Oleh YB Hj Mahfuz Omar
KECELARUAN politik Umno/BN semakin terserlah ekoran kegagalan mereka mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan empat lagi negeri termasuk hanya menang 1 kerusi sahaja di Kuala Lumpur kepada Barisan Alternatif (BA). Walaupun para pemimpin BN masih mendakwa mereka kuat dan mempunyai kerajaan yang kukuh, ternyata isu-isu yang tercetus kebelakangan ini menggambarkan perkara yang sebaliknya. Bayangkan betapa ‘gabranya’ BN sehingga terpaksa menggunakan perisik untuk mengorek maklumat tentang kemungkinan wakil rakyat mereka di Sabah dan Sarawak akan menyokong BA. Keadaan ini telah memaksa mereka mencadangkan supaya satu rang undang-undang anti lompat parti diwujudkan.
Satu masa dahulu undang-undang ini telah diwujudkan di Sabah dan Kelantan untuk menghalang BN daripada membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan dan PBS di Sabah. Tetapi ekoran kejayaan Umno membeli empat wakil rakyat, termasuk dua ADUN S46 pada 1992, menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Apabila calon BN dikalahkan oleh rakyat, maka mereka membawa kes ini ke mahkamah. Kes Nordin Salleh vs Kerajaan Kelantan telah menyebabkan undang-undang anti lompat di Kelantan dan Sabah dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kedua-duanya terbatal.
Kini giliran BN pula tersepit apabila ada di kalangan wakil rakyat mereka sendiri ’lebih yakin’ dengan kemampuan BA berbanding BN. Mereka mahu ada undang-undang untuk menyekat wakil rakyat bertukar parti. Pelbagai gelaran dilabelkan kepada mereka yang mahu melompat seperti ‘katak’, ‘tiada maruah’, ‘perosak politik’ dan sebagainya. Perdana Menteri sendiri membuat tuduhan bahawa BA mahu membeli wakil rakyat mereka dan menganggap ini adalah satu rasuah. Bahkan, dua ADUN Terengganu yang dikatakan akan menyokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar pun disiasat oleh BPR.
Umno harus tahu bahawa BA tidak mempunyai cukup wang untuk membeli wakil rakyat mereka, tetapi mempunyai dasar dan perjuangan yang cukup meyakinkan YB mereka untuk berubah parti. Budaya membeli wakil rakyat ini adalah budaya BN. Kita amat jarang mendengar wakil rakyat BN masuk PAS atau parti pembangkang lain, tetapi kita biasa mendengar wakil-wakil pembangkang melompat kepada BN. Kerana apa? Kerana ‘dibeli’ oleh BN, sebab itu bila ada sahaja desas-desus wakil rakyat BN hendak melompat, maka yang tercetus di kepala PM ialah ’dibeli’. Kita tentu sahaja masih ingat bagaimana Kerajaan PAS Terengganu dijatuhkan pada 1961 oleh Umno/Perikatan; peristiwa ’turn about-about turn’ di Kelantan pada 1967; kejatuhan Kerajaan PBS di Sabah pada 1994 dan juga usaha-usaha membeli wakil rakyat PAS pada 2004. Ini semua adalah jenayah politik Perikatan/BN.
Berbalik kepada kekecohan politik yang sedang berlaku hari ini, kita mendapati bahawa Umno sudah kehilangan pedoman dan tidak dapat mengemudi politik negara dengan berkesan lagi. Di dalam Umno, pergolakan begitu hebat. Ku Li menyatakan kesediaan untuk mencabar Presiden Umno, Dr Mahathir pula mahu Pak Lah bertanggangungjawab dan berhenti segera, Datuk Mukhriz dengan berani menghantar surat mendesak PM berundur, Radzi Sheikh Ahmad sudah berpindah kem, Khir Toyo pula terpaksa menyerahkan kuasanya kepada Muhammad Taib, Rafidah Aziz nampaknya masih belum berpuas hati, sedang Khairy Jamaluddin dikatakan terus berkuasa dalam Umno.
Kabinet baru yang dibentuk langsung tidak meyakinkan rakyat lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula menteri-menteri ’otai’ yang kebanyakkannya bermasalah. Ditambah lagi apabila menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang mengakui bahawa pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara bukan sahaja satu kesilapan, bahkan membuka ruang kepada hakim-hakim rasuah menjadi Ketua Hakim Negara. Rakyat masih belum bercakap soal inflasi yang semakin meningkat, kejatuhan saham atau kemungkinan harga petrol dinaikkan. Tetapi pergolakan politik yang diharu-birukan sendiri oleh Umno/BN sudah cukup untuk memanaskan keadaan.
Di negeri-negeri, suasana nampak tenang di Kelantan dan Kedah yang diperintah oleh PAS. Tidak ada satu perkataan pun ditujukan untuk mencerca PAS di Kelantan melainkan kenyataan kecewa oleh Zam. Di Kedah, percubaan mereka untuk menimbulkan isu Tadika Kemas gagal apabila Menteri Besar mengarahkan ia beroperasi seperti biasa diikuti oleh arahan kerajaan Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Kenyataan Lim Guang Eng bahawa beliau akan mentadbir seadil Khalifah Umar Abdul Aziz mematikan semangat perkauman Umno di pulau mutiara itu. Kelewatan BA membentuk kerajaan di Selangor dan Perak menjadi senjata BN, tetapi untuk sementara waktu sahaja. Di Selangor selesai dengan cepat kerana BA mendapat majoriti yang lebih besar, manakala di Perak ada masalah kerana DAP yang mendapat majoriti tidak mempunyai wakil Melayu untuk diangkat sebagai Menteri Besar. Tetapi semuanya selesai di meja rundingan apabila parti-parti BA bersedia bertolak ansur demi menamatkan kezaliman BN.
Mereka sudah ketiadaan isu untuk memburukkan pembangkang dan kini proses melaksanakan manifesto sedang bermula. Masalah yang kian parah sekarang ialah kegagalan BN membentuk kerajaan di Terengganu walaupun menguasai dua pertiga majoriti. Krisis politik dalaman mereka kini bertukar menjadi perbalahan dengan istana. Sultan Terengganu yang menjadi Yang di-Pertuan Agong hanya berdiam diri, tetapi Majlis Pemangku Raja nampaknya memahami bahawa sultan dan rakyat Terengganu tidak mahu berketuakan seorang menteri besar yang rakus dan bertopengkan agama. Sultan dikhabarkan mahu seorang yang ’baik’ menjadi MB dengan maksud MB lama ’tidak baik’.
Apabila MPR menawarkan jawatan MB kepada Ahmad Said, penyokong Idris Jusoh segera membuat laporan BPR tentang aktiviti rasuah calon MB baru itu. Terbukti Pak Lah penipu! Dia memberitahu rakyat bahawa semua calon BN bersih dan telah ditapis termasuk oleh BPR. Apabila Ahmad Said hendak dilantik sebagai MB, juak-juak BN sendiri mendedahkan kegiatan haram mereka. Jika Ahmad Said yang dianggap ’terbaik’ oleh Istana pun didakwa terlibat dengan rasuah, inikan pula wakil-wakil rakyat lain yang ’kurang baiknya’ itu.
Di sebalik masalah ’kebersihan’ wakil rakyat BN ini, lebih ketara sekarang ialah ’penderhakaan’ terbuka Umno/BN terhadap istana. 23 wakil rakyat BN menyertai Pak Lah dan kuncu-kuncunya mempertikaikan keputusan istana untuk menolak Idris Jusoh. Apa hebatnya Idris Jusoh sehingga bermati-matian mahu dipertahankan oleh 23 wakil rakyat Umno ini sehingga sanggup menderhakai sultan. Mungkin Idris Jusoh boleh memberikan mereka projek-projek di Pulau Wan Man atau mendapat tender untuk Monsun Cup, walaupun semua rakyat tahu projek tersebut sudah dibolot oleh Patrick Badawi dan Khairy Jamaluddin. Penderhakaan kepada sultan adalah suatu yang amat asing dalam politik Melayu.
Pemimpin-pemimpin dahulu kala sudah banyak terkena tulah dan daulat kerana cuba menderhaka, tetapi Idris Jusoh dan kroninya masih sanggup untuk berbuat demikian demi kuasa. Kita menyokong jika raja yang zalim ditentang, tetapi kita hairan apabila sultan yang mahukan keadilan disanggah. Ia ternyata satu perbuatan pemimpin yang zalim. Ketika pergolakan berlaku di Perak kerana Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengarahkan ADUN DAP memulaukan majlis angkat sumpah MB Perak, Umno segera menuduh Kit Siang derhaka.
Ketua Penerangannya, Tan Sri Muhammad Mohd Taib bertalu-talu menyerang Kit Siang, tetapi pemimpin DAP itu cepat sedar akan kesilapannya lalu segera memohon maaf kepada istana. Shahidan Kassim yang tidak direstui Raja Perlis juga diam sahaja apabila istana tidak memilihnya.
