Mahu tak mahu UMNO kena berubah ikut zaman. Jikalau tidak nasib UMNO akan sama dengan nasib Dinosaur. Lenyak di atas muka bumi ini. Dalam banyak hal UMNO terpaksa buat perubahan. Bak kata peribahasa Melayu, ‘sekali air bah sekali pasir berubah’. ‘Air bah’ telah pun berlaku dan telah meninggalkan kesan-kesan yang memaksa ‘pasir’ berubah. Hukum alam mengatakan bahawa pasir mesti berubah selepas air bah. Oleh itu tidak salahnya ahli UMNO melihat keadaan sedemikian daripada mencari jalan menyalahkan ‘orang’ itu dan menyalahkan ‘ pihak’ ini. Buang masa. Bukan zamannya kita membebal dan menyalahkan orang lain. Orang UMNO juga selalu’ menyalak’ ke sana ke mari menyuruh orang lain ‘ think positive’. Diri sendiri bagaimana?
Aku perhatikan ramai pemimpin UMNO yang masih berada pada tahun-tahun 60an. Katalah apa pun, aku masih berpegang pada persepsi aku. Jikalau ada pun perubahan cara berfikir dan bertindak, ia hanya berlaku dikalangan setengah pemimpin. Sedikit benar bilangannya. ‘handful’ kata orang putih. Selainnya tu masih di takuk lama. Khayal. Masih memikirkan mereka berada pada tahun-tahun 60an. ‘Menyanyikan lagu-lagu A.Ramlee, Jeffridin, Ahmad Jais…..’ sedangkan orang lain sudah menyanyikan lagu-lagu modern ( walaupun memang tidak sedap telinga aku mendengarnya).
Apa tidaknya. Hadirkanlah diri di Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan pada setiap tahun itu. Itulah rupanya semenjak dari dulu sehinggalah sekarang . Yang berubah ialah tempat PAU itu diadakan dan hotel-hotel tempat penginapan dan cara ahli-ahli UMNO berpakaian. Itu yang aku nampak perubahan yang besar. Hebat. Maklumlah orang kaya-kaya. Dari segi penyampaian dan ‘input’ aku rasa tak banyak beza dengan keadaan pada tahun-tahun 60an dan 70an, walaupun ada usaha pembaharuan yang cuba hendak diketengahkan oleh golongan muda, namun usaha yang sedemikian ‘ tak jalan’. Itulah UMNO sehingga kini dan mungkin selama-lamanya.
PAU pada pandangan aku adalah ‘pesta gelak ketawa’ yang akan ‘dihiburkan’ oleh ‘badut-badut’ yang didatangkan khas dari serata pelusuk tanah air. Jangan dipersalahkan pulak ‘ badut-badut’ berkenaan. Mereka terpaksa menjadi ‘badut’ ketika menyampaikan hujah-hujah mereka. Sekiranya mereka tidak berlagak demikian, pasti para ‘ penonton’ akan meninggalkan dewan dan dewan akan kosong. Oleh itu si badut terpaksa memenuhi kehendak ‘penonton’ juga. Begitulah keadaan PAU semenja dari dulu hingga kini.
Khayalan ahli UMNO adalah seperti khayalan Mat Jenin ketika berada di pohon kelapa. Bukan semua ……Tetapi ramai yang khayal dan pasang angan-angan. Berbagai angan-angan sehinggalah datangnya taufan yang amat kuat yang menyebabkan ramai yang jatuh bergelimpangan. PRU 12 dan PRU 13. Gelombang PRU 12 sepatutnya sudah boleh menyedarkan ramai pemimpin dan ahli UMNO apabila BN-UMNO hanya berjaya mendapat 140 kerusi. Namun rupa-rupanya mereka masih khayal dan bermimpi dan berangan-angan. Dan apabila sampai ke PRU 13, sekali lagi BN-UMNO kehilangan tujuh kerusi lagi. Aku setuju dengan komen Tun Mahathir bahawa sepatutnya UMNO-BN sedar tentang kesan PRU 12. tetapi rupanya mereka tidak begitu peka akan kesan yang mendatang.
Dalam PRU 13, dapat kita lihat seolah-olah DS Najib dan TS Muhyiddin sahaja yang ke hulu dan ke hilir berkempen menyelamatkan BN-UMNO. Itu pengamatan aku. Dulu-dulu, Perdana Menteri tidak banyak turun ke padang. Timbalannya yang sentiasa berada bersama rakyat. Berbeza dengan keadaan DS Najib. Beliau terpaksa bertungkus lumus ke hulu ke hilir, ke darat dan ke baruh, ke padang dan ke sawah…. Jadi seolah-olah kemenangan BN-UMNO kali ini adalah kemenangan dua orang pemimpin tertinggi ini. Peranan pemimpin lain itu tidak boleh juga dipertikaikan. Ada. Tetapi tidak sehebat dua orang pemimpin ini.
Berbalik kepada persoalan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Aku tidak dapat memberikan formulanya. Aku hanya ‘pandai’ mengkritik tetapi tidak dapat memberikan penyelesaiannya. Itu aku mengakuinya. Dan bukan pula tugas aku nak memikirkannya. Cuma aku dapat memberikan senario yang sedang dan akan dihadapi oleh UMNO sekiranya mahu menjadikan parti itu relevan.
Cadangan Dato’Onn pada tahun 1950 supaya UMNO membukakan keahliannya kepada kaum lain harus difikirkan semula. Cadangan ‘orang tua’ yang ‘very far-sighted’. Ahli UMNO boleh menolak mentah-mentah cadangan itu pada tahun 1950an tetapi kena berfikir panjang-panjang akan cadangan itu pada awal Kurun ke 21.
UMNO terpaksa mengambil kira perasaan anak muda generasi DEB, terutamanya anak muda Melayu yang berpendidikan tinggi. Cara berfikir mereka agak berlainan dengan cara berfikir generasi lama – generasi sebelum DEB. Golongan ini tediri daripada para eksekutif yang boleh berdikari dengan ilmu dan ijazah yang mereka perolehi. Mereka tidak memerlukan ‘tongkat’ atau penggantungan kepada sesiapa. Mereka berdikari. Lantas cara berfikir mereka juga amat sukar dipengaruhi.
Ramai anak muda generasi Kurun ke 21 sudah tidak berfikir berlandaskan kaum dan bangsa. Ini berlaku pada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Mereka sudah tidak berapa peduli sangat tentang kedudukan kaum dan bangsa. Mereka adalah Bangsa Malaysia. Keadaan ini berlaku adalah ekoran daripada sukatan pelajaran yang merentasi kurikulum yang didedahkan kepada mereka di sekolah-sekolah.
Aku perhatikan UMNO secara umumnya semacam tidak sedar tentang perkembangan yang dinyatakan di atas. UMNO masih syok sendiri. UMNO masih ‘melayan’ orang Melayu. Masih ‘menjaga’ hati orang Melayu. Begitu ‘enaknya’ melayan ‘mimpi-mimpi’ yang endah sehinggakan ramai orang Melayu tidak sedar tentang perkembangan yang berlaku disekeliling. Aku tak mahu sebut contoh yang berlaku pada PRU 13.
Memang berlaku. Dan aku perhatikan keadaan itu dengan penuh minat. Aku nampak macam cerita seekor katak yang berada dalam air yang dipanaskan. Disebabkan terlalu selesa berada dalam air berkenaan, sikatak lupa bahawa air sedang dipanaskan. Si katak baru sedar yang ia dalam bahaya setelah air telah mendidik.
Kesannya…..Lu fikirlah sendiri…..
9 Mei 2013
No comments:
Post a Comment