Selepas 55 tahun merdeka, barulah aku dapat lihat erti perpaduan
sebenarnya seperti yang dipamerkan oleh rakyat dalam perhimpunan ‘ Suara Rakyat
Suara Keramat ‘ yang diadakan di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei 2013. Memang
hebat. Bagi aku jumlah yang hadhir sememanggnya hebat tetapi kehadiran semua
kaum dalam suasana yang sedmikian memberikan lebih bermakna. Luar biasa
kesannya.
PRU 13 adalah ‘watershed’ dan juga merupakan ‘landmark’ dalam
sejarah Malaysia dari segi perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan yang wujud di
Malaysia kini bukan lagi‘ superficial’, dibuat-buat, dilakon-lakonkan oleh
pelakon-pelakon politik yang handal. Perpaduan yang wujud kini adalah perpaduan
rakyat dalam ertikata yang sebenarn-benarnya. Tulin. Hasrat yang datang dari
hati yang suci murni rakyat Malaysia.
Aku pun kadang-kadang hairan bagaimana keadaan sebegini boleh terjadi.
Dan tentunya aku gembira melihat keadaan dimana anak-anak muda berganding bahu,
menongkah kejayaan sebagai satu bangsa Malaysa. Bukanlah aku mahu menidakkan
usaha kerajaan yang berusaha ke arah perpaduan ini. Ada usaha yang
bersungguh-sungguh ke arah itu. Aku nampak. Tetapi kesan tidak seberapa.
Semacam tidak nampak perpaduan yang ikhlas. Berbanding dengan keadaan yang aku
lihat dengan mata kepala aku sendiri di Kelana Jaya.
Tentu ada juga yang mempertikaikan kenyataan aku. Tentu masih ada
lagi golongan yang merasakan negara ini Melayu yang punya dan kaum lain hanya
sebagai kaum yang menumpang. Masih ada lagi saki baki yang merasakan demikian,
walaupun yang berkata sedemikian itu hidup dalam keadaan miskin melarat dan
papa kedana berbanding dengan orang yang menumpang. Golongan sedemikian
sedemikian sentiasa ‘memujuk’ hatinya dengan mengatakan ‘ negara ini aku yang
punya’ walaupun kehidupanya hidup melarat.
Aku orang Melayu. Aku amat sedar dari kampung mana aku datang dan siapa
emak bapak aku. Orang Melayu tulin. Bukan Bangla, Bukan Indon. Bukan Nepalese.
Orang Melayu. Mungkin datuk nenek aku dulu orang asli yang kehidupannya
berpindah randah mencari sesuap pagi dan sesuap petang. Mungkin.
Bagi aku sekiranya orang Melayu mahu mengejar kemajuan seperti
kaum-kaum lain di Malaysia, orang Melayu mesti berganding bahu dengan kaum-kaum
lain. Bertanding dan berlumba dalam semua lapangan. Tentunya mengejar kemajuan
secara sihat. Tak perlu pertolongan daripada kerajaan. Tidak perlu ‘tongkat’
sebab kadang-kadang ada ‘tongkat’ yang membawa rebah, kata orang tua-tua.
Keyakinan aku kepada kebolehan orang Melayu adalah berdasarkan kepada
pemerhatian aku kepada keadaan-keadaan tertentu,
· Ramai orang Melayu yang
berjaya dalam berbagai lapangan dan hidup dengan senang lenang di luar negara.
Aku jumpa orang Melayu yang berjaya di Washington, Los Angeles, Melbourne, London.
Mengapa mereka boleh berjaya di negara orang yang tidak menyediakan DEB. Apakah
mereka mendapat bantuan daripada kerajaan-kerajaan negara berkenaan? Tidak.
Mereka berusaha sendiri dan berjaya. Itu yang dikatakan sebagai ‘ the survival
of the fittest’. Mungkin mereka sungguh-sungguh berpegang kepada falsafah Nabi
Muhammad s.a.w. yang menyarankan bahawa kita perlu berhijrah untuk
berjaya. Mungkin…..
