Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
AGAK menghairankan di sebalik prestasi buruk BN di bawah kepimpinannya, Najib Tun Razak masih mahu berlagak seperti seorang profesor politik serba tahu. Terbaru beliau mengatakan pemimpin pembangkang adalah hipokrat kerana enggan menerima keputusan PRU13.
Dalam konteks ini, tidak ada lebih tepat bagi mengulas kenyataan cetek Perdana Menteri yang pertama kali menjamah mandat pilihan raya umum (dibaca: tak semestinya mandat rakyat) setelah empat tahun memegang jawatan berkenaan melainkan maksud peribahasa Inggeris: "Apabila jari telunjuk dihalakan ke sesuatu pihak, empat jari lagi sebenarnya dihalakan pada diri sendiri."
Sepatutnya dengan keintelektualan politik cukup terbatas, Najib tidak perlu membuat kenyataan kebudak-budakan. Budak-budak apabila cuba mempertahankan kemenangan mereka dengan cara mengelat biasanya akan memberikan gelaran dan ejekan kepada pihak yang kalah. Sekiranya keintelektualan politik Najib lebih sedikit daripada tahap purata, banyak cara dan kenyataan yang lebih mencerminkan seorang berbudaya, berhemah dan paling penting seorang yang berjawatan Perdana Menteri.
Kalau dulu rakyat merasakan Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) adalah Perdana Menteri paling rendah daya keintektualannya kerana membuat kenyataan yang dangkal dan adakalanya kebudak-budakkan, rupa-rupanya Najib jauh lebih buruk. Mungkin pendidikan dan suasana dibesarkan dalam lingkaran agama yang kuat menghindarkan beliau daripada membuat kenyataan terbuka menghina pihak lain yang menjadi musuh politik beliau.
Selain daripada membuat kenyataan 'cakap tak serupa bikin' Najib nampaknya lebih gemar memberi label kepada musuh politik mereka sehingga umum merasakan beliau lebih mencerminkan pembangkang berbanding pembangkang sendiri. Bertolak kepada slogan 'Kepimpinan Malalui Teladan' yang dipopular oleh Dr Mahathir Mohamad (orang yang instrumental meletak Najib selaku Timbalan Perdana Menteri dan bertepatan dengan tradisi Umno akhirnya menjadi Perdana Menteri), maka ramai lagi pemimpin Umno dan juga pemimpin parti komponen BN lain gemar menggunakan bahasa dan perkataan kesat apabila berhadapan dengan pembangkang, sama ada di Parlimen atau di mana-mana sahaja.
Apapun, untuk seketika, kita lupakan perihal kontradiksi nyata bagaimana sebuah parti Melayu yang kononnya berjuang untuk memelihara tata-susila Melayu boleh tersasar jauh sehingga bercakap dalam nada barbarik atau gasar walaupun secara halus. Andai kata kita teruskan juga perbincangan ini, kita nanti, tidak boleh tidak akan teringat pula ungakapan popular kini: "A wise monkey never monkeys with another monkeys' monkeys" (terjemahan literal: 'Seekor monyet bijak tidak akan bermonyetan dengan monyet milik monyek lain.')
Maksud ungkapan ini ialah 'hanya orang yang bodoh sahaja akan menuduh orang lain sedangkan dia tahu dia sudah sebenarnya tewas'.
Setelah puas memberikan berbagai-bagai helah dan alasan, nampaknya Najib dan pemimpin Umno masih belum merasa cukup dengan usaha mereka memperbodohkan rakyat. Mereka mahu rakyat Malaysia menerima hakikat betapa 47% menghasilkan 133 kerusi Parlimen maka, oleh itu, 52% bermakna 89 kerusi Parlimen.
Tentu sekali hanya orang yang terencat akal politiknya sahaja yang mampu mempertahankan keputusan seperti ini. Manusia biasa yang tahu serba sedikit tentang prinsip demokrasi pula akan bertanya: ‘Jenis demokrasi apakah ini?’
Jawapannya tentulah ‘demokrasi ciptaan Umno-BN’.
Najib sendiri mengata dan mempertahankan kononnya dalam sistem demokrasi berparlimen jumlah undi popular tidaklah begitu penting. Tidaklah diketahui daripada buku mana dan daripada pengarang mana Najib memetik ayat seperti itu.
Namun, majalah The Economist, diterbitkan di United Kindom, negara paling lama mengamalkan sistem demokrasi berparlimen menyangkal teori demokrasi berparlimen Najib Tun Razak.
Menurut malah tersebut edisi 11 Mei 2013 (terjemahan daripada edisi bercetak): ‘Barisan Nasional kelebihan bikinan-dalam besar. Kawasan pilihan raya yang telah dipersempanankan semula bermakna dengan kurang daripada 47% undi popular, prestasi pilihan raya umum paling buruk dalam sejarah, parti tersebut masih memenangi 60% daripada 222 kerusi Parlimen. Kerajaan (BN) telah menggunakan wang dan lain-lain habuan, ramai daripada kakitangan kerajaan digunakan sebagai alat-politik parti, Suruhanjaya Pilihan Raya sudah dengan begitu lama menafikan sebarang amalan menyalahi undang-undang. Dengan dibantu dengan media arus perdana yang berat sebelah, agak pelik betapa ramai tukang kempen BN masih merasakan keperluan membeli undi.’
Namun siapa dan pihak mana sekalipun yang mempertikaikan keputusan PRU13, Najib dan pemimpin Umno-BN tetap akan mengeluarkan fatwa politik dan teori demokrasi mereka sendiri. Baik Najib dan sesiapa sahaja tidak akan mahu mengaku tidak pandai memeritah negara sedangkan segala bukit menunjukkan hal bertentangan.
No comments:
Post a Comment