‘Rumah siap pahat mula berbunyi’.
Masing-masing menyalahkan pihak lain kerana kegagalan dan kekurangan sokongan.
BN kecewa kerana hampir kalah dalam pilihanraya ini dengan mendapat jumlah
kerusi yang jauh kurang dari PRU ke12 yang lalu. BN menyalahkan orang Cina
kerana kekalahan banyak kerusi BN di seluruh negara.
Pakatan Rakyat menyalahkan pihak
kerajaan kerana penipuan yang berlaku dalam pilihanraya yang baru selesai ini.
Pihak Pakatan menuduh kerajaan kerana manipulasi yang merata di dalam pemilihan
dua hari lepas.
BN dikatakan telah memberi ruang
kepada pendatang asing untuk mengundi dengan cara haram dan dilakukan secara
sitematik. Bagi saya ini sudah berlaku dalam banyak pilihanraya-pilihanraya
yang lepas. Isu ini merupakan isu lama tetapi akhir-akhir ini menjadi isu besar
kerana rata-rata rakyat mahukan perubahan.
Tentulah pihak Pakatan tidak bersetuju
dengan tindakan songsang pihak yang melakukan kesalahan ini kerana mereka sudah
menghampiri kuasa yang mereka perlu untuk melanjutkan usaha ke arah perubahan
ini.
BN pula tidak begitu suka kerana
hasil gerakan rakyat itu telah hampir melumpuhkan BN dengan kemenangan tipis
walaupun dengan tindakan memanipulasi undi dan pemilihan rakyat itu. BN menuduh
yang mereka hampir kalah di mana-mana kerana ‘tsunami Cina’ yang saya anggap sebagai satu tuduhan yang sangat
buruk. Ia tidak perlu dijadikan isu.
Jika benar sekali pun kali ini Cina
menolak BN, di mana letaknya kesalahan orang Cina itu. Ini demokrasi. ‘Be free
to choose anyone and it’s not an offence’. Selagi ia tidak bertentangan dengan
undang-undang dan perlembagaan tidak ada siapa yang boleh menuduh sesuatu kaum
itu jika tindakan mereka melemahkan pihak kita.
Kenapa hendak marah dengan kaum Cina
semata-mata mereka memilih pembangkang? Tidakkah kita ingat selama ini kaum
Cina telah memberikan sokongan kepada BN? Malahan kaum Cina juga merupakan kaum
yang bersama-sama memainkan peranan untuk melengkapkan pencapaian kemerdekaan
kita. Pencapaian kemerdekaan negara bukannya hanya dilengkapkan oleh orang
Melayu, kaum Cina dan India pun memainkan peranan mereka yang tidak kurang
besarnya.
Tetapi saya tidak juga menyalahkan
kenapa UMNO memainkan isu kaum Cina tidak patriotik ini, kerana UMNO
sememangnya membudayakan menyalahkan pihak lain diatas segala kegagalannya.
Tetapi perubahan kaum Cina ini bukannya tidak bersebab. Mereka bukan suka-suka
untuk menolak BN yang selama puluhan tahun mereka sokong. Hanya baru-baru ini
sahaja kaum Cina memberikan sepenuh sokongan kepada DAP dan tindakan itu ada
sebabnya.
BN patut bertanya kepada mereka
sendiri kenapa BN ditolak oleh kaum Cina dan sebahagian kaum Melayu dan India?
Kenapa ia berlaku? Jika UMNO dengan cara terbuka memainkan isu perkauman dan
menakut-nakutkan orang Melayu kenapa pimpinan UMNO pula menyebut tentang isu
rasis ini apabila orang Cina bersatu di belakang DAP?
Apa kah hanya UMNO sahaja mempunyai
kekebalan memainkan isu perkauman itu dan DAP tidak boleh di sokong oleh kaum
Cina? Memainkan isu rasis merupakan tindakan yang sangat buruk kerana ia tidak
akan menyelesaikan masalah sampai bila-bila. Saya sendiri menjadi mangsa mereka
yang rasis dengan menuduh saya sebagai orang yang anti Islam, anti-melayu,
penderhaka kepada bangsa dan berbagai-bagai lagi tuduhan apabila saya menyertai
DAP.
Saya bukan mengatakan sesiapa,
tetapi saya sendiri mengalami asakan permainan isu perkauman setelah saya menyertai
DAP. Apa yang berlaku keatas diri saya itu adalah ‘real’ dan saya galas segala
bebanan itu sendirian. Saya teguh dengan pendirian yang menyertai DAP itu tidak
mengurangkan Melayu saya dan akidah saya. Saya tetap Melayu dan saya tetap
malah lebih teguh lagi untuk menyembah Tuhan yang satu itu.
Tetapi dalam politik kezaliman
seperti ini terpaksa saya lalui kerana ia tidak merendahkan diri saya dan ia
tidak merosakan akidah saya. Saya tetap bertawajjuh dan bertawassul kehadirat
Allah swt. Saya tahu ikan yang hidup dilautan itu tidak akan masin walaupun
dalam suasana masin dilautan yang dalam itu. Apa lagi tuduhan ini datangnya
dari mereka yang masih ‘kencing bercabang’ dan tidk perlu mendapat respon dari
saya.
Oleh yang demikian saya amat keliru
dengan tindakan pihak yang menuduh kaum Cina menyebabkan kejatuhan sokongan
terhadap BN. Jika benar pun apa yang di tuduh itu apa yang menjadi masalahnya.
Kenapa semasa kaum Cina berduyun-duyun menyokong BN dulu tidak diingati?
Tidak ada siapa yang menolak
perpaduan kerana setiap kaum telah merasakan kesusahan berpecah-pecah diantara
kaum ini. Itu sebab saya sambut dengan gembira kenyataan Najib untuk
melaksanakan ‘national reconciliation’ itu dan diharapkan PM Najib tidak
menukar gol lagi kali ini.
Bagi diri yang tidak ada apa-apa
ini, saya akan menyokong sesiapa sahaja yang mahu melakukan kerja yang baik ini
apatah lagi kerja memadukan perhubungan kaum ini adalah ‘ultimate’ kepada
perjuangan rakyat yang insaf dan sedar.
Saya sangat berharap jangan dipanjangkan
isu tuduh menuduh ini jika kita benar-benar hendak mencapai matlamat perpaduan
kaum itu. Apabila kita kekurangan sokongan buat introspeksi kenapa kita tidak
di sokong oleh mana-mana pihak?
Jika didapati isu perkauman menjadi
punca kekurangan sokongan kepada kita, elok bertanya pada diri kita sendiri,
samada kita sendiri memainkan isu perkauman itu? Tidak perlu mengakui secara
terbuka. Akui kepada diri sendiri sudah mencukupi.
Selepas itu perbaiki diri sendiri.
No comments:
Post a Comment