DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Tuesday, April 23, 2013

TERLALU RAMAI CALON BEBAS – UNTUK APA?

Banyak perkara unik yang terdapat di Malaysia. Terlalu ramai calon bebas yang pertanding dalam PRU 13 adalah antara perkara untik yang aku maksudkan. Setahu aku tidak ada negara lain di dunia yang ‘berperangai’ seperti ini. Hanya di Malaysia. Mungkin aku tersilap. Mungkin tak cukup lagi pemerhatian aku tentang ‘perangai’ negara luar yang berkaitan dengan penglibatan calon bebas yang begitu ramai dalam sesuatu pilihan raya.

Memang tak salah. Ini juga merupakan salah satu prinsip demokrasi. Satu kebebasan untuk melakukan sesuatu perkara yang difikirkan baik. Di Amerika, perkataan ‘Demokrasi’ dilafazkan dimana-mana sehinggakan di dalam bilik kuliah pun sentiasa didengar kenyataan-kenyataan seperti, “ ..this is a democratic country…..”

Tetapi mengapa begitu ramai yang bertanding sebagai calon bebas dalam PRU13?

Bila disebut calon bebas, fikiran aku terus teringat kepada Cikgu Jabar. Ini cerita lama. Akupun kadang-kadang dah ingat-lupa tentang Cikgu Jabar. Cikgu Jabar cukup hebat bagi aku. Dia menang beberapa kali pilihan raya sebagai calon bebas. Aku tak ingat berapa kali. Tetapi banyak kali ler. Sekurang-kurangnya dua kali ( kalau aku tak silap). Kawasan pilihan raya yang ditandinginya ialah……di sekitar Kuala Selangor…begitu ler. Aku lupa. Pengundi di kawasannya memang sukakan dia. Kalah calon BN yang lain. Maknanya rakyat di kawasan itu memang memerlukan Cikgu Jabar.

Seorang lagi tokoh yang bertanding ala calon bebas ialah pejuang negara terulung, Dato Onn jaafar. Beliau bertanding keseorangan. Tetapi bukan calon bebas. Dia bertanding mewakili partinya – Independence Party of Malaya (IMP). Dia juga menang dalam pilihanraya berkenaan. Di Kuala Terengganu. Dia menubuhkan IMP disebabkan hasratnya untuk memasukkan orang bukan Melayu sebagai ahli UMNO ditentang oleh majoriti ahli UMNO. Dia kecewa kerana ideanya tidak diterima oleh UMNO sedangkan beliau ketika itu adalah sebagai Presiden UMNO. Lantas beliau keluar dari UMNO. Dan menubuhkan IMP.

Ini menunjukkan contoh seorang pemimpin yang berprinsip. Bermaruah dan sentiasa tegas dalam memperjuangkan sesuatu. Beliau mahukan UMNO terdiri dari semua kaum – Melayu, Cina dan India. Orang Melayu menolak. Dan apabila beliau menubuhkan IMP dan mempelawa orang Cina dan India menyertai IMP, kaum Cina dan India juga tidak mahu menyertainya.

Namun begitu dapat dilihat bahawa pemikiran Dato Onn sememangnya mendahului zaman. Apa tidaknya. Idea Dato Onn untuk menyatukan semua kaum itu sedang dilaksanakan sekarang oleh Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia kini sudah menerima saranan Dato’ Onn yang disuarakannya 50 tahun yang lepas. Pada ketika ramai yang mengatakan bahawa idea itu tidak mungkin dapat dilaksanakan. Tak apa ler…lain kali aku cuba beri pandangan aku tentang hal itu pulak…

Seingat aku ler, bermulanya budaya meletakkan calon bebas yang ramai dalam pilihan raya berlaku dua tiga tahun lepas. Di Kedah . Ketika diadakan pilihan raya kecil DUN. Aku tak ingat di mana. Tapi di Selatan Kedah ler.Pertandingan antara Pakatan Rakyat (PKR ) dan BN. Apa tujuan ‘dema’ (loghat Perak) meletakkan begitu ramai calon bebas, aku tak pasti. Dan yang aku tertanya-tanya pula ialah dari mana mereka memperolehi wang yang begitu banyak untuk membayar wang pertaruhan. Mesti ada ‘sponsor’nya tu.

Kini budaya bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya sudah menjadi budaya yang berleluasa. Terbukti jelas dalam PRU 13. Begitu ramai yang bertanding. Matlamat mereka bertanding aku tak pasti, selain daripada untuk ‘memuaskan hati’, ‘melepaskan geram’ ataupun untuk ‘membelanjakan wang berlebihan yang tidak tahu ke mana untuk dibelanjakan’. Mungkin.

Dalam sebuah negara berasakan Demokrasi Berparlimen, yang akan memerintah negara ini adalah parti politik yang menang dalam pilihan raya. Maknanya calon bebas tidak akan berpeluang menjadi Perdana Menteri atau Menteri-Menteri. Calon bebas kalau pun menang dalam PRU nanti hanya boleh jadi ahli parlimen bebas. Tak berparti. ‘ Terkontin-terkontin’ seorang diri. Maknanya calon bebas tidak dapat berbuat sesuatu yang konkrit untuk negara. Sumbangannya terhad. Boleh bersuara di parlimen. Boleh ‘memekik dan melolong’ di parlimen, namun suara wakil bebas tidak begitu didengar disebabkan ketiadaan parti yang diwakili. Kehadirannya juga tidak memberikan kesan yang besar.

Calon Bebas yang memenangi sesuatu pilihan raya biasanya akan menyertai mana-mana parti politik yang memerintah. Mereka boleh ‘melompat’ dari satu parti ke parti lain. Dengan demikian boleh dikatakan bahawa calon bebas sememangnya ‘bebas’ dan tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas. Marah ‘dema’ pulak aku kata begitu. Tetapi hakikatnya begitu ler….

Oleh itu terpulanglah kepada pengundi-pengundi bagi menentukan nasib mereka. Pengundi-pengundi zaman “ Cikgu Jabar’ mungkin memerlukan Cikgu Jabar hanya untuk tempat ‘menyangkut dagu’ ataupun sebagai tempat ‘mengadu’ ketika dalam kesusahan. Ataupun mungkin Cikgu Jabar boleh membantu menyediakan kereta untuk membawa isteri mereka ke klinik bersalin. Mungkin. Itu merupakan antara peranan wakil rakyat tahun-tahun 60an dan 70an. Dengan sebab itulah Cikgu Jabar dapat bertahan begitu lama walaupun sebagai calon bebas.

Kini peranan wakil rakyat sudah banyak berubah. Wakil rakyat berperanan lebih daripada sebagai tempat mengadu, tempat meminta pertolongan. Wakil rakyat mewakil parti, samada pemerintah atau pembangkang. Sekiranya mewakili pemerintah mesti sanggup berbahas dan mengeluarkan pandangan yang bernas demi untuk membangunkan negara. Begitu juga sebaliknya sekiranya di pihak pembangkang. Mesti sanggup mengeluarkan idea bernas mempersoalkan sesuatu tindakan pihak kerajaan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.

Bagaimana dengan kedudukan wakil rakyat bebas dalam hal yang sebegini? Para pengundi Kurun ke 21 akan bijak membuat perhitungan. …

Abuhassanadam
22 April 2013

No comments: