DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Wednesday, November 14, 2007

GELOMBANG KUNING TUNTUT PEMBAHARUAN PILIHANRAYA

Oleh :Lee Ban Chen
Dipetik daripada : Malaysiakini.net

http://www.malaysiakini.com/colums/74775
Dibawa Oleh : Tun Telanai
Assalamu'alaikum.wm.wrt,

Kejayaan perhimpunan puluhan ribu orang anjuran Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) pada 10 November 2007, untuk menyampaikan memorandum pembaruan pilihanraya negara kita kepada Yang di-Pertuan Agong, telah memberi nafas baru kepada pergerakan rakyat sejak kesurutan gerakan reformasi beberapa tahun kebelakangan ini, akibat penindasan Barisan Nasional (BN) dan faktor-faktor dalaman.


Perhimpunan ini menunjukkan parti-parti dan badan-badan bukan kerajaan terbabit masih mampu memobilisasi perhimpunan raksasa yang aman di bawah pelbagai tekanan, cemuhan, amaran dan tindasan daripada pemimpin-pemimpin Umno/BN menerusi jentera polis dan undang-undang tidak demokratik. Yang sinis sekali ialah selepas 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, rakyat kita masih dilarang berhimpun di ‘Dataran Merdeka’ secara aman dan bebas.


Sebelum tarikh perhimpunan, Bersih didesak pihak polis untuk memohon permit perhimpunan, meskipun kebebasan berhimpun merupakan hak asasi manusia dan hak perlembagaan kita. Seperti nasib semua perhimpunan yang dianggap sebagai anti-kerajaan, perhimpunan anjuran Bersih itu telah diharamkan oleh pihak polis atas enam alasan, termasuk Bersih adalah sebuah pertubuhan tidak berdaftar, tanpa kebenaran DBKL, terdapat aktiviti lain di tempat yang sama, terdapat kumpulan tertentu akan mengambil kesempatan untuk menimbulkan keadaan tidak tenteram, gangguan lalulintas dan ancaman terhadap keselamatan awam.

Amatlah dikesali, Bersih, sebagai sebuah jawatankuasa kerja gabungan parti-parti dan badan-badan bukan kerajaan yang sah di sisi undang-undang, telah diinsinuasikan sebagai pertubuhan haram. Di samping itu, apa yang berlaku pada hari bersejarah itu telah membuktikan bahawa sekatan jalan oleh polislah yang melumpuhkan lalulintas di Kuala Lumpur manakala gangguan lalulintas ekoran perarakan dan perhimpunan di depan Istana negara, dapat dikawal ke tahap minima.


Tentang ancaman keselamatan dan ketenteraman awam, sekali lagi terbukti bahasa tindakan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) - khasnya sembuhan air campuran kimia, tembakan gas pemedih mata serta buruan dan tangkapan terhadap mereka yang berhimpun (termasuk kanak-kanak dan wanita) - ketika mahu menyuraikan perhimpunan aman di tempat-tempat berkaitan, terutamanya di sekitar Majlis Jemek, yang telah menimbulkan kekecohan dan ancaman keselamatan terhadap penunjuk perasaan dan orang awam.


Puluhan ribu penunjuk perasaan yang berkumpul dan disuraikan oleh pasukan FRU di Sogo, Pasar Seni, Masjid Jemek dan Masjid Negara, berjaya meloloskan diri daripada kawalan polis untuk beredar dalam hujan menghala ke Istana Negara untuk menyaksikan penyerahan memorandum pembaruan pilihanraya, dan bersurai menurut arahan pemimpin Bersih tanpa menimbulkan sebarang insiden yang tidak diingini.


Perhimpunan aman Ketabahan hati dan disiplin yang membanggakan ini mungkin telah mencegah peluang mencetuskan sebarang huru-hara oleh provokatur-provokatur dalam selimut dan membuktikan dakwaan polis tentang ancaman keselamatan dan ketenteraman awam itu adalah tidak berasas.


Dalam proses menentang perhimpunan anjuran Bersih, sikap anti-pembaruan sistem pilihanraya dan anti-demokrasi Umno juga terdedah sebulat-bulatnya. Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dengan lantang mengatakan beliau ‘pantang dicabar’ sebab Bersih tidak berganjak untuk tetap mengadakan perhimpunan 100 ribu orang yang telah diharamkan!


Di manakah logiknya permintaan Bersih untuk pembaruan sistem pilihanraya negara kita boleh dianggap sebagai cabaran individu terhadap Perdana Menteri? Bukankah Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya sendiri juga mengaku keperluan pembaruan sistem pilihanraya di negara kita.

