang paling tepat dengan mengunakan sepenuhnya keupayaan yang sedia ada. Cuma kita semua perlu bersatu, menyatukan idea berdasarkan kepakaran di bidang masing-masing. Segala resolusi yang dikeluarkan itu perlu dilaksanakan mengikut keutamaan, jangan biarkan ia terpendam begitu sahaja. Ia juga perlu mendapat sokongan semua pihak terutamanya daripada kerajaan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Berjaya atau tidak mengunakan sumber yang sedia ada ini bergantung kepada kita sendiri, tanpa menuding jari ke arah pihak lain yang sering mencari kesalahan kita.




“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian. Wallahu'alam dan terima kasih















No comments: