DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, April 3, 2008

MALAYSIA HARI INI: RAJA, UMNO, IDRIS JUSOH, PEGUAM NEGARA DAN MOHD AFFENDI YUSSUF

Oleh : Tun Telanai




Assalamu’alaikum wm.wrt,



Kemelut perlantikan MB Terangganu sudah berakhir. Ahmad Said secara rasmi telah dilantik sebagai MB Terangganu yang baru bagi mengambil tempat Idris Jusoh yang terpaksi pergi meninggalkan ‘lubuk emas’ hasil daripada memfaraidkan duit ihsan royalti petrolium 5 peratus yang dikeluarkan di bumi Terangganu dengan perasaan yang amat malu, kecewa, sedih, marah dan terpaksa menanggung segala penderitaan zahir dan bathin. Perasaan ini muncul kerana perjuangannya dalam UMNO ialah ‘politik cari makan’, bukan untuk rakyat. Kalau untuk rakyat, tidaklah kekecuhan merebut kerusi MB sehingga sanggup menderhaka kepada Sultan. Banyak kaedah lain yang ada untuk memperjuangankan nasib rakyat, bukan hanya duduk di kerusi MB sahaja yang boleh membela nasib rakyat. Banyak lagi kaedahnya.


Perjuangan ala gerilanya mempergunakan apa sahaja yang boleh dicapai telah memusnahkan segala impiannya untuk menerokai khazanah rakyat Terangganu. Panglimanya, Rasol Wahid turut kecundang bersama-sama dengan 22 tentera upahan. Walau bagaimana pun atas dasar’ ‘muka tidak pernah malu’ akhirnya mereka terpaksa menelan ludah sendiri kerana terlalu taasub kepada pemimpin walaupun dia ternyata silap. PM yang juga Presiden UMNO, Abdullah Ahmad Badawi yang tersasul menentang kehendak Sultan mempertahankan Idris dan Peguam Negara dipergunakan sebagai mewajarkan tindakan membantah perlantikan Ahmad Said tidak mengikut Perlembagaan kononnya. Akhirnya, semua yang terlibat kecundang dan najis terlekat di muka masing-masing berbau busuk dan huduh amat sangat.


Bagi menutup KEMALUAN dan AIR MUKA, Abullah terpaksa mengunakan paltform Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Selepas bermusyuarat sakan, maka dikeluarkan satu kenyataan bahawa MKT UMNO bersetuju menerima kehendak Sultan yang juga merupakan Yang DiPertuan Agong. Hari ini Ahmad Said bertemu Abdullah bagi mengemukakan senarai pemimpin UMNO negeri yang akan dilantik menjadi Exco. Yang menghairan pada kali ini, komen Abdullah lebih berbudaya, tidak segarang dan seego mula-mula nama Ahmad Said disebut-sebut untuk diangkat sebagi MB dengan menepikan pilihan beliau, Idris Jusoh. Kita tidak dimaklumkan [kononnya Sultan belum lagi dimaklumkan mengenai nama-nama yang tersenarai itu]. Daulat Tuanku. http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm


Dua perkara perlu dilihat dalam kes di Terangganu ini. Pertama, kuasa Peguam Negara dalam memberi nasihat perundangan kepada Abdullah. Peguam Negara dilihat mendahului pandangan yang patut terlebih dahulu diberi kepada Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara, bukan kepada Abdullah yang hanya mengetuai pihak eksekutif. Dalam konteks ini, kita secara jelas dapat melihat Peguam Negara adalah boneka kepada UMNO. Tugas Peguam Negara sekarang kini bukan lagi mengikut apa yang ditetapkan dalam Perlembagan, tetapi ia lebih kepada mencari helah atau dalil-dalil mentafsir Perlembagaan bagaimana untuk menjaga survival UMNO, daripada menjaga kestabilan politik negara, ketenraman dan keselamatan rakyat.