· Kebolehan dan kejayaan
anak Melayu ( kampung ) pada zaman penjajahan selalu ‘menggamit’ apabila aku
mahu mengemukakan hujah dalam hal sebegini.. Mengapa ramai anak Melayu Kampung
( yang miskin ) pada zaman penjajahan mampu bersaing dengan anak kaum lain
dalam bidang pelajaran misalnya. Dan ada anak Melayu yang mendapat keputusan
cemerlang di University Cambridge pada ketika itu. Tahun-tahun 1950an.
Pakatan Rakyat ( PR ) telah dengan sengaja atau tidak sengaja telah
menyatukan rakyat Malaysia dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Mungkin tidak
terdetik di hati DS Anwar Ibrahim atau DS Haji Hadi atau YB Lim Kit Siang yang
PR yang dipimpin oleh mereka begini jadinya. Maksud aku rakyat Malasyia
betul-betul boleh bersatu hati, memperjuangkan sesuatu. Mungkin mereka tidak
terfikir begitu. Ataupun mungkin itu merupakan matlamat mereka.
Perhimpunan ‘ Suara Rakyat Suara Kera Keramat’ yang diadakan di Kelana
Jaya pada 8 Mei 2013 telah menelurkan apa yang dihasrat atau yang tidak
dihasratkan oleh pemimpin PKR. Bagi aku ia terjadi dengan sendirinya. Tidak
dirancang. Pemimpin PR pun aku rasa tidak terbayang yang keadaan rakyat
Malaysia begini jadinya. Perpaduan yang cukup mantap kearah memperjuangkan
sesuatu.
Dan orang Melayu yang hadir dalam perhimpunan dan yang telah membuat
‘kejutan’ dalam PRU 13 baru-baru ini telah seolah lupa bahawa mereka adalah
orang Melayu yang pada fikiran golongan yang befikiran lama ‘memiliki’ negara
ini. Namun golongan yang hadir ini telah membuat anjakan pemikiran yang
berlainan dengan pemikiran lama yang masih lagi menguasai pemikiran segelintir
orang Melayu di Malaysia.
Dan yang bukan Melayu yang hadir pula seolah-olah faham dengan
‘pengorbanan’ yang telah dibuat oleh orang Melayu (reformist) ini
demi kepentingan kemajuan bangsa Malaysia yang tulin. Justeru terjalinlah satu
kefahaman yang cukup mantap antara kaum-kaum di Malasyia. Satu keadaan yang
diimpikan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tan
Cheng Lock dan Sambanthan. Pastinya mereka amat gembiran melihatkan keadaan
perpaduan kaum yang sebegini.
Hendaknya janganlah ada batu penghalang yang cuba menyekat perkembangan
yang sihat ini. Hendaknya para pemimpin janganlah menggunakan isu kaum demi
untuk kepentingan politik masing-masing. Keputusan PRU 13 telah menelurkan satu
keadaan yang diluar jangkaan. Ramai yang tidak terfikir bahawa disebabkan
kegagalan PR membentuk kerajaan telah membawa kepada perpaduan yang cukup erat
antara kaum-kaum di Malasyia.
Pada pandangan aku majoriti rakyat Malaysia mahukan Pakatan Rakyat
menerajui pemerintahan negara ini berdasarkan undi popular yang diperolehi.
Namun sekiranya sudah menjadi ketentuan bahawa BN-UMNO masih menerajui
pemerintahan negara, maka harapan rakyat Malaysia tentunya agar BN-UMNO faham
tentang kehendak rakyat Malayisa kini. BN-UMNO hendaklah memikirkan sesuatu
yang terbaik untuk rakyat Malaysia sesuai dengan zaman dan aspirasi rakyat.
BN-UMNO semestinya harus bersedia untuk menukar paradigma.
10 Mei 2013
No comments:
Post a Comment