Pasca PRU13, sudah sembilan himpunan
#Blackout505 dan satu himpunan #SuaraRakyat505 berlangsung. Samada ia punyai
kesinambungan atau tidak, bukanlah perkara pokok kerna ianya adalah himpunan
pergi dan balik. Himpunan hebat ini menyaksikan rakyat dan pemimpin saling
bersuara, saling berlaung, hebat bergema!
Tetapi ke mana gemanya suara dan
laungan ini? Apakah ke bukit?
Saya percaya rakyat hari ini
seharusnya sudah mendapat kelegaan yang optima sekiranya demokrasi dalam
pilihanraya 5 Mei berjalan dengan baik. Pakatan Rakyat menang PRU-13 menjadikan
harga minyak turun keesokkan harinya dan harga tol mansuh berperingkat
sekaligus menyebabkan harga barang dan harga perkhidmatan berkurangan. Barangan
keperluan asas khususnya akan jauh lebih murah apabila monopoli kroni mula
dipecahkan. Rasuah, penyelewengan, ketirisan wang negara dapat dipatahkan. Apa
lagi yang rakyat mahu? Inilah yang rakyat pilih.
Barisan Nasional tidak menang PRU13.
Mereka tidak layak membentuk kerajaan dan Najib seorang PM yang tidak punya
mandat majoriti rakyat. Saya katakan BN tidak menang kerana dalam keadaan
menipu, dalam keadaan dibantu oleh semua agensi kerajaan khususnya SPR, dibantu
'papan' siaran telivisyen yang sampai masuk ke setiap rumah, dibantu oleh dana
berpuluh bilion, dalam keadaan semua ini pun mereka hanya mampu perolehi 46%
undi popular. Menipu pun kalah, bagaimana jika tidak menipu.
Akhirnya penipuan pilihanraya 5 Mei
menjadi agenda paling besar dan hangat. Ia diakui oleh semua parti politik
Pakatan Rakyat. Rakyat bangkit dengan amarah dan telah dibuktikan amarah ini
dalam sepuluh perhimpunan #Black505 di seluruh negara. Dalam masa yang sama,
rakyat berpaut kepada parti dan kata-kata pemimpin yang berjanji bahawa rakyat
adalah tuan dan negara perlu diselamatkan. Jangan lupa, inilah kata-kata
keramat sebelum pilihanraya.
Ketika negara gagal diselamatkan dek
kerana penipuan pilihanraya, kerana demokrasi yang digelapkan dan kemenangan
yang telah dicuri dalam silap mata blackout. Ketika itu juga
sayup-sayup berbunyi saranan kepada rakyat agar jangan gopoh, sayup berbunyi
memberi nasihat agar bersabar, terus menyusun gerakan untuk 5 tahun lagi.
Apakah mereka lupa kemenangan dan keselesaan rakyat hari ini telah dirampas
pada tengah malam 5 Mei maka pemimpin BN dan kroni terus dibiarkan bermewah dan
terus mengaut kekayaan?
Rakyat mula tertekan menghadapi
kenaikkan harga barang secara senyap, perlaksanaan GST digerak secara
sorok-sorok dan tidak lama lagi AES mula mengambil tempat seterusnya menjadikan
jalanraya sebagai pusat 'penyembelihan' yang baru. Inilah nasib rakyat Malaysia
- mereka bukan bodoh, mereka cuma ditipu.
Saya percaya lebih 60% pengundi
sebenar memilih Pakatan Rakyat tetapi penipuan dalam bentuk pengundian lebih
dari sekali menjadikan peratusan itu merundum kepada 51% - di sinilah gunanya
dakwat kekal yang tidak kekal maka BN menang dengan penipuan terancang.
Pengundi CIMB (Cambodia, Indonesia,
Myanmar & Bangla) adalah taktik diversion atau mengalih
perhatian, ketika penipuan sebenar ialah pengundian lebih sekali khususnya 278
ribu pengundi awal dan pos yang terdedah manipulasi penipuan apabila telah
hilang dakwat di jari. Juga lambakkan kertas undi di akhir sesi pengiraan yang
membolehkan BN menang tipis di banyak kerusi parlimen di saat akhir.