Oleh kerana kita memiliki Peguam Negara jenis minda ‘third class’, maka beliau telah memberi pandangan yang tersilap yang memalukan Abdullah sendiri berkat daripada bodek dan mengampu yang melampau. Bertindak gopoh untuk mengampu mengakibatkan Abdul Ghani Patail terlupa bahawa Abdullah hanya boleh memberi nasihat dan pandangan, Namun, kuasa melantik MB adalah di tangan Sultan. Sultan boleh melantik sesiapa sahaja yang pada pandangan Baginda mempunyai keyakinan majoriti anggota DUN. Kesannya, hubungan Istana dengan kepimpinan UMNO dan Kerajaan Pusat berada dalam kedudukan yang ‘tidak mesra’ lagi. Memang betul krisis perlantikan MB Terangganu sudah selesai, namun luka yang berdarah sudah kembali semboh, tetapi parut tetap ada.


Peranan dan bidang kuasa Peguam Negara di negara kita perlu dikaji semula. Ghani Patail perlu direhatkan. Beliau banyak menimbulkan keraguan terhadap kes-kes pendawaan yang tidak ada kredibilti yang memberi kesan terhadap sistem keadilan di negara ini. Tempat beliau perlu digantikan dengan orang yang lebih berwibawa dan berminda ‘first class’ yang tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Peguam Negara perlu bertindak mengikut Pelembagan bukan mengikut arahan penguasa seperti yang beliau lakukan selama ini.

Contoh klasik seperti dalam kes pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 1998, Ghani [ketika itu sebagai pendawaraya kanan] menggunakan kuasanya untuk mengugut akan mengenakan hukuman mati terhadap kawan rapat Anwar, K.S. Nallakarupan sekiranya Nalla tidak memberi kerjasama atau enggan menjadi saksi pendakwa mengikut skrip yang disediakan oleh pihaknya. Ugutan ini mendapat bantahan keras daripada peguam Manjit Singh Dillion yang menjadi peguambela kepada Nallakarupan sehingga menyebabkan Mokhtar Abdullah ketika itu sebagai Peguam Negara terpaksa akur dengan desakan Manjit yang berfakta dan dakwaan terhadap Nallakarupan dipinda dengan tuduhan yang lebih ringan. Beliau hanya didapati bersalah memiliki senjata api tanpa lesen [lesen luput tarikh] dan dihukum penjara sahaja.


Terbaru dalam tiga kes yang berasingan, sikap Ghani seolah-olah bertindak bagi pihak UMNO, bukan sebagai Peguam Negara. Begitu senang Ghani boleh menarik balik kes pendakwaan cubaan membunuh ke atas 31 India yang merusuh di Batu Cavé, sedangkan pada awal pendakwaan, beliau kata pihaknya mempunyai bukti-bukti yang kukuh mensabitkan kesalahan ke atas 31 orang itu yang telah mencederakan pegawai polis yang sedang menjalankan tugas dan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.

Berbeza dengan kes yang berlaku di Batu Buruk, Ghani turun padang melakukan pendakwaan sendiri terhadap dua orang pemuda iaitu Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Aziz yang ditembak oleh seorang konstabel polis Wan Aziz Wan Omar [RF143706], yang kononnya konstabel ini cuba mempertahankan diri daripada serangan daripada dua orang pemuda ini. Hujahkan sebegini sering-kali dilakukan oleh regim Israel menghalalkan tindakan zalim mereka terhadap bangsa Palestin.


Namun, sehingga kini konstabel yang kurang ajar ini tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah di Malaysia kerana ia dilindungi oleh undang-undang seperti yang diamalkan di Israel. Rakyat Palestin terus dizalimi dan ditembak sesuka hati oleh regim Israel kerana undang-undang ini melindungi mereka.


Dalam prosedur keselamatan yang biasa dikuatkuasakan ke atas pasukan polis dan tentera, beberapa syarat penggunaan senjata api terpakai:


(i) mesti melepaskan tembakan ke udara terlebih dahulu.(ii) sekiranya tidak berkesan, tembakan perlu dihalakan ke paras bawah pinggang, lebih tepat, kaki.(iii) sekiranya masih tidak berkesan, barulah tembakan boleh dihalakan kepada penyerang.


Dalam kes ini tembakan dihalakan tepat ke arah penyerang pada percubaan pertama dan akhirnya mengenai mangsa. Tambah mengejutkan, apabila polis yang menembak itu berpakaian preman sebagaimana yang didedahkan oleh Dato’ Mustafa Ali di Malaysiakini [http://www.malaysiakini.com/news/72203]. Penggunaan peluru hidup adalah sesuatu yang begitu mengejutkan, apatah lagi dalam menyuraikan ceramah. Sebelum ini, yang selalu digunakan hanyalah gas pemedih mata. Tetapi kini peluru menjadi habuan terbaru. Difahamkan pertama kali dan terakhir peluru hidup digunakan adalah sewaktu Perhimpunan Memprotes Keracunan Arsenik Anwar Ibrahim pada tahun 1999. Itupun, tembakan dilepaskan ke udara, dan dalam satu konteks penyuraian perhimpunan aman, tembakan boleh dilihat sesuatu yang rendah nilai moralnya.


Kedua-dua pemuda ini yang hampir mati ditembak dengan peluru hidup diperlihatkan kepada masyarakat melalui media yang mereka kuasai sebagai PENJENAYAH BERBAHAYA [penjenayah sebenar dibiarkan bebas] di negara ini. Mereka tidak dibenarkan ikat jamin dan terpaksalah mereka merengkok dalam penjara berbulan-bulan lamanya. Hakikatnya mereka hanya pergi tanpa senjata untuk mendengar ceramah politik anjuran BERSIH pada 8 September 2007.


Ketiga, Ghani tidak berani [sebenarnya tidak ada arahan] untuk mengambil tindakan terhadap penternak babi di Paya Mengkuang dan Bukit Beruang di Melaka. Penternak-penternak ini dengan garang bertindak kasar terhadap pasukan keselamatan dan pasukan pengkuat kuasa lainnya menghalang ladang ternakan babi mereka dicerobohi. Pada kebiasaanya, pasukan polislah yang menjadi penghalang yang menghalang pendokong pembangkang daripada menyertai aktiviti-aktiviti anjuran pembangkang, tetapi dalam kes ini penternak babi sendiri yang menjadi batu penghalangnyayang menghalang pasukan keselamatan dan pasukan penguatkuasa daripada menjalankan tugasnya.


Menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasminya merupakan satu kesalahan yang besar. Sampai kini, Ghani tidak pernah mengambil sebarang tindakan pendakwaan terhadap penternak-penternak tersebut dan mereka bebas meneruskan kegiatan mereka sehingga kini. Sebagai balasannya ke atas tindakan zalim dan double standard ini, maka Allah s.w.t telah membalas setimpal apa yang Ghani lakukan bagi pihak UMNO dalam pilihan umum yang lalu.

UMNO kalah teruk, tidak pernah berlaku dalam sejarah 50 tahun UMNO memerintah, UMNO pertama kali tidak berjaya memperolehi 2/3 di Parlimen. UMNO hanya memperolehi 51 peratus jumlah undi daripada 7.9 juta pengundi, manakala Pakatan Rakyat [nama baru mengantikan Barisan Alternatif ]memperolehi 49.79 peratus. Di semenanjung, UMNO hanya menang 85 kerusi Parlimen dan Pakatan Rakyat mendapat 80 kerusi, UMNO hanya lebih 5 kerusi sahaja. Sekiranya tanpa kerusi di Serawak dan Sabah yang menyumbang sebanyak 40 peratus daripada 222 kerusi iaitu sebanyak 55 kerusi Parlimen, maka sudah tentu UMNO sudah pun ditalqinkan sekarang.


Kedua adalah peranan Raja-raja Melayu mengembalikan maruah orang Melayu-Islam. Berbalik kepada isu penderhakaan UMNO terhadap Raja-raja Melayu. Rakyat telah melihat dan yakin para pemimpin UMNO memang kurang ajar, biadap dan derhaka semenjak dari dahulu lagi terutama dalam krisis Perlembagaan tahun 1983 dan 1993. Raja-raja Melayu dihina, dikeji dan ditelanjangkan segala salah-laku yang mengaibkan yang mereka telah lakukan ke hadapan rakyat jelata. Panglima UMNO ketika itu ialah Shahidan Kassim yang terbuang kini dan Annuar Musa yang hayat politik telah dimatikan dalam PRU lalu adalah menjuarai kempen memburuk-burukkan Raja-raja Melayu. Apa yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO ketika itu adalah bertujuan membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Institusi Raja-raja Melayu.


