DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Tuesday, May 7, 2013

MENANG KURANG BERGAYA BAGI BN

Oleh : SHAHARUL SHAFIE (MK)

ULASAN Pada jam 1 pagi, selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU) diketahui, kita boleh lihat rupa Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak seakan sedih dan lesu apabila hanya berjaya memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Dalam fikirannya, penulis merasakan beliau mungkin sedih dengan kemenangan berkenaan yang nampak tidaklah memberangsangkan. Ini adalah keputusan PRU terburuk BN atau Perikatan (sebelum 1969) yang pernah dicapai sejak merdeka.


Hakikatnya, Najib mungkin juga sukar menerima kemenangan ala kadar itu berlaku kerana sudah banyak perkara yang dilakukan oleh jentera beliau demi ‘membeli' undi rakyat Malaysia.

Jika diterjemahkan kepada jumlah nilai wang ringgit yang telah dibelanjakan sebelum dan semasa PRU maka jumlahnya pasti mencapai jutaan ringgit.
BN berbelanja dengan menyewa ruang iklan dalam laman web termasuklah dalam laman web yang dilihat pro-Pakatan Rakyat (PR), kempen iklan dalam media massa serta menaikkan papan tanda besar-besaran di sepanjang jalan dan lebuh raya utama di negara ini.

Nampaknya ‘pelaburan' bernilai jutaan ringgit tersebut tidaklah memberikan hasil yang dijangkakan sama sekali.

Malah, penyusutan jumlah kerusi Parlimen yang pernah dikuasai selepas PRU 2008 iaitu 140 kerusi ke 133 kerusi dan bagi DUN (kecuali Sarawak) pula menyaksikan penurunan banyak dari 307 kerusi ke 275 kerusi, sekali gus menampakkan pelaburan ini tidaklah berbaloi.
Yang merugikan kerajaan BN juga apabila terlepas dengan lebih teruk negeri-negeri maju iaitu Selangor dan Pulau Pinang, yang rakyatnya memilih memberi peluang sekali lagi kepada Pakatan Rakyat memberikan khidmatnya.

Di Selangor, BN hilang lapan kerusi DUN dirampas oleh PAS dan DAP. Dalam lain perkataan, Pakatan berjaya membentuk kerajaan negeri yang mempunyai majoriti 2/3 di kedua-dua negeri itu.

Meskipun begitu, BN berjaya menawan Kedah tetapi tanpa menguasai 2/3 majoriti. Malah, keadaan juga berakhir getir buat BN apabila Perak dan Terengganu menyaksikan perkongsian kerusi DUN nampak seimbang yang tiada satu parti pun berjaya menguasai 2/3 kerusi.
Najib sebagai pengerusi BN terjejas
Kedudukan Najib sendiri amat kritikal kerana beliau kini dilabel sebagai Perdana Menteri yang memimpin jentera parti yang mencapai keputusan terburuk, malah kehilangan penguasaan undi popular seluruh negara.

SPR memaklumkan BN memperoleh 5.2 juta undi popular manakala lawannya Pakatan mendapat 5.5 juta undi popular. PR mempunyai lebih penyokongnya di Malaysia dibandingkan dengan BN kali ini.

Namun yang menjadi lumrah kuasa di Malaysia adalah berpaksi pada parti yang memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan.

Sememangnya tidak dapat dielakkan bahawa jumlah komposisi pengundi dalam sesebuah kerusi Parlimen tidak dapat dipertikaikan tetapi jelas nampak bahawa wujudnya keadaan tidak setara.

Bayangkan di Selangor sahaja ,contohnya kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi BN mempunyai pengundi seramai 37,390 orang tetapi diberikan sama tarafnya dengan kerusi Parlimen Selayang yang dimenangi Pakatan yang mempunyai tiga kali lebih ramai pengundi iaitu 106,055 orang.

Keadaan beginilah yang menjadi pertikaian tetapi apa boleh buat sudah semuanya ditentukan sedemikian rupa oleh pemerintah.
Menjadi persoalannya, adakah Umno yang kini menjadi tonggak kepada BN apabila menguasai 103 kerusi dari 133 akan terus memberi wala (kesetiaan) kepada Najib untuk terus memimpin parti?

Adakah Umno perlu melalui lagi saat getir berkemungkinan berlakunya perpecahan dan perebutan kuasa di dalam parti sekiranya Najib berundur memberi laluan kepada pertandingan?

Namun begitu, menjadi langkah bijak untuk Najib berundur diri dalam masa terdekat dan menyerahkan kepada parti untuk memilih kumpulan pemimpin yang baru bagi membawa Umno ke arah yang lebih popular.

Lima tahun akan datang pasti berlalu begitu sahaja dan Umno tidak mempunyai masa yang lama untuk mengawal dan mendamaikan perpecahan di dalam parti sebelum menghadapi PRU ke-14.
Tsunami ‘Cina' tidak cerminkan segalanya
Walaupun begitu, tindakan menghuraikan keputusan PRU ke-13 sebagai ‘tsunami' pengundi Cina adalah tidak tepat sama sekali.

Namun begitu, tidak dinafikan pengundi Cina memang sudah menolak komponen-komponen parti Cina dalam BN seperti MCA, Gerakan, SUPP (Sarawak) dan LDP (Sabah).

Tetapi jangan lupa pengundi Melayu bandar dan subbandar juga menyokong Pakatan. Contoh mudah ialah apabila PAS Selangor berjaya menambah tujuh kerusi DUN, menjadikannya kesemua 15 DUN di Selangor.

