Aku terpaksa menyatakan pendapat aku secara berterus terang. Kerajaan BN-UMNO kini seolah-olah tidak disukai oleh majoriti rakyat Malaysia. Maksud aku ‘ majority’. Masih ramai juga yang suka. Yang memangkah BN_UMNO aku kira rakyat suka apa yang dilakukan oleh pemerintah. Namun bagi mereka yang memangkah ‘dacing’ ( BN-UMNO ) mungkin tidak tahu apakah tujuan mereka memangkah ‘dacing’ berkenaan, berbanding dengan kumpulan yang menyokong Pakatan Rakyat. Maksudnya yang menyokong PR itu adalah terdiri dari golongan yang faham apa yang yang mereka pangkah dan yang mereka sokong. Bukan menyokong membuta tuli.
Berasaskan beberapa keadaan kini, amat meyakinkan aku dan pihak kerajaan juga ( mungkin!) bahawa ada sesuatu yang tak kena di hati rakyat yang menyebabkan rakyat bertindak demikian. Aku tidak mahu menyebut perkataan ‘ membenci kerajaan’ kerana amat tidak elok dan tidak manis mengatakan sedemikian. Tetapi pada hakikatnya ramai rakyat sudah perperasaan sedemikian.
Keadaan sedemikian tentunya merunsingkan banyak pihak. Bukan sahaja DS Najib yang mengemudikan negara ini tetapi orang tua-tua macam aku juga amat bimbang dengan perkembangan serupa ini. sebab belum pernah lagi dilihat keadaan perkembangan sedemikian.
Amat tidak kena sekiranya pihak kerajaan hanya mendiamkan diri dengan beberapa sungutan yang disuarakan oleh rakyat terbanyak. Kerajaan tidak seharusnya menutup telinga dan mengandaikan tidak ada apa-apa yang berlaku di peringkat bawahan. Bagi aku ketidakpuasan hati ini bukan sahaja berlaku diperingkat masyarakat bawahan tetapi telah menular ke peringkat golongan atasan. ‘Forum’ yang paling sesuai untuk meninjau pendapat rakyat tentang sesuatu perkara mengenai ketidakpuasan terhadap sikap pemerintah adalah di majlis-majlis khenduri atau di majlis-majlis seumpamanya – majlis tidak formal. Inilah ‘forum’ tempat kebanyakan mereka meluahkan perasaan dan kemarahan.
Yang anihnya, apakah pihak kerajaan atau pihak-pihak tertentu tidak tahu dan faham akan keadaan ini. Mereka tidak peka yang rakyat sedang marah. Keadaan sebegini menyebabkan aku bingung….
Mengapakah pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih memekakkan telinga dan masih berdiam diri dengan sungutan dan tempelakan yang berbagai-bagai dilemparkan terhadapnya. Tidak ada sebarang reaksi yang positif dari SPR dalam hal ini. Sudah enam kali (Kelana Jaya, Batu Kawan, Ipoh, Kuantan, Johor Baharu, Seremban ) perhimpunan raksaksa ( Black 505) yang dihadiri oleh puluhan, malah ratusan ribu rakyat diadakan.
SPR kena faham bahawa perhimpunan sedemikian bukan pesta seronok-seronok. Mereka yang datang ke perhimpunan itu adalah untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap SPR. Dan SPR kena bersemuka dengan wakil Pakatan Rakyat, menjelaskan apa yang berlaku. Ini itu saja cara yang boleh SPR laku untuk menolong kerajaan meredakan kemarahan rakyat.
Kenyataan YB Zahid Hamidi yang menyarankan agar rakyat yang tidak bersetuju dengan keputusan PRU 13 berpindah ke negara-negara yang bersesuaian untuk mereka, menambahkan kemarahan rakyat. Rakyat dari semua kaum betul-betul marah.
Sebelum itu telah ada juga saranan dari beberapa NGO agar memulaukan syarikat-syarikat yang membantu PR dari segi kewangan dalam PRU 13 yang lalu. Ini kenyataan yang tidak berapa cerdik yang menyebabkan rakyat marah. Pihak kerajaan juga yang dipersalahkan.
Rakyat mula merasa ‘kecil hati’ dengan kepimpinan kerajaan apabila ramai pemimpin kerajaan yang menyalahkan kononya kaum Cina yang bertanggungjawab memenangkan PR ( DAP ) dalam PRU 13 yang lalu. Keadaan demikian ditempelak sebagai ‘ Tsunami Cina’. Keadaan bertambah ‘panas’ apabila ada pulak pihak-pihak yang mengatakan bahawa kaum Cina ‘mengkhianati’ negara dengan cara mengundi PR pada PRU 13.
Aku fikir sudah sampai masanya pihak tertentu, samada pihak pihak kerajaan ataupun agensi-agensi kerajaan memberhentikan kenyataan-kenyataan yang boleh mengguris dan mengecilkan hati kaum-kaum tertentu, samada Melayu, Cina, India atau kaum-kaum lain di negara ini. Tidak ada gunanya. Hanya memecahbelahkan masyarakat sahaja. Rakyat sedang memerhatikan tindakan yang boleh dilakukan oleh ahli kabinet baru yang dilantik.
Orang tua-tua selalu mengatakan bahawa ‘ api’ lawannya ‘air’. Maknanya kerajaan sudah sepatutnya sedar bahawa sebahagian besar rakyat, terutama yang berada di bandar-bandar sudah tidak ada keyakinan kepada kerajaan yang ada maka sudah sewajarnyalah kerajaan memikirkan langkah-langkah perlu untuk ‘ membaiki dimana yang rosak’. Kabinet baru DS Najib seharusnya mencari jalan bagaimanakah cara yang sebai-baik untuk dilaksanakan bagi ‘ mengambil hati’ rakyat yang hilang keyakinan itu.
Apa salahnya kerajaan membentuk satu ‘task force’ bagi mengkaji segala ketidakpuasan yang disuarakan oleh rakyat itu. Dan kerajaan juga harus mengakui eksalahan dan kesilapan sendiri. Dan yang paling penting rakyat mesti NAMPAK segala usaha murni yang dilaksanakan oleh kerajaan itu. Dan MEYAKINKAN RAKYAT bahawa sebenarnya kerajaan sedang berusaha ke arah memulihkan keadaan itu. Hanya mengambil sedikit masa untuk menyudahkannya.
Aku fikir mesti boleh dilaksanakan. Aku yakin boleh. Setiap ahli kabinet yang dilantik semestinya meletakkan agenda ‘mengambil hati rakyat’ sebagai agenda utama. Setiap ahli kabinet seharusnya tidak boleh ‘duduk diam’. Mesti memikirkan apakah projek-projek yang boleh dilakukan yang bersesuaian dengan konsep ‘ mengambil hati rakyat’ tanpa mengira kaum, keturunan, kefahaman parti dan sebagainya. Kenyataan seperti ‘ mementingkan orang BN-UMNO’ dalam pemberian projek adalah satu kenyataann dari pemimpin yang amat tidak cerdik.
Tindakan dua orang menteri muda yang baru dilantik, YB Khairy Jamaluddin dan YB Abdul Rahman Dahlan tentunya sedang diperhatikan oleh rakyat terbanyak khususnya golongan muda. Dua orang tokoh muda ini seharusnya menunjukkan suatu contoh dan kebolehan yang luar biasa bagi meyakinkan orang muda dan orang tua ( seperti aku) yang mereka mampu menangani masalah negara dan akan menerajuinya pada suatu masa akan datang. Tindakan dua orang muda seharusnya innovative dan creative. Tidak sepatutnya tindakan mereka menerajui kementerian yang dipertanggungjawabkan kepada mereka itu hanya sebagai pak turut atau hanya mengikut landasan sepertimana yang telah ada. Menteri orang muda seharusnya melepaskan pautan daripada ‘traditional assumption’ kepada sesuatu yang lebih innovative agar negara kita maju terserlah di persada dunia.
Saudara-saudara seharusnya jangan berada ‘ditakuk lama’ lagi.
19 Mei 2013
No comments:
Post a Comment