Perhimpunan atau demontrasi menentang Raja-raja yang lebihi dikenali sebagai ‘Perhimpunan Semarak’ dan ‘Perhimpunan Bersama Rakyat’ diadakan diseluruh negara. Pemimpin UMNO disanjung dan dipuja, tetapi Raja-raja dihina dan dikeji. Akhirnya, kedaulatan Raja-raja Melayu dibuang melalui pindaan Perlembagaan perkara 81[2]. Kuasa veto dan imuniti Raja-raja Melayu dibuang mengakibatkan kedaulatan Raja-raja Melayu terhakis. Raja-raja Melayu menjadi payung untuk orang Melayu-Islam. Tanpa disedari, kini orang Melayu-Islam [bukan Melayu-Islam dalam UMNO] menyedari bahawa peranan Raja telah menyelamatkan maruah orang Melayu-Islam kesan daripada tsunami politik yang melanda negara dalam PRU Ke-12 lalu terutama di Perak dan di Selangor.
Institusi kesultanan Melayu adalah tempat terakhir orang Melayu-Islam bergantung harap untuk menyelamatkan kedudukan mereka dalam negara ini seperti yang ditunjukkan itu.


Saya tidak berhajat untuk memanjangkan lagi perbahasan mengenai perkara ini selanjutnya kerana telah banyak pihak yang berbincang, menganalisis, berdialog, berforum dan sebagainya dan telah disiarkan oleh media massa terutama website-website serta blog yang terdapat di dalam negara ini. Apa yang saya hendak timbulkan disini ialah, ketika saya membelek-belek akhbar lama [arkib Utusan Malaysia] terjumpa temu ramah dengan seorang Ketua Pemuda daripada Bahagian Rantau Panjang,Kelantan yang bernama Mohd Affendi Yussuf. Ucapannya dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 sangat memukau serta mendapat pujian yang melambung daripada para perwakilan. Kononnya, pemuda ini bijak berbicara dengan memasukan ayat-ayat suci al-Quran dan al-Hadith dalam setiap ucapannya dan beliau adalah pemimpin masa depan khususnya di Kelantan. Rujuk link ini :
http://www.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=umno2006&y=2006&dt=1116&pub=umno2006&sec=Rencana&pg=ru_02.htm


Pada mulanya saya tidak mahu membuat sebarang ulasan tentang pendapat yang dikemukakanya, tetapi dua kali fikir mustahak juga untuk diberi perhatian dan ulasan, walaupun Affendi ibarat melukut ditepi gantang dalam politik arus perana. Pendapatnya amat berbahaya kepada golongan yang dangkal mengenai agama terutama golongan muda-mudi. Apa yang menarik perhatian saya ialah pertama, beliau berkata semasa beliau berlajar di Jordon beliau bergiat dan diberi latihan kepimpinan dalam PAS, tetapi katanya dia menemui kebenaran dalam UMNO. Maksudnya PAS membawa ajaran sesat dan para pemimpin tertinggi PAS seperti Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, Tuang Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Dato’ Dr Harun Din dan ramai lagi ulama-ulama serta para pemimpin PAS membawa ajaran Islam yang songsang atau terluar daripada ajaran yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadith. Kata beliau lagi, beliau menemui kebenaran hakiki ketika beliau masuk UMNO. MasyaAllah.


Saya jadi malas hendak membuat ulasan mengenai perjuangan UMNO yang dikatakannya ‘Suci dan Kebenaran’ itu kerana kita terpaksa mengulang perkara yang sama setiap ketika dan waktu terutama selepas kita menghadapi PRU hampir sebulan lalu. Dalam tempoh berkempen selama 13 hari itu, macam-macam perkara ditimbulkan oleh pihak pembangkang berkaitan moral, akhlak, amalan rasuah, menyalahgunaan kuasa, memfaraidkan harta rakyat sesama sendiri, anak-beranak-menantu dan kroni-kroni sampai muak rakyat mendengar dan melihatnya sehinggakan rakyat menghukum UMNO dalam pilihan raya tersebut. Kita semua sudah sedia maklum apa yang terjadi kepada UMNO sekarang ini seperti orang duduk di atas bara api. Para pemimpinnya gelisah terutama Abdullah, tekanan datang dari segenap sudut supaya beliau berundur dan dengan harapan UMNO dapat dipulihkan kembali. Tentangan ini sangat hebat sampai ke akar umbi. Kita berharap Affendi cepat insaf dan kembali ke dalam perjuangan yang sebenar seperti apa yang dilakukan oleh Ustaz Abdul Hamid Derani.


Kedua, Affendi penuh ego dan angkoh mendakwa bahawa Presiden PAS, Haji Hadi merasa takut dan bimbang apabila beliau dihantar ke Jordan dengan misi khas untuk membasmi penyebaran fikrah Pas di kalangan para pelajar Malaysia di situ. Affendi mengambarkan dia sebagai jagoan [takbur] seorang sahaja yang berani berdebat dengan Haji Hadi [mungkin maksudnya dalam temu ramah berkenaan, Haji Hadi pun takut berdebatnya]. Affendi terlupa bahawa Haji Hadi seorang tokoh politik yang penuh berpengalaman berbanding dengan beliau masih berhingus dan baharu sahaja berkecimpung dalam dunia politik UMNO yang penuh dengan berbagai gejala mungkar yang ada dalamnya. Bagi Haji Hadi sekali jentik sahaja, beliau akan terpelenting jatuh tersungkur tidak bangun-bangun untuk selama-lamanya dalam politik.


Ketiga, Affendi kagum dengan Islam Hadhari yang dibawa oleh Abdullah dan berazam untuk berhempas-pulas membantu UMNO merampas kembali Kelantan daripada tangan PAS. Saya terus mencapai naskah Star Special keluaran 10 mac 2008 yang memuatkan keputusan penuh PRU Ke-12 dan naskah A Straits Times Special bertarikh 25 Februari 2008 yang menyiarkan nama calon-calon yang akan bertanding dalam PRU Ke-12 lalu.


Puas saya membelek kedua-dua akhbar cetak ini, tetapi nama Mohd Affendi Yussuf tidak kelihatan di mana-mana kawasan di Malaysia khususnya di Kelantan. Tercatat dalam sejarah dalam pilihan raya lalu, UMNO tidak memperolehi 2/3 dalam parlimen dan lima buah negeri dari utara [kecuali Perlis], temasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Kelantan dapat dipertahankan dalam tempoh hampir 20 tahun dalam pemerintahan PAS.


Kalau ikut logik Affendi, seluruh rakyat Kelantan yang mengundi PAS adalah sesat, terkeluar daripada Islam yang dibawa oleh Nabi Mohammad s.a.w. Hanya Islam Hadhari yang mampu membawa kebenaran hakiki yang membolehkan Imam Besarnya memeluk sesiapa saja wanita yang bukan muhrim yang ia suka dan dalam kehidupan keluarga Abdullah sendiri yang tidak menjadikan Islam sebagai panduan hidup terutama dalam soal aurat. Nampaknya kebenaran hakiki yang dicarinya belum tercapai sepenuhnya lagi sepertimana yang pernah dialami oleh Abdul Hamid Othman, Mejar [B] Abdul Hamid Zainal Abidin dan Zainal Abidin abdul Kadir. Affendi juga pada ramalan saya akan turut hanyut ditelan masa sepertimana yang dialami oleh ketiga-tiga mereka yang saya sebutkan di atas. Sekarang pun nama Affendi terlalu asing buat rakyat Malaysia dan tidak mustahil karya politiknya akan mati dipertengahan jalan.InyaAllah.


“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian.Wassalam.

1 comment:

Anonymous said...

Salam Tuan, dlm PRU12 lepas Afendi telah bertanding di P023 Parlimen Rantau Panjang, Kelantan tewas kepada calon muslimat PAS, Ustazah Siti Zailah dgn majoriti 4,000 lebih - Petugas PAS P023