Seperti yang saya katakan tadi,
penipuan dan kecurangan ini telah diakui oleh Pakatan Rakyat malah keputusan
PRU13 juga tidak diterima secara sebulat suara - ini sudah bagus. Persoalannya,
demi rakyat, apakah PR sedia bersama rakyat walaupun rakyat memilih untuk turun
ke jalanraya?
Sebelum PRU13, kamu (Pakatan Rakyat)
jangka akan ditipu sehabisnya, kamu bersama rakyat dalam BERSIH 3.0, malah kamu
bersama anjurkan KL112 ketika kamu sangka kamu akan kalah sehabisnya akibat
penipuan SPR untuk kekalkan BN. Namun bila kamu kekal beberapa negeri dan
mempunyai lebih ramai YB di atas pertambahan kerusi parlimen, apakah pendirian
bersama rakyat itu sudah berubah (apabila keadaan sudah selamat)? Apakah harus
redho hanya kerana kelemahan kita tidak berjaya melepaskan diri dari tipu helah
Barisan Nasional?
BN adalah penipu yang baik yakni
penipu yang bijak menipu. BN hanya perlu menipu untuk menang walaupun dengan
majoriti beberapa kerusi parlimen. Jika BN menang semua, pasti huru-hara,
mungkin ketika itu ungkapan 'sabar' tiada dalam perkiraan.
Jadi bagaimana sekarang? Rakyat kini
belum selamat sepertimana negeri Selangor, P.Pinang dan Kelantan yang dikira
sudah selamat. Jika setuju bahawa rakyat dan negara ini perlu diselamatkan, di
manakah pendirian Pakatan Rakyat? Bersama rakyat atau bermain selamat?
Kesempatan ini juga saya ucap
tahniah dan salut buat imam jalanraya sejati - Tn Haji Mat Sabu kerana beliau
satu-satunya pemimpin utama parti yang berani menyebut betapa perlunya Dataran
Merdeka itu ditawan oleh rakyat sebagai simbol menegakkan demokrasi yang
digelapkan. Nampaknya Abang Mat tidak peduli nasibnya dalam muktamar pemilihan
nanti. Selebihnya pemimpin yang mendapat perhatian rakyat seperti che'GuBard
dan Rafizi Ramli juga telah menyatakan bahawa jalanraya adalah jawapan untuk
menyentap keegoan regim. Saya salut pemimpin ini.
Begitu juga dengan Dato' Ambiga yang
secara terbuka mendesak SPR meletak jawatan. Jelaslah Dato Ambiga ada masanya
jauh lebih berani daripada Hishamuddin Rais atau Tukar Tiub. Saya nasihatkan
kepada Isham Rais supaya teruslah menghilangkan diri sampai bila-bila. Ramai
lagi pemimpin yang bersama gerakan rakyat yang tidak sempat untuk saya sebutkan
di sini. Saya yakin semuanya hebat dan terus istiqomah.
Saya dengan ini mendesak kepada
semua parti politik pro-rakyat agar menyatakan pendirian dengan tegas samada
untuk terus ditipu 5 tahun lagi, atau bersama rakyat 'menggegar' demi demokrasi
sebenar dalam masa terdekat. Nyatakanlah pendirian dengan berani, agar rakyat
tidak silap memilih kamu sebagai pembela sejati.
Tegaslah untuk pilihanraya semula
(walaupun terpaksa serah tiga negeri) di atas kecurangan terbesar SPR - dakwat
kekal yang tidak kekal. Kes ini cukup kuat bersama sokongan majoriti rakyat.
Namun harus diingat, untuk pilihanraya semula wajib dengan SPR yang
diperbaharui dan diletakkan bukan lagi di bawah JPM.
Akhir sekali saya bertekad dan
menyeru kepada semua NGO dan aktivis supaya pastikan tiada lagi rapat himpunan,
tiada lagi acara persembahan, tiada lagi ucapan pidato yang melampuh, kini tiba
masa untuk bergerak, kini tiba masa untuk berarak dengan berani.
Tipu pilihanraya, turun jalanraya
dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.
EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
1 comment:
Very creaative post
Post a Comment