DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, April 25, 2013

SHAHBUDIN HUSIN : MAT TAIB MENCARI SYURGA, JUANDA PULA BERLARI-LARI MENGEJAR DUNIA



Siapalah menyangka Mat Taib yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor, menteri kabinet dan Naib Presiden UMNO serta menghabiskan sebahagian besar hidupnya bersama UMNO, akhirnya boleh  memilih Pas sebagai wadah perjuangannya yang baru. Walaupun ada kesalahan-kesalahan kecil yang pernah  dilakukannya, secara umumnya beliau bukanlah orang yang kecewa. Dia bahagia dan disukai ketika berada dalam UMNO.


Sebab itu tidak dapat dinafikan penyertaannya ke dalam Pas, salah satu matlamatnya ialah mencari syurga walau apa pun tafsiran umum mengenainya. Beliau meyakini Pas sebuah parti yang memperjuangkan Islam, bergerak di atas landasan Islam dan lebih mendekati surau serta masjid berbanding tempat-tempat lain.

Sebagai orang lama yang dan sudah berada di penghujung usia pula, pencariannya kepada syurga adalah sesuatu yang terpuji berbanding mereka yang di  usia senja tetapi masih galak memuji dunia, menabur fitnah dan hanya mengunjungi masjid seminggu sekali saja.

Keinginan Mat Taib terhadap Islam tidak seharusnya diragui, walaupun terdapat suara-suara di dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah meragui niatnya. Secara logiknya, Mat Taib tidak memerlukan apa-apa lagi di dunia ini. Beliau sudah ada segala-galanya. Pencariannya hanyalah syurga dan keredaan Allah.

Beliau juga ingin melihat Islam mencapai kemenangan di bumi Malaysia ini. Tidak lama selepas penyertaannya ke dalam Pas, beliau mula menjalankan tanggungjawab yang diyakininya itu. Walaupun ramai pemimpin UMNO yang memandang remeh penyertaan Mat Taib itu, sambutan yang diterimanya tidak boleh dipandang enteng.

Dalam sekian ramai pemimpin UMNO yang mengulas mengenai Mat Taib, hanya Khir Toyo yang nampak ikhlas dan berpijak di alam realiti. Beliau berkata, dengan penyertaan Mat Taib, usaha BN menawan Selangor menjadi bertambah sukar dan dalam masa yang sama memberi ruang yang lebih terbuka untuk Pas menembusi kawasan-kawasan Melayu yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO.

Hanya orang yang syok sendiri dan berada di alam khayalan saja yang sanggup mengatakan penyertaan Mat Taib tidak memberi kesan apa-apa kepada BN. Tetapi siapalah Khir Toyo sekarang ini untuk suara dan pandangannya didengari oleh UMNO.

Mat Taib  kini mempunyai jadual yang padat berceramah setiap malam, bukan saja di Selangor tetapi juga di seluruh negara. Sambutan rakyat terhadapnya juga amat menggalakkan dan orang ingin mendengar kenapa beliau memilih perjuangan Islam sekarang ini.

Harapannya kini  ialah Pas yang memperjuangkan Islam dan lebih mengajak rakyat mendekati surau dan masjid diberi peluang memerintah negara ini bersama Pakatan Rakyat yang dipercayainya mampu memberi kebaikan yang lebih berganda kepada rakyat.

Sementara Mat Taib mahu mencari syurga dan memenangkan Islam, Mufti Perlis, Dr Juanda pula bertindak sebaliknya. Beliau yang sebelum ini diura-urakan akan bertanding sebagai calon PKR di Parlimen Kangar tetapi kerana beberapa masalah dan tidak menjadi kenyataan, tiba-tiba muncul di pentas BN bersama Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.

Walaupun tidak mengaku galau dan kecewa dihatinya, tetapi pengakuannya bahawa beliau selama ini memang pengundi BN dan akan terus mengundi BN, lebih menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar meski berjawatan mufti dan pandangannya sebelum ini dilihat bebas dan berani.

Kenapa setelah tidak terpilih sebagai calon, baru mengaku sebagai pengundi BN?

Di peringkat awalnya,  ramai yang kecewa beliau tidak dipilih sebagai calon mewakili PKR tetapi kini mereka bersyukur kerana jika beliau menang dalam pilihanraya ini, ada kemungkinan beliau akan mengikut tidur sekelambu dengan Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin.

Sebagai ilmuan agama dan mufti, tindakan Juanda mahu menyokong mana-mana pihak tidaklah menjadi kesalahan. Itu pilihannya sama seperti Harussani, Mufti Perak yang lebih UMNO daripada pemimpin UMNO sendiri. Tetapi Harussani  tidak pula  pernah mengaku beliau pengundi BN dan akan mengundi BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Tindakan Juanda itu hanya menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar. Hanya setelah gagal memetik anggur, barulah dikatanya anggur itu masam.

Berbanding Mat Taib yang mahu mencari syurga, Juanda pula yang didadanya penuh ilmu dan jiwa Islam, nampaknya masih berlari-lari mengejar dunia yang tidak pasti akan menjadi miliknya

2 comments:

Anonymous said...

INILAH BUKTINYA KEBESARAN,AKHBARNYA KUASA ALLAH SWT YG BOLEH MERUBAH APA SAHAJA TANPA MUSTAHIL.SEMOGA RAMAI LAGI INSAN YANG BAKAL MENGIKUTI LANGKAH MUHAMMAD TAIB.DOA SAYA AGAR KITA AKAN DI ANUGERAHKAN PEMIMPIN YANG BERAGAMA DAN YANG MEMARTABATKAN ISLAM DAN HUKUMNYA SELEPAS PRU INI.

Anonymous said...

Saya juga mendoakan agar diri saya dan juga Muhammad Taib diberi hidayah. Walaubagaimanapun jamgan lah kita mencerca orang lain terutamanya orang-orang yang berilmu seperti mufti. Apa yang kita risaukan orang-orang kafir akan bersorak kerana inilah yang mereka rancangkan. saya mengingati diri saya sendiri, lebih baik kita berdiam daripada kita bersuara kerana apa yang kita katakan itu mungkin akan berbalik kepada diri kita sendiri. saya bukanlah alim ulama tapi ALLAH itu MAHA KUASA.