Kawasan-kawasan baru ini bermajoriti pengundi Melayu di antara 52 hingga 65 peratus dari jumlah pengundi. Oleh itu, faktor tsunami politik ‘Cina' tidak boleh dipakai langsung di kawasan ini.

Bukan itu sahaja, PAS Terengganu yang berjaya ‘hampir' membentuk kerajaan negeri juga pastinya memerlukan undi pengundi Melayu untuk mencapai kedudukan tersebut.

PAS Terengganu kali ini memenangi 15 kerusi DUN Terengganu (termasuk satu dimenangi calon PKR) manakala BN Terengganu pula mendapat 17 kerusi DUN.

Ini membuktikan lagi bahawa tsunami Cina tidak relevan sama sekali kerana pengundi bukan Melayu di negeri Terengganu tidak sampai pun 5 peratus.
Kajian menyeluruh perlu dilakukan dan tidak sekadar menyalahkan pengundi Cina yang memberi kemenangan kepada Pakatan.

Selagi kerusi-kerusi Melayu masih lagi dimenangi Umno maka amat sukarlah PAS dan PKR untuk memperoleh majoriti dalam Pakatan.

DAP tidak wajar disalahkan oleh penyokong Pakatan Melayu kerana sebagai parti yang masih dilihat mewakili bangsa Cina dan India apabila menang 38 kerusi Parlimen.

DAP hanya berjaya memperoleh 70 peratus kemenangan di 55 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Malah, dua pemenang Parlimen untuk DAP juga adalah dua calon Islam yang masing-masing di kerusi Bukit Bendera, Pulau Pinang dan kerusi Raub, Pahang.
Umno tidak lagi mempunyai banyak masa untuk berehat walaupun menang tidak bergaya kali ini.

Strategi-strateginya sebelum ini seperti membiarkan persepsi umum mengenai perkaitannya dengan pertubuhan ultra Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Kebangsaan (PERKASA) dan membiarkan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bercakap sesuka hatinya.

Ia sebaliknya perlulah dikawal demi menarik kembali sokongan pengundi Cina dan muda di bandar.

Dalam usaha transformasi Najib sebelum ini, umum melihat BN hanya memperjuangkan atau membantu golongan luar bandar dan gagal melihat kepada keperluan hidup pengundi di bandar terutamanya di bandar-bandar besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

BN perlu sedar pengundi bandar tidak berkongsi sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh sesetengah pemimpin BN sendiri apabila berkempen.

Bagi mereka, periuk nasi dan taraf kehidupan mereka memainkan peranan mereka untuk memilih parti yang disokong.

Bukan itu sahaja, faktor media sosial dan sikap BN yang mengawal media massa sepenuhnya terus membuatkan para pengundi geram kerana kesal BN terus mendakwa Malaysia ini bebas dan demokrasi tetapi mempertahankan penggunaan media massa tempatan sebagai haknya sahaja.
Keperluan transformasi dalaman BN
Bukan sahaja BN patut menumpukan pada transformasi nasional tetapi yang paling penting ialah BN perlu melakukan muhasabah atau dalam bahasa sosialnya ialah transformasi dalaman.

Masa bakal berlalu dengan cepat sebelum PRU ke-14 dan BN perlu memulakan transformasi imej, doktrin, ketelusan pengurusan wang dan organisasi untuk mendapatkan sokongan semula.

Jika PRU ke-12 dan PRU ke-13 terus menunjukkan penyusutan kerusi dan undi popular pada BN maka tidak mustahil untuk trend berkenaan berterusan di masa hadapan yang boleh menghumbankan mereka terus dari puncak kuasa.

Oleh itu, BN kenalah anggap situasi sekarang hanya sebagai talian hayat atau satu lagi peluang (yang mungkin juga terakhir) untuk memerintah dan berubah sepenuhnya jika mahu terus relevan di masa hadapan.
Bagi Pakatan, terimalah keputusan dalam PRU-13 tidak kiralah apa dakwaan ke atas ketelusan SPR demi keharmonian negara.

Pakatan perlulah berfikiran positif kerana mereka sememangnya masih menang tetapi belum cukup sahaja untuk berkuasa.

Usahlah turun berdemonstrasi buat masa sekarang tetapi merancang semula pelan kempen mereka terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Pakatan kena akur tanpa sokongan kuat rakyat Sabah dan Sarawak, cita-cita ke Putrajaya tidak akan tercapai.

Apa yang boleh diteruskan sekarang ialah memperbaiki permuafakatan sesama komponen Pakatan dan berusaha agar menjadikan satu barisan parti dikenali sebagai Pakatan Rakyat didaftarkan secara rasmi menjelang PRU akan datang.
Selain itu, berhentilah mendendami dan membuli Pakatan seperti yang dilakukan sepanjang lima tahun lalu kerana rakyat menilai setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh pemimpin BN sebagai bermotif politik.

BN dan Pakatan perlulah bertoleransi di antara satu-sama lain serta bersepakat sekali-sekala di dalam perkara-perkara yang menjamin kepentingan masa hadapan negara kita.

Sekiranya Najib sedar akan keperluan untuk penyatuan nasional, usahlah syarat-syarat untuk ke arah itu merupakan syarat-syarat diletakkan oleh BN sahaja tetapi mengambil kira kepentingan rakyat dan memerlukan buah fikiran parti lawan.

Dalam berbuat apa-apa untuk negara, BN kena sedar sekali lagi bahawa partinya tidak lagi memiliki majoriti undi popular dan ini bukan saya yang cakap tetapi SPR sendiri sudah maklumkan pada umum.

BN hanya beruntung kerana menang paling banyak kerusi di Dewan Rakyat sahaja.

No comments: