Berdebat bukannya bertengkar. Bertegang urat tengkuk. Macam yang selalu
berlaku di setengah kedai-kedai kopi atau di warong-warong. Kadang-kadang
berkesudahan dengan ‘berlengan’. Berdebat tidak begitu. Cara tersusun
untuk menyampaikan hujah-hujah. Cara orang terpelajar ‘bertengkar’,
menyampaikan buah fikiran, mematahkan hujah lawan. Pendengar yang memberikan
keputusan. Itu pun tidak berkesudaham menang-kalah, macam perlawanan bola
sepak. Debat biasanya berkesudahan dengan si pendengar membuat kesimpulan
tentang segala hujah yang disampaikan oleh kedua-dua pihak.
Bukan ke cantik cara begitu daripada ‘bertengkar’ yang tidak
berkesudahan. Rakyat kini amat keliru dengan keadaan yang ada sekarang terutama
menjelangnya PRU 13. Pihak kerajaan berkempen menerusi akhbar dan TV. Berkempen
dan tidak menjelaskan secara terpeinci isu-isu sebenar. Begitu juga pihak
Pakatan Rakyat menyamipakn hujah mereka melalui ceramah-ceramah yang diadakan.
Dalam waktu yang terhad. Tidak juga dapat menjelaskan sesuatu kepada rakyat
terbanyak.
Minggu lepas aku balik kampung. Kebetulan ada ceramah kelompok yang
dijalankan oleh parti UMNO-BN. Aku pergi. Rumah sepupu aku juga. Dia memang
‘orang kuat ‘ UMNO-BN. Penuh juga ruang tamu rumahnya. Lebih kurang 50 orang.
Penceramah dari Kuala Lumpur. Orang besarlah tu. Pangkat besar sebab keretanya
pun besar. Tidak ada kereta semacam itu di kampung aku tu. Aku tahu.
Rata-rata pakai kereta Proton. Itu pun kalau pakai kereta. Rata-rata pakai
motorsikal saja.
“ Jikalau Pakatan Rakyat memerintah, dema ( mereka) nak mansuhkan
PTPTN, nak turunkan harga minyak, nak turunkan harga kereta……bankruplah
Malaysia….” antara isi ceramahnya. Aku agak perkataan ‘ bankrup’ diucapkannya
puluhan kali. Tetapi tidak dijelaskannya bagaimana boleh jadi bankrup. Mungkin
si penceramah pun tidak dapat menjelaskannya kerana kejahilannya tentang
perkara itu. Ataupun mungkin sipenceramah memikirkan bahawa sekiranya
diterangkan pun tak mungkinlah orang kampung aku tu faham apa yang
dicakapkannya. Mungkin dia ingat begitu. Dia tak ‘sedar’ bahawa sudah ramai
anak kampung aku yang memiliki ijazah Phd. Mungkin dia tak tahu!
Ceramah selesai pukul 11.00 malam. Tentulah ada makan. Bukan macam
ceramah Pakatan Rakyat. Jangankan tambang dan duit poket, makan pun tidak
dihidangkan. Mewah hidangannya. Dalam perjalanan pulang, ada yang bersungut,’
dia tak terangkan macam mana negara boleh bankrup. Minyak kita ada. Cukai
dikutip. Kroni dan rasuah kita kawal……..”
Atas alasan yang sebeginilah aku rasa Debat Najib-Anwar mesti diadakan.
Penjelasan kepada rakyat terbanyak. Sepatutunya dah berlaku dah Pusingan
Pertama. Dan sepatutnya kita menunggu Pusingan Kedua pula. Jikalau mengikut
cara Presidential Debate di USA begitulah. Tetapi nampaknya di Malaysia
pusingan pertama pun belum lagi.
Debat ini mesti diadakan. Itu baru betul yang Malaysia memang sebuah
negara demokrasi. Negara modern, bukan negara Dunia Ketiga. Pemimpin kita
sering melaungkan atau ‘terpekik-terlolong’ mengatakan yang negara kita adalah
negara maju dan bukan tergolong dalam kumpulan Dunia Ketiga. Kita yang kata.
Kita masuk bakul dan kemudian kita angkat sendiri.
Ada juga yang mempersoalkan, betul ke kita sudah tergolong dalam negara
maju itu?
Dari segi memenuhi keperluan sebagai sebuah negara demokrasi, aku rasa
bezanya negara kita dengan negara maju yang lain agak jauh bezanya. Sebagai
contoh kita lihat saja bagaimana kita menghadapi PRU 13. Jauh bezanya. Jikalau
di Parlimen British, aku dapat lihat David Cameron berdebat setiap hari dengan
ketua pembangkang Britain Edward Milliband, apabila parlimen bersidang. Setiap
masa. Maknanya tidak ada masa untuk Perdana Menteri berehat. Sentiasa berdebat.
Begitu juga lah dengan keadaan di USA apabila diadakan Presidential Debate
untuk memilih calon Presiden.
Tetapi di Malaysia, walaupun kita menganggap diri kita sudah tergolong
dalam negara maju, ramai yang mengatakan bahawa debat bukan budaya kita. Ini
memang aku tak faham. Debat tu perlu bagi Ketua parti Barisan Nasional dan
ketua Parti Pakatan Rakyat mengemukakan manifesto parti masing-masing. Ke mana
arah tuju negara yang hendak di bawa oleh mereka.
Memang betul kita sudah mendengar penjelasan DS Najib tentang manifesto
BN melalui Radio dan TV. Tetapi rakyat tidak diberikan peluang untuk mendengar
penjelasan daripada pihak Pakatan Rakyat untuk mengemukakan manifesto mereka
melalui TV. Ini sudah bertentangan dengan prinsip demokrasi yang sepatutnya
dilaksanakan oleh pemerintah negara maju. Rakyat mengatakan tidak adil. Dan
mungkin ramai rakyat yang simpati dengan Pakatan Rakyat dan lantas memihak
kepada mereka dan memberikan undi simpati. Mungkin……
Jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya ialah DS Najib terpaksa bertemu
dengan DS Anwar Ibrahim dalam satu majlis debat. Di situ nanti dapatlah
kedua-duanya menjelaskan kepada rakyat arah tuju negara yang hendak dibawa oleh
parti masing-masing. Dasar-dasar konkrit yang boleh membawa negara kita
mencapai Wawasan 2020. DS Najib boleh mengemukakan hujah mengapa rancangan
Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, menurunkan
harga minyak dan kereta dan berbagai-bagai lagi rancangan PR yang boleh
membankrupkan negara. Rakyat boleh dengar dan buat keputusan. Barulah orang
kampung aku juga faham betul-betul. Tidaklah pula mereka minta penjelasan
daripada aku setelah mereka pulang dari mendengar ceramah sebagaimana yang aku
ceritakan tadi.
Dan DS Anwar Ibrahim pula bolehlah menjelaskan bagaimana tindakan yang
akan dijalankan oleh Pakatan Rakyat pasti tidak membankrupkan negara tetapi
sebaliknya akan membahagiakan rakyat. Bolehlah beliau menjelaskan bahawa yang
sebenarnya yang membankrupkan negara adalah disebabkan pemerintah yang
bergelumang dengan kegiatan rasuah, mengamalkan kronisme, tidak mempedulikan
kebajikan rakyat, berbelanja ke atas perkara yang tidak sepatutnya.
Dan DS Nabib pula bolehlah menafikan atau pun menjelaskan keadaan yang
sebenarnya. Bukankah ‘cantik’ tu…….
2 Mei 2013
No comments:
Post a Comment