Kini, Idris Jusoh sahaja yang terus menderhaka. Rakyat masih tercari-cari ke mana tokoh yang pernah melarikan anak Sultan Selangor itu untuk mengecap ’derhaka’ kepada Idris Jusoh pula! Kini ludah sudah jatuh ke muka sendiri. Kita akui perbuatan Kit Siang tidak wajar tetapi kita berbesar hati apabila dia sanggup meminta maaf dan kembali ke pangkal jalan.
Namun rakyat sudah kepeningan apabila Idris Jusoh yang biasa menjadi Timbalan Menteri dan Menteri Besar begitu biadap terhadap sultan. Sultan menolak beliau kerana ’dosa-dosa’nya sepanjang empat tahun menjadi MB negeri itu. Sultan sudah tahu segala karenah dan kebobrokan beliau sebagai Ketua Kerajaan. Sultan tidak mahu Idris Jusoh lagi. Itu sahaja. Mengapa Idris berkeras, degil dan biadap terhadap Istana? Adakah kerana masih banyak wang rakyat yang belum dipunggah atau diagihkan kepada Patrick Badawi.
Maka, kerana itu Pak Lah mempertahankan Idris Jusoh? Satu isu yang besar sekarang ialah pertembungan antara Perdana Menteri yang didesak meletak jawatan dengan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Terengganu. Memang Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai hak untuk campur tangan di Terengganu, tetapi rakyat mempersoalkan mengapa Pak Lah bermati-matian mahu mempertahan Idris yang sudah ditolak oleh istana.
Adakah Pak Lah juga cuba menderhakai sultan. Jika pemimpin BN itu serius mahu menentang sultan, kita mencabar mereka memecat Ahmad Said sebagai ahli Umno seperti yang diugut sebelum ini. Pak Lah dan Idris tidak patut menerima Ahmad Said sebagai menteri besar jika mereka berterusan memusuhi istana Terengganu. Saya berharap supaya Sultan Terengganu memikirkan untuk menarik balik pingat dan bintang kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada Pak Lah, Idris dan juga Rasol Wahid kerana penderhakaan ini.
Nampaknya Umno lebih suka mempertahankan kepentingan poket dan perut masing-masing daripada mempertahankan kepentingan Melayu atau kepentingan negeri dan rakyat Terengganu. Di Pulau Pinang mereka melakonkan perjuangan hak Melayu, tetapi membunuhnya di Terengganu. Dahulu mereka merompak wang royalti milik rakyat Terengganu, kini mereka menghina Sultan Terengganu. Apabila seseorang pemimpin lebih mementingkan projek daripada rakyat, mereka akan sanggup melawan sultan. Keadaan ini amat menggugat kestabilan ekonomi dan politik negara, selain turut mencabuli kedaulatan Raja-raja Melayu. Rakyat sudah boleh menilai sendiri siapa Umno sebenarnya. Adakah seorang pejuang Melayu menderhakai sultannya? Umno sudah kehilangan taring politiknya.
Mereka sudah cacamerba dan kehilangan arah perjuangan. Membela Melayu, sultan ditentang. Membela DEB, kroni kekenyangan. Membela Islam, murtad berkembang. Membela rakyat, keadilan hilang. Apapun, saya mengucapkan tahniah kepada rakyat yang telah bertindak bijak menafikan dua pertiga BN sekali gus menyelamatkan hak rakyat daripada terus menjadi mangsa kerakusan BN.
YB Hj Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena
ULASAN :
Keadaan UMNO dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi terlalu lemah. Beliau menerima tentangan daripada berbagai sudut. Sultan dan Raja sudah hilang kepercayaan kepadanya lagi. Mereka hanya sekadar menurut peraturan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, tetapi yang menjadi mereka berhak dalam Perlembagaan Negeri, mereka pertahankan dan menggunakan sepenuhnya bagi melemahkan pentadbiran Abdullah. Abdullah tidak mampu bertindak. Suara dan tidakannya tidak di dengar lagi. Yang masih sokong Abdullah adalah orang-orang yang ada kepentingan. Masuk politik untuk mencari makan. Kini, Abdullah hanya bergayut kepada saki baki kuasa yang ada.
Buat masa ini untuk menjatuhkan kuasa Abdullah paling senang dan rapuh. Syaratnya seluruh rakyat [yang berkepentingan dengannya] dan bermuafakatan di antara parti-parti pembangkang sangat diperlukan bagi menyemarakkan api anti pemerintahan Abdullah 3 beranak. Dalam pada itu, jangan lupa intai-intai kerabat-kerabat BN yang terpinggir, mereka ini penting.
Ayoh BA, tunggu apa lagi...........
"SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA"
"PROTES SAMPAI TURUN"
Wassalam
No comments:
Post a Comment