Adakah beliau juga cuba mencabar Perdana Menteri? Sesiapa yang tidak setuju bahawa pilihanraya perlu dikendalikan secara lebih bebas dan adil, bukanlah dicabar, tetapi sebaliknya mencabar keperluan sistem demokrasi yang tulen dan bermakna! Ini bukan hanya berkaitan dengan perasaan atau keangguhan seseorang Perdana Menteri, tetapi kena-mengena dengan hari depan dan kepentingan rakyat dan negara pada keseluruhannya.


Saranan memorandum Tidak dapat dinafikan lapan perkara pokok yang dikemukakan Bersih dalam memorandumnya sebagai agenda perubahan jangka panjang memerlukan pertimbangan serius semua pihak terbabit, dan bukan boleh diketepikan dengan alasan ‘pantang dicabar’ jika kita benar-benar menghargai sistem demokrasi yang kita amalkan sekarang.

Antara lain, memorandum Bersih telah menyarankan:


1. Sistem pilihanraya yang lebih seimbang untuk memperbetulkan kepincangan prinsip ‘First- Past-The-Post’ akibat manipulasi pembahagian kawasan pilihanraya, jaminan jumlah kerusi bagi kaum wanita (30%) dan kelompok terpinggir dalam masyarakat di Parlimen, dan memperkenalkan semula pilihanraya tempatan.

2. Pentadbiran pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai sebuah institusi yang bebas dan memperuntukkan undang-undang yang berkaitan dengan hak pemerhati-pemerhati antarabangsa dan tempatan.

3. Pembetulan mengenai kepincangan-kepincangan pendaftaran parti baru, penamaan calon dan wang deposit pilihanraya yang terlalu tinggi .

4. Tempoh berkempen yang lebih panjang, jaminan kebebasan bersuara dan berkumpul sebagai hak perlembagaan, kawalan pembiayaan kos kempen dan mencegah amalan rasuah secara berkesan dan pertimbangan untuk membiayai kos kempen bagi parti-parti politik, calon-calon wanita dan kumpulan-kumpulan terpinggir dalam masyarakat.

5. Rombakan undang-undang untuk mencegah media dimonopoli oleh proksi Barisan Nasional, akses kepada media yang adil bagi semua parti politik, termasuk hak membalas dalam media.

6. Kerajaan Sementara ( Caretaker Government) tidak berkuasa untuk menggubalkan sebarang dasar kerajaan selepas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, salahguna sumber dan instrumen negara untuk menang pilihanraya adalah kesalahan jenayah, dan penyediaan dan penyemakan daftar pemilih perlu dibuat secara telus dan tertakluk kepada semakan kehakiman.

7. Mengemaskinikan daftar pemilih untuk mengelak pemindahan pengundi secara haram, melenyapkan ‘pengundi hantu’ dan mengamalkan pendaftaran pengundi secara automatik.

8. Penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda dan memansuhkan sistem pengundian pos. Pembaharuan p'raya Untuk jangka terdekat.

Bersih mengemukakan empat pembaharuan untuk dilaksanakan segera, iaitu:

* Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan;

* Penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda;


* Pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara; dan

* Akses media yang adil kepada semua pihak dlam pilihan raya.


Memorandum akhirnya memohon ke Bawah Duli Tuanku agar sebuah Suruhanjaya Diraja dapat ditubuhkan untuk mengkaji pembaruan sistem dan proses pilihanraya, dan mengunakan kuasa Tuanku untuk menolak apa juga permintaan untuk membubar Parlimen selagi empat pembaruan serta merta di atas, tidak dilaksanakan.

Perdana Menteri Abdullah menuduh bahawa penyerahan memorandum Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November 2007 sebagai cubaan parti pembangkang untuk mengheret institusi Raja-Raja Melayu, terutama Seri Paduka sendiri dalam kancah politik adalah tuduhan melulu, kerana bagaimanapun Seri Paduka adalah ketua negara yang diiktiraf oleh Perlembagaan.

Mungkin boleh dipertikaikan tentang kebijaksanaan memorandum diserahkan kepada Seri Paduka sebagai langkah strategi pergerakan rakyat, di samping sifat feudalis, rasanya tidak begitu realistik juga jika menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap kuasa simbolik Seri Paduka.


Padahal hingga sekarang Seri Paduka masih belum secara terbuka menunjukkan sokongan atau simpatinya terhadap gerakan pembaruan sistem pilihanraya anjuran Bersih, atau sekurang-kurangnya menjawab tuduhan perdana menteri yang cuba memperlekehkan isu penyampaian memorandum Bersih kepada Seri Paduka sebagai ketua negara. Yang lebih melucukan ialah parti-parti pembangkang diajak untuk menunjukkan ‘kejantanan’ mereka dalam gelanggang pilihanraya yang berat sebelah dan hanya menguntungkan parti pemerintah saja! Sesiapa yang benar-benar ‘jantan’, mustahil mengelak untuk bertarung di gelanggang yang bersih dan adil.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN RAKYAT"
"PROTES SAMPAI TURUN"
Sekian.Wassalam.